أشهد أن لا اله الا الله و أشهد أن محمدا رسول الله
Uyub Al-Nafsi wa Dawaa’uha
Oleh Imam Abu Abdul Rahman Al-Sulamiy (325H-412H)
Saya
telah diminta oleh beberapa orang syeikh r.m.h agar dapat menyusun satu
kitab yang membicarakan perihal yang bersangkutan dengan jiwa dan nafsu
manusia serta perkara-perkara yang tersirat berhubung dengannya. Saya
cuba untuk menyumpurnakan permintaan ini. Lali saya susun satu buku yang
berkaitan dengan ini. Saya memohon kepada Allah agar mengurniakan
keberkatanNya. Semuanya saya tulis setelah mendapat jawapan yang positif
daripada solat istikharah yang saya lakukan. Hanya Allah sahaja yang
membalasnya dan Dia jugalah sebaik-baik Pelindung. Selawat dan salam
kepada Nabi Muhammad s.a.w., keluarganya dan para sahabat.
Firman Allah SWT yang bermaksud,
“…. Sesungguhnya nafsu manusia itu sangat menyuruh kepada kejahatan ….”
(Surah Yusof : 53)
Firman Allah SWT yang bermaksud,
“…. serta ia menahan dirinya dari menurut hawa nafsu.”
(Surah al-Nazi’ah : 40)
Firman Allah SWT yang bermaksud,
“Dengan
yang demikian bagaimana fikirannu(wahai Muhammad) terhadap orang yang
menjadikan hawa nafsunya tuhan yang dipatuhinya ….”
(Surah al-Jathiyah : 23)
Banyak
lagi ayat-ayat Al-Quran yang merakamkan tentang kejahatan nafsu serta
sedikitnya kecenderungan nafsu kepada kebaikan. Hal ini dinyatakan oleh
Rasulullah s.a.w. dalam hadith baginda:1
Yang bermaksud, “Bala bencana, hawa nafsu dan syahwat telah diadun sebati dengan tubuh Adam.” 2
Penyakit Pertama
Ia
menyangka bahawa ia telah berjaya mengetuk pintu ketuhanan dengan
berbagai-bagai zikir dan amal ketaatan. Pintu itu memang terbuka tetapi
laluan untuk rujuk kepada Allah di dalam jiwa ditutupnya, disebabkan
oleh banyaknya dosa-dosa yang telah dilakukan.
Kata
Ibn Masruq, pada suatu hari Rabia’ah al-Adawiyah3 telah lalu dimajlis
Soleh al-Murra, lalu Soleh berkata, “Siapa yang berterusan mengetuk
pintu ketuhanan Allah akhirnya ia akan dibuka,” lalu dijawab oleh
Rabia’ah al-Adawiyah, ” Pintu itu terbuka tapi kamu lari daripadanya.
Bagaimanakah kamu boleh sampai kepada matlamat perjalanan sekiranya kamu
tersalah jalan sejak dari langkah yang pertama lagi? Bagaimanakah
seseorang hamba itu dapat membebaskan dirinya daripada pengaruh jahat
nafsunya sedangkan ia sentiasa dikuasai oleh syahwat? Atau bagaimanakah
seseorang itu mampu membebaskan dirinya daripada kongkongan hawa nafsu
sedangkan ia tidak menegah dirinya daripada melakukan dosa-dosa?”
Kata
al-Sulamiy, Ibn Abu Dunya4 berkata, para ahli hikmah berkata,
“Janganlah kamu meletakkan harapan yang tinggi untuk mendapat kejayaan
menuju Allah sedangkan dirimu diselaputi dosa.”
Rawatannya
ialah sepertimana kata Sarij al-Saqati,5″Hendaklah kamu sentiasa
menurut jalan hidayah, mempastikan segala pemakanan bersumber daripada
yang halal serta menyempurnakan ketakwaan kepada Allah.”
Penyakit Kedua
Apabila ia menangis maka hilanglah rasa dukacitanya dan ia berada di dalam keadaan senang hati.
Rawatannya
ialah dengan sentiasa melazimi perbuatan menangis berserta perasaan
dukacita oleh kerana dosa yang ia lakukan sehingga ia tidak berhajat
kepada keinginan untuk bersenang hati. Oleh itu apabila seseorang diuji
oleh Allah dengan perasaan dukacita, ia tidak akan menangis dengan sebab
dukacita itu, bahkan ia akan merasa senang hati dan bergembira jika
tangisan itu lahir daripada rasa takut kepada Allah kerana dosa yang
dilakukannya. Sesiapa yang menangis kerana dukacita maka tangisan itu
akan menambahkan lagi beban dukacita yang ditanggungnya.
Penyakit Ketiga
Apabila
ia ditimpa mudarat ia akan mengadukannya kepada kuasa yang tidak mampu
merungkai mudharat tersebut. Bagitu juga, dia akan meletakkan
pergantungan harapannya kepada sesuatu yang tidak akan mampu memenuhi
harapannya. Ia juga berhempas pulas dan menumpukan perhatian sepenuhnya
mencari rezeki sedangkan rezekinya telah dijamin oleh Allah.
Rawatannya ialah dengan memperbetulkan keimanan dengan menyakini sepenuhnya firman Allah s.w.t. :
Yang
bermaksud, “Dan jika Allah mengenakan engkau dengan sesuatu yang
membahayakan, maka tiada sesiapa pun yang akan dapat menghapuskannya
melainkan Dia(Allah); dan jika Ia menghendaki engkau beroleh sesuatu
kebaikan, maka tiada sesiapapun yang akan dapat menghalangi limpah
kurniaNya. Allah melimpahkan kurniaNya itu kepada sesiapa yang
dikendakiNya dari hamba-hambaNya, …
Firman Allah s.w.t. lagi:
Dan tiadalah sesuatupun dari makhluk-makhluk yang bergerak di bumi melainkan Allah jualah yang menanggung rezekinya …
Hakikat
yang telah dinyatakan oleh ayat-ayat tersebut adalah sangat jelas
bahawa semua makhluk Allah itu bersifat lemah. Di suatu sudut yang lain,
semua makhluk memerlukan bantuan daripada pihak lain untuk
menyempurnakan kehidupannya. Bagaimanakah orang yang memerlukan bantuan
untuk memenuhi kehidupannya mampu untuk mengisi keperluan hidup orang
lain. Oleh itu apabila seseorang itu ternyata lemah serta tidak
berkemampuan nescaya dia tidak akan dapat memperbaiki orang lain. Jadi
dia perlu memperbetulkan salah faham ini dan hendaklah bergantung kepada
Allah secara mutlak.
Penyakit Keempat
Dia
telah mengabaikan hak-hak tertentu yang wajib ke atasnya, sedangkan
sebelumnya dia telah melaksanakan hak-hak tersebut. Pengabaian ini lebih
tercela apabila seseorang itu langsung tidak ambil peduli terhadap
kecuaian dan kelalaian itu. Ia akan menjadi sangat tercela apabila
seseorang itu tidak menyedari kelalaiannya. Keadaan ini akan menjadi
lebih dahsyat apabila seseorang itu menyangka bahawa kehidupan agamanya
sempurna walaupun keadaan dirinya penuh cuai.
Hal
ini berlaku kerana ketika ia melaksanakan hak-hak yang dituntut ke atas
dirinya itu, sifat syukur yang ada di dalam dirinya kepada Allah sangat
sedikit. Apabila semakin berkurangan sifat syukur di dalam dirinya,
lalu kedudukan seseorang itu akan ditukar oleh Allah daripada menghayati
dan menjunjung perintahNya kepada makam lalai dan cuai. Akhirnya
seseorang itu akan terhijap daripada dapat melihat kelemahannya bahkan
lebih dahsyat lagi, dia akan menganggap kejahatan dan dosa yang
dilakukannya sebagai kebaikan. Hal inilah yang ditegaskan oleh Allah
dalam firmanNya:
Yang
bermaksud, “Maka (fikirkanlah) adakah orang yang diperelokkan kepadanya
amal buruknya (oleh Syaitan) lalu ia memandangnya dan mempercayainya
baik,?”
(Surah Fathir : 8)
Rawatannya
ialah sentiasa rujuk kepada Allah dalam segala hal serta melazimi
zikir-zikir tertentu, membaca Al-Quran, berhati-hati dan teliti dalam
sumber rezeki dan makanan dengan mempastikan yang halal, memelihara
kehormatan dan maruah umat Islam, serta memohon doa daripada auli’a
Allah agar melalui doanya itu Allah akan memeliharanya daripada
kelemahan dan kesalahan yang telah disebutkan sebelum ini, disamping
Allah akan membukakan hijab untuknya melaksanakan ketaatan kepada Allah.
Penyakit Kelima
Dia
mentaati perintah Allah tetapi tidak dapat mencapai kemanisan di dalam
melaksanakan perintah itu. Hal ini berlaku kerana amal ketaatannya itu
telah bercampur baur dengan unsur-unsur riya’ dan tidak disertai dengan
keikhlasan serta tidak menurut sunnah di dalam amalan.
Rawatannya
ialah dengan melatih jiwa supaya ikhlas di dalam amalan, menuruti
sunnah di dalam setiap perbuatan dan amalan serta memperbetulkan seluruh
asas kehidupan supaya kesudahannya menepati kehendak kebenaran.
Penyakit Keenam
Dia
mengharapkan dirinya mendapat balasan kebaikan setelah mendapati tanda
kebaikan itu wujud pada dirinya. Sekiranya ia dapat mencapai kebaikan
itu nescaya orang yang jiwanya hampir kepada Allah akan bermasam muka
dan merasa malang dengan kehadirannya.
Hal
ini pemah disebutkan kepada sebahagian daripada para salaf, “Apakah
pendapatmu terhadap (Seseorang yang bertahan makamnya di dalam dunia
kesufian di antara dua makam)?” Lalu dijawab, “Aku pernah menyaksikan
pelbagai golongan seperti itu. Kalaulah bukan kerana aku pernah menjadi
seperti mereka, nescaya aku akan memohonkan keampunan daripada Allah
untuk mereka. Beginilah bentuk perjalanan (jiwa yang hidup).
Rawatannya
ialah hendaklah diketahui sekiranya Allah mengampunkan dosa-dosa mereka
sedangkan Allah menyaksikan dan mengetahui bahawa keampunan yang
dianugerahkannya itu akan ditukar ganti oleh mereka itu dengan melakukan
dosa dan maksiat. Oleh itu hendaklah kita merasa malu kepada Allah dan
sentiasa sedar terhadap kejahatan diri sendiri. Hal ini dinyatakan oleh
al-Fudail bin ‘Iyad6, “Alangkah kejinya perbuatan kamu itu walaupun kamu
merasakan ianya sesuatu yang baik. Ini adalah kerana kamu telah
mendahului ilmu Allah di dalam urusan tersebut.” Kata Al-Sulamiy, Yahya
bin Muaz7 berkata, “Berlapar itu dianggap sebagai makanan kerana dengan
berlapar itu Allah akan memperkuatkan tubuh badan para siddiqin.”
Penyakit Ketujuh
Jika
kamu ingin membina dan menyuburkan kehidupan akhirat kamu, terlebih
dahulu hendaklah kamu mematikan keinginan terhadap (keseronokan)
kehidupan duniawi. Kamu tidak akan dapat berdampingan dengan Allah
sehingga kamu mematikan keinginan nafsu kamu kepada perkara-perkara
yang keji.”
Hal
ini disebut oleh Yahya Bin Mu’az, katanya “Sesiapa yang menghampirkan
diri kepada Allah dengan hati yang mendalam, Allah akan memelihara
jiwanya daripada godaan nafsu. Cara menguasai hawa nafsu itu ialah
melakukan perkara-perkara yang tidak disukainya, kerana nafsu itu
selama-lamanya tidak akan tunduk kepada kebenaran.”
Rawatannya
ialah berjaga malam untuk beribadat, berpuasa, melaksanakan kewajipan
yang tidak disukai oleh nafsu serta menghalang daripada pengaruh syahwat
yang berbagai-bagai.
Penyakit Kedelapan
Nafsu
itu selama-lamanya tidak akan melahirkan kebenaran. Hal ini kerana amal
ketaatan itu berlawanan dengan kehendak nafsu, bahkan akan lahirlah
pula pertentangan yang lebih banyak apabila seseorang itu patuh mengikut
kehendak hawa nafsu dan syahwat.
Rawatannya
ialah keluar daripada kongkongan nafsu itu secara keseluruhan kemudian
kembali kepada Allah secara mutlak. Al-Sulamiy berkata, “Abul Qasim
al-Basri berkata di Baghdad; Ibn Bazdan telah ditanya, “Atas dasar
apakah seseorang itu keluar menuju kepada Allah?”
Katanya,”Keluar
di atas dasar dia tidak akan kembali semula ke tempat asalnya, serta
dia akan memelihara dan menumpukan seluruh perhatiannya kepada Allah.”
Abul Qasim al-Basri berkata, “Hal itu hanya melibatkan pencarian orang
yang telah menemui hakikat ketuhanan Allah”
“Bagaimana
pula keadaan orang yang masih belum menemui hakikat itu?” Jawabnya,
“Kemanisan iman yang lahir dipermulaan langkah menuju Allah itu akan
menjadi penawar yang sangat mujarab untuk mengharungi segala kepahitan
di dalam pencarian hakikat ketuhanan itu di hari-hari yang mendatang.”
No comments:
Post a Comment