Saturday, September 1, 2012

MISYAKAATUL ANWAR IMAM AL GHAZALI (12)

أشهد أن لا اله الا الله و أشهد أن محمدا رسول الله

SATU CONTOH IBARAT DARI CERITA NABI MUSA A.S DALAM AL QURAN

Marilah kita sekarang kembali kepada ceruk yang kita pilih untuk menerangkan cara simbolik (perumpamaan) ini.  Ilmu tentang penafsiran pandangan (hati) menentukan kepada kita tentang nilai tiap-tiap jenis simbol atau perumpamaan itu.  Ini adalah kerana "Pandangan (hati) itu ialah sebahagian daripada Nubuwah (Kenabian)". Apabila dipandang dalam mimpi atau pandangan hati,  matahari itu diibaratkan sebagai raja kerana cahayanya meliputi segala-galanya. Bulan diibaratkan sebagai menteri kerana melalui bulan itulah cahaya matahari dapat dipancarkan kepada dunia semasa matahari tidak ada (waktu malam). Ini bererti melalui menteri inilah pengaruh raja itu dapat dirasai oleh rakyat jelata yang tidak pernah melihat raja itu.
Orang yang bermimpi melihat dirinya memakai cincin dan dengan cincin itu ia mengecap (mementerai) mulut lelaki dan rahsia-rahsia perempuan,  maka mimpi itu ditafsir atau dita'birkan sebagai azan Subuh di bulan Ramadhan.
Orang yang bermimpi  melihat dirinya mencurahkan minyak zaiton kepada pohon zaiton ditafsirkan bahawa perempuan hamba yang dinikahinya itu ialah ibunya,  tetapi ia tidak tahu menahu yang perempuan hamba itu adalah sebenarnya ibunya.

Cara menta'birkan atau mentafsirkan simbol-simbol atau perumpamaan-perumpamaan tidaklah terhad,  dan saya tidaklah hendak menghuraikannya satu persatu. Apa yang dapat saya katakan ialah sebagaimana adanya perkara-perkara di Alam Tinggi itu yang dibaratkan atau disimbolkan sebagai matahari adanya bulan dan bintang,  maka yang lain itu pun ada juga simbol-simbolnya apabila titik perkaitan itu sesuatu yang lain daripada cahaya.

Misalnya jika di kalangan perkara yang wujud di Alam Tinggi itu ada satu perkara

  • yang tetap tanpa berubah,
  • besar tanpa berkurangan;
  • yang dirinya limpahan ilmu dan kemuliaan turun ke dalam hati sebagaimana air yang mengalir ke lembah;
maka itu diisyaratkan atau disimbolkan dengan gunong.
Jika sesuatu yang menjadi penerima anugerah kemuliaan itu ada berbagai-bagai peringkat maka;  maka sesuatu itu disimbolkan dengan lembah.  Jika kemualiaan-kemuliaan itu sampai ke dalam hati manusia,  berpindah dari hati ke hati;  maka hati-hati itu di simbolkan juga dengan lembah.  Kepala lembah itu menunjukkan hati Nabi-nabi,  Aulia-aulia dan Ahli-ahli Ilmu;  dan ini diturunkan pula oleh orang-orang selepas daripada mereka tersebut.
Oleh itu,  jika lembah-lembah ini lebih rendah dari lembah yang pertama itu dan diairi dari lembah yang pertama itu,  maka lembah pertama itu adalah lembah
"yang benar"  kerana disimbolkan dengan kebenaran dan kelebihannya.  Akhirnya lembah yang paling rendah dan airnya datang dari  peringkat yang terakhir dan terendah daripada lembah "yang benar" itu;  dan sewajarnyalah dengan itu diairkan dari "tepi lembah yang benar" itu dan bukan dari bahagian tengah dan  yang paling dalam.
Jika ruh Nabi-nabi itu diibaratkan sebagai lampu yang bernyala-nyala;  yang dinyalakan oleh 
ilham atau wahyu ("Kami telah wahyukan engkau dengan ruh daripada Qudrat Kami" - Al-Qur'an),  maka simbol atau perumpamaan punca nyalanya itu ialah api.  Jika ada orang yang mendapat ilmu dari Nabi-nabi itu hidup dengan hanya menerima secara tradisi (kebiasaan) sahaja apa yang mereka terima dari Nabi-nabi itu,  maka mereka itu ibaratkan sebagai "suluh api" atau "tahi bintang".  Mereka  ini tidak menyiasat dengan lebih lanjut lagi pengajaran Nabi-nabi itu.  Tetapi ada orang yang pintar,  yang dikurniakan ilham dan pengalaman Keruhanian.   Mereka ini mendapat seolah-olah apa yang didapati oleh Nabi-nabi mereka.  Mereka ini disimbolkan sebagi "hamba panas api" kerana seseorang itu tidak mendapat panas api jika hanya mendengar sahaja perihal api itu.  Orang-orang yang merasai atau mendapat panas api ialah orang yang hampir dengan api itu.
Jika peringkat pertama Nabi-nabi itu ialah peralihan mereka masuk ke Alam Ketuhanan Maha Tinggi,  jauh dari kekacauan dan gangguan deria dan sangkanya dan khayalan,  maka peringkat itu disimbolkan dengan "lembah suci".
  Dan jika "lembah suci" itu tidak boleh dilalui kecuali selepas ditanggalkan kedua-dua alam (Alam Nyata dan Alam Ghaib) dan wajah ruh itu telah menghadap kepada Yang Maha Tunggal sahaja,  maka simbol atau ibarat menanggalkan kedua belah kasut oleh orang yang mengerjakan ibadat Haji di Mekah,  di kala dia menggunakan pakaian keduniaannya dan memakai pakaian Ihram dan menghadapkan mukanya ke kaabah.
Sekarang marilah kita berpindah kepada perkara Hadirat Ilahi itu lagi sekali dan bercakap tentang simbol-simbolnya.  Jika Hadirat itu mempunyai "sesuatu"  di mana Ilmu-ilmu Ketuhanan dirakamkan pada luh-luh hati yang boleh menerima ilmu-ilmu itu,  maka "sesuatu"  itu disimbolkan pula dengan pena.  Hati yang padanya terakam ilmu-ilmu itu diibaratkan sebagi luh atau kitab atau buku.  Jika "sesuatu" yang memegang pena itu supaya ia dapat menulis,  maka "sesuatu" itu disimbolkan sebagai tangan.

Jika Hadirat yang meliputi tangan, ruh, pena dan kitab itu disusun secara teratur,  maka Hadirat itu disimbolkan dengan bentuk atau bayangan.  Jika bentuk manusia itu mempunyai susunan tertentu maka ianya juga adalah seperti diciptakan "menurut bayangan atau bentuk Yang Penyayang".  Di sini ada perbezaan antara ayat "menurut bayangan Yang Penyayang"  dengan ayat  "menurut bayangan Allah".

Kerana sayangnya itulah Allah menyebabkan Hadirat itu berupa dalam "bayangan" itu,  kerana sayangNya,  Allah kurniakan Adam satu "bentuk" atau  "bayangan"  yang meliputi setiap jenis yang ada dalam seluruh alam ini,  hinggakan seolah-olah Adam itu terdiri daripada semua perkara dalam alam ini atau salinan ringkasan alam ini.  Bentu Adam ("bayangan" ringkasan ini) dirakamkan dengan tulisan Allah.  Maka jadilah Adam itu tulisan Allah,  yang bukan berbentuk huruf,  seperti juga perkataan atau kalamNya di luar sempadan lingkungan bunyi dan suara;  dan penaNya di luar sempadan lingkungan buluh atau besi;  dan tanganNya bukan daripada daging dan tulang.  Jika tidak ada kasih sayang atau rahmat Tuhan ini,  maka setiap anak Adam tidak akan berupaya hendak mengenal Allah.

Orang yang mengenal dirinya,  akan kenal pada TuhanNya.
  Inilah kesan kasih sayang Allah.  Adam diciptakan "menurut bentuk yang penyayang"  bukan  "menurut bentuk Allah".  Oleh itu Hadirat Allah itu bukanlah sama dengan Hadirat Yang Penyayang,  bukan sama dengan hadirat Kesultanan, bukan sama dengan hadirat Ketuanan.  Kerana itulah Allah memerintahkan kita supaya memohon perlindungan dari tuan manusia,  ruh manusia,  tuhan manusia - (Al-Quran).   Jika tanggapan ini tidak dapat membawa pengertian bahawa "Allah menciptakan manusia menurut bayangan (bentuk) Yang Penyayang,  maka secara bahasanya (nahu) ayat itu tidaklah betul.  Tentulah dikatakan sahaja "menurut bayanganNya".  tetapi ayat itu menurut pendapat Imam Bukhari,  berbunyi  "menurut bayangan Yang Penyayang".
Untuk membezakan antara Hadirat Kesultanan dan Hadirat Ketuanan(Rab),  itu memerlukan penerangan dan perbincangan yang sangat panjang.  kita tinggalkan dahulu perkara itu.  Cukuplah dengan contoh cara sombolik yang kita terangkan itu. 
Sesungguhnya perbincangan tentang perkara tersebut tidaklah ada batas dan hadnya.
Jika saudara tidak dapat menerima atau susah menerima kias atau perumpamaan tersebut,  maka senangkanlah hati saudara dengan ayat Al-Quran ini yang bermaksud;
"Diturunkan dari langit itu hujan;  dan mengalir air hujan itu dalam lembah-lembah menurut keupayaan lembah-lembah itu".

Dari ayat ini dapatlah ditafsirkan bahawa dimaksudkan dengan air itu ialah "ilmu pengetahuan" dan lembah-lembah itu ialah "hati-hati manusia"
Enhanced by Zemanta

No comments: