Saturday, September 1, 2012

MISYAKAATUL ANWAR IMAM AL GHAZALI (13)

أشهد أن لا اله الا الله و أشهد أن محمدا رسول الله

PENGESAHAN BENARNYA TENTANG ZAHIR DAN NAMPAK SATU MISALAN


Dari contoh perumpamaan dan cara itu,  janganlah saudara anggap pula saudara telah mendapat kebenaran dari saya untuk membolehkan saudara menyingkirkan bentuk zhohir yang nampak ini,  atau menyangka  telah batal apa yang zhohir itu.  Seolah-olah misalnya saya mengatakan Nabi Musa itu tidak memakai kasut,  tidak sebenarnya menerangkan perkataan "tanggalkan kasutmu".  Semoga Allah melindungi saudara daripada anggapan dan sangkaan yang salah dan silap itu.
Hanya orang-orang bathiniah (kebatinan) sahaja yang membatalkan tanda-tanda zhohir itu.  Mereka memandang satu alam sahaja iaitu Alam Ghaib dan mereka tidak tahu perimbangan yang ada antara yang zhohir dengan yang batin.  Inilah segi atau aspek yang mereka tidak ambil tahu.
Sebaliknya orang-orang yang membatalkan yang ghaib dan memandang yang zhohir sahaja adalah orang-orang Hasuwiyah (Kebendaan).  Dengan lain perkataan memujaradkan (abstrak) dan mengasingkan yang zhohir dari keseluruhannya ialah orang-orang kebendaan,  dan barangsiapa memujaradkan batin ialah orang kebatinan dan barangsiapa menyambung dan memperkaitkan yang ghaib dan yang zhohir itu,  maka dialah orang yang sempurna dan benar.  Kerana itulah Nabi Muhammad SAW.  pernah bersabda yang bermaksud;
"Al-Qur'an itu mempunyai yang zhohir dan yang batin,  yang awal dan akhir".

Saya terangkan bahawa Nabi Musa a.s.  benar-benar tahu dan mengerti tentang perintah  "tinggalkan kasutmu" itu yang membawa pengertian zhohir dan batin.  Beliau mematuhi perintah itu secara zhohir iaitu dengan menanggalkan kasutnya dan secara batinnya iaitu dengan menanggalkan dua alam tersebut (Alam Nyata dan alam Ghaib).
Di sini saudara lihat ada perhubungan antara kedua-dua itu;

  • perkaitan perkataan zhohir dengan idea(tanggapan) batin,
  • perbezaan antara kedudukan yang benar dan yang salah,
bolehlah kita huraikan seperti berikut;
Seorang hamba mendengar sabda Nabi yang bermaksud;
"Malaikat tidak akan masuk ke rumah yang di dalamnya ada anjing (atau gambar)"

Tetapi hamba itu terus juga memelihara anjing di rumah itu kerana katanya bahawa sabda Nabi itu bukanlah bermaksud yang lahir itu,  tetapi maksud sebenarnya ialah  "halau anjing kemarahan dari rumah hati kerena kemarahan itu menghalang ilmu yang datang dari cahaya kemalaikatan,  kerana marah itu adalah iblis hati".
Seorang yang lain pula mematuhi perintah itu secara lahirnya(zhohirNya),  dan kemudian berkata;  "Anjing itu bukanlah sebab bentuk zhohirnya,  tetapi ialah sebab tanggapan anjing pada segi batinnya iaitu ganas dan cerobohnya.  Jika rumahku yang zhohir tempat badanku duduk lagi mesti dibersihkan dari anjing yang zhohir,  maka tentulah lebih lagi perlu dan pentingnya rumah hatiku iaitu iaitu tempat manusia ku sebenarnya dibersihkan dari sifat-sifat anjing,  dalam tanggapan keruhanian".
Orang yang mematuhi kedua-duanya itu sekaligus,  maka itulah orang yang sempurna.  Maka  inilah apa yang dimaksudkan
"Orang yang sempurna itu ialah orang yang tidak membiarkan cahaya ilmunya memadam cahaya ketaatan".

Begitu juga dia tidak pernah dilihat membiarkan dirinya meninggalkan syariat,  meskipun kebatinannya telah cukup sempurna.  Orang yang meninggalkan syariat itu sebenarnya telah silap dan ini ada berlaku kepada beberapa orang yang menganggap dirinya Sufi yang mengatakan dibolehkan membuang syariat seperti menggulung tikar sahaja,  sehingga ada yang mengatakan sembahyang tidak perlu kepadanya lagi kerana ia sentiasa sembahyang dalam hatinya.

Tetapi ini berlainan daripada kesesatan golongan orang-orang Abahiyah (orang-orang sesat yang dipengaruhi oleh pemikiran-meikiran kristian)  yang mempermain-mainkan kata falsafah seperti seseorang mengatakan;  "Allah tidak memerlukan kerja-kerja (amalan) kita".  dan dia tidak mahu langsung membuang marah dan nafsu ammarah yang ada padanya kerana pada kepercayaannya dia tidak diperintahkan untuk membuang marah dan nafsu yang engkar itu.  Sesungguhnya golongan yang akhir itu ialah yang paling jahil dan bodoh.  Tetapi bagi kesilapan golongan yang pertama itu,  ibarat kuda yang bagus yang terpelecok kakinya,  kesilapan orang-orang sufi yang telah diselewengkan oleh syaitan dari jalan yang lurus.
Kita kembali semula kepada perbincangan kita berkenaan "menanggalkan kasut" itu.  Perkataan zohir itu menyedarkan maksud batinnya iaitu menanggalkan duaan alam.  Simbol yang zhohir itu ialah benda benda sebenarnya dan pemakaiannya kepada maksudnya yang batin itu ialah hakikatnya.  Mereka yang mengenal ini adalah jiwa-jiwa yang telah mencapai peringkat kaca lutsinar (kaca yang boleh tembus pandangan ke sebalik atau tembus sinaran cahaya).   Kita akan kaji maksud ini sekarang.

Pada khayalan atau sangkaan (imaginasi),  benda yang zhohir yang menjadi bentuk simbol itu,  adalah keras dan kasar.  Ia melindungi maksud batinnya.  Ia terselit antara kita dengan cahaya yang tidak nampak itu.  Tetapi apabila benda kasar itu menjadi kaca lutsinar,  maka cahaya itu akan terus menerus tembus ke sebaliknya bahkan cahaya itu tidak terpadam oleh hembusan angin.  akan kita ceritakan tentang kaca lutsinar ini.  Sementara itu,  ingatlah bahawa alam rendah dan kasar pada pandangan Ambiya Allah,  telah menjadi seperti naungan "KACA" lutsinar,  dan "Misykaat (ceruk) cahaya";
  • penapis yang menapis keluar dengan terang rahsia-rahsia Ketuhanan;
  • batu locatan menuju Alam Tinggi.
Maka tahulah kita bahawa simbol yang zhohir ini adalah benar dan ada;  dan dibelakngnya terletak rahsia.  Ini pun serupalah boleh dipakai kepada simbol-simbol "Gunong",  "Api" dan lain-lain itu

Enhanced by Zemanta

No comments: