KATA PERMULAAN
Kita
selalu merujuk diri kita seagai AKU. Kita berkata, “Ini Aku” , “Ini Aku
punya”, “Ini badan Aku”, “Nama Aku si-anu”, dan “Nama bapa Aku si-anu”,
dan sebagai nya.
Pernahkah kita terfikir siapakah AKU kita itu? Apakah AKU kita itu? Siapa sebenarnya AKU itu?
Maka disini penulis cuba untuk menghuraikan brkenaan AKU ini menurut pendapat dan pandangan Falsafah Kesufian
Risalah
ini mengandungi penjelasan berkenaan AKU. Dari penerangan atau
penjelasan ini pembaca akan dapat sedikit sebanyak maklumat tentang apa
dan siapa sebenarnya AKU kita itu.
Selamat memaca dan memahaminya.
Penjelasan ke 1 (SIAPAKAH AKU)
Pernahkah anda terfikir siapakah AKU itu?
Pernahkah anda terbayang apakah AKU kita itu?
Sebenarnya
AKU kita ini adalah ROH kita, bukan badan kasar ini. Badan kasar ini
akan mati sekiranya tiada ROH. Sekiranya tiada ROH, badan kita akan
hancur binasa.
ROH kita inilah diri kita yang sebenarnya,.ROH ini hidup dan tidak akan mati. ROH inilah juga zat diri kita.
ROH
ini juga limpahan Yang Maha Hidup iaitu Allah SWT. Allah itu hidup. Dia
mempunyai sifat hidup. Maka hidup(ROH) kita adalah limpahan dari hidup
Allah itu.
ROH
ini juga digelar “bayangan” Yang Maha Hidup itu. ROH itu bayang kepada
Yang Empunya Bayang. Yang Empunya Bayang itu ialah Allah, dan ROH kita
itu adalah “bayangan” Allah itu. Demikian pendapat-pendapat ahli-ahli
Sufi.
Allah
itu tidak kelihatan, Maha Ghaib dan tidak ada satupun yang seumpama
denganNya. Bagaimana kita dapat tahu adanya sesuatu yang tidak kelihatan
dan tidak terperikan. Ibarat angin, kita tidak nampak angin, tetapi
bagaimana kita tahu angin sedang bertiup dan angin itu ada? Jawabnya,
kita tahu adanya angin itu kerana ada kesannya. Bila daun pokok
bergoyang, kita tahu angin sedang bertiup. Kalau kita rasa hembusan,
maka itu adalah hembusan angin, sebagainya. Goyangan daun dan rasa
hembusan itu adalah tanda-tanda adanya angin. Kita tidak nampak angina
tetapi kita tahu adanya angina melalui tanda-tandanya.
Demikian
jugalah keadaannya dengan Allah SWT. Kita tidak nampak Dia, tetapi kita
rasa dan percaya adaNya melalui tanda-tandaNya. Tanda-tanda Allah itu
ialah alam semesta raya ini. Tanda-tanda ini dalam bahasa Arab ialah
“ayat”.
Oleh itu, alam semesta raya dan diri kita ini adalah ayat-ayat Allah belaka.
ROH
sangat tinggi martabatnya, melebihi peringkat malaikat. Tempatnya di
sisi Allah yang Maha Tinggi. ROH inilah yang mengenang Allah (zikrullah)
seolah-olah kerjanya mengenang Allah sahaja. Seolah-olah makan minumnya
“zikrullah” sahaja.
ROH
yang suci ini sentiasa mentauhidkan Allah Yang Maha Suci. Najis padanya
ialah menyekutukan Allah. ROH ini sangat cinta kepada Allah SWT. Ia
memuja dan memuji Allah sentiasa. Allah itu kekasihnya. Cukuplah Allah
itu baginya.
Demikian perhubungan Allah dengan ROH, menurut pandangan ahli-ahli Sufi.
Penjelasan ke-2 (AKU IALAH ROH)
Tahukah
anda bahawa AKU anda itu adalah ROH yang datang dari Allah, hidup
dengan Allah, dan kembali kepada Allah. Allah itulah pengkalan tempat
bertolak, lautan yang dilayari dan pelabuhan tempat berhenti.
Jika
dikaji dalam-dalam anda akan sedar dalam pandangan kerohanian bahawa
Allah itu adalah tempat permulaan perjalanan kita. Dialah tempat
perjalanan itu sendiri, dan Allah itu jugalah destinasi akhir perjalanan
hidup ini.
Tempat
bertolak, perjalanan dan destinasi yang dimaksudkan disini bukanlah
dari segi pandangan fizikal yang tertakluk kepada ruang dan waktu.
Tempat perjalanan dan destinasi yang dimaksudkan di sini iailah dari
segi pandangan rohaniah, perasaan dan khayali(thought) kita.
AKU
atau ROH kita adalah tanda-tanda atau ayat-ayat Allah. ROH itu juga
bayanganNya dan penzahiranNya. Dari segi pandangan kerohanian, Allah
itulah Yang Awal, Yang Akhir, Yang Batin dan Yang Zahir.
Penjelasan ke-3 (PANDANGAN AKU)
AKU
yang paling dalam itu bersifat kerohanian. Jika AKU itu dibersihkan
pandangannya melalui zikrullah dan latihan kerohanian orang-orang Sufi,
maka AKU itu akan mencapai satu tahap pandangan dimana ia rasa wujud ini
adalah Esa juga. Menurut pandangan ini, wujud itu ada
bertingkat-tingkat, bertahap-tahap, dan pelbagai aspek, namun ia tetap
satu. Segala yang ada kelihatan, baik yang zahir mahupun yang batin,
semuanya satu wujud sahaja, pada hakikatnya. Inilah pandangan AKU yang
paling dalam.
Penjelasan ke-4 (AKU ADALAH AYATOLLAH)
Sekali lagi diulangi bahawa AKU anda itu adalah ROH anda dan itulah juga diri anda sebenarnya.
AKU
itu juga adalah ayatollah (tanda-tanda Allah) kerana seluruh alam raya,
yang ghaib dan yang nyata, adalah tanda-tanda wujudnya Allah SWT.
AKU itu juga digelar ROHULLAH (ROH ALLAH) kerana ROH itu adalah hembusan dari ROH ALLAH atau limpahan dari ROH ALLAH.
AKU
itu juga digelar Nurullah ( cahaya ALLAH) kerana setiap roh itu adalah
cahaya. Digelar cahaya kerana setiap yang menampakkan sesuatu digelar
cahaya . Nabi-Nabi itu cahaya Allah kerana melalui Nabi-Nabi itu kita
dapat mengenal Allah melalui ajaran dan didikan mereka. ROH itu cahaya
kerana melalui ROH itu kita kenal dan ‘nampak’ Allah.
AKU
itu juga digelar Ma’lum dalam ilmuNya. Ma’lum ertinya ‘yang diketahui’.
Allah itu ‘alim ( yang mengetahui). Setiap yang mengetahui tentu
berpengetahuan (berilmu). Allah itu berilmu, sebab itulah ia ‘alim.
Setiap yang ‘alim tentu ada ilmu dan ada perkara yang diketahuinya.
Perkara yang diketahui itu digelar Ma’lum (yang diketahui). Allah itu
ada ilmu dan dalam ilmuNya ada Ma’lum. ROH kita ini termasuk dalam ilmu
Allah. Maka ROH kita itu Ma’lum Allah. Maka itulah dikatakan ROH itu
Ma’lum dalam ilmu Allah.
Penjelasan ke-5 (MENGENAL ALLAH)
AKU
atau ROH itulah yang dapat mengenal Allah SWT bukan badan kasar ini
yang mengenalNya. Melalui ROH itu kita mengenal Allah. Wadah atau bekas
tempat Allah mentajallikan (menzahirkan) dirinya kepada kita ialah ROH
kita. ROH itu digelar juga hati. Bukan hati fizikal itu tetapi hati yang
bersifat kerohanian. ROH itu memiliki kesadaran (consciousness).
Kesedaran tentang wuudnya Allah dan sifat-sifatNya yang terzahir dalam
alam semesta raya ini. Yang melihat penzahiran atau tajalli itu ialah
ROH kita.
Penjelasan ke-6 (AKU AMAT HAMPIR DENGAN ALLAH)
AKU
ini memang hampir dengan Allah. AKU dan Allah tidak bercerai-berai dari
dulu, sekarang dan selamanya. Ibarat ombak tidak bercerai dengan laut.
Dari sudut manapun Wujud Semesta Raya itu tetap mengelilingi AKU. Ia
meliputi AKU dari kiri, kanan, atas, bawah, depan, belakang, luar, dalam
bahkan dari mana sahaja. ” Hampir” dan “Mengelilingi” itu bukanlah dari
segi ruang dan waktu yang boleh diukur dengan panjang, lebar, dalam,
atau dari segi masa dan waktu. Hampir dan mengelilingi itu adalah dari
segi pandangan rohaniah atau kerohanian. Hanya orang yang berada dalam
pengalaman rohaniah sahaja yang faham akan maksudnya.
Wujud semesta itu “meliputi”, “merangkumi”, “berpadu”, dan “bersatu” dengan AKU. AKU terserap dalam Wujud Semesta ini.
Penjelasan ke-7 (AKU ZAHIR. AKU BATIN)
Dari
segi aku atau ROH atau diri, wujud AKU “bersatu” dan “berpadu” dengan
Wujud Yang Esa dan Semesta itu. Kelihatan pada AKU bahawa Allah itu
batin dan AKU itu zahirnya. Allah itu hakikat dan AKU itu bayanganNya.
Dia asal dan AKU terbitanNya. Dia elektrik dan AKU lampu. Dia dalang dan
AKU boneka. Gerak AKU digerakkan olehNya.
Ini adalah pandangan kerohanian yang paling dalam.
Penjelasan ke-8 (WUJUD AKU)
Memang
AKU itu ada (wujud). Wujudnya dengan limpahan Wujud Yang Maha Agung
(iaitu Allah). Hidup AKU limpahan hidupNya. AKU berdaya limpahan
dayaNya. Berkuasanya dan berupayanya AKU adalah limpahan kuasa dan
upayaNya. Aku berkehendak dan Diapun berkehendak. Kehendak AKU tertakluk
kepada kehendakNya.
“Limpahan” disini bererti kurniaan atau terbitan atau penzahiran atau keluaran ataupun kesan.
Yang
Maha Wujud itu Allah. AKU dan alam semesta raya adalah limpahan
nama-nama dan sifat-sifat Yang Maha Wujud itu. Setiap nama dan sifat
Allah terzahir pada AKU dan alam semesta raya ini.
Itulah pandangan AKU yang bersifat kerohanian.
Penjelasan ke-9 (SIFAT-SIFAT AKU)
AKU
ini ada sifatnya iaitu hayat atau hidup, ilmu atau pengetahuan,
pendengaran, penglihatan, kudrat atau kuasa, iradat atau berkehendak,
dan berkata-kata. Semua sifat-sifat ini adalah limpahan dari sifat-sifat
Allah belaka.
AKU
yang hakiki itu tiada bercerai dan tiada terpisah dengan sifat-sifat
Allah dan Allah itu sendiri. Wujud AKU itu sebenarnya diserapi oleh
Wujud Semesta Raya itu. Iilah pandangan AKU yang bersifat rohaniah.
Penjelasan ke-10 (AKU BERSIFAT ROHANIAH)
AKU
yang bersifat rohaniah semata-mata itu terasa cukup baginya Allah
sahaja. Allah itulah segala-galanya bagi AKU. Kepada Allah itulah AKU
itu mengadu dan berharap. Pandangannya tertumpu pada Allah. Tenggelamlah
AKU itu dalam lautan Ketuhanan Allah Yang Maha Luas dan Dalam.
Dalam
keadaan perasaan menyerap dalam Lautan Ketuhanan Yang Maha Luas dan
Dalam itu, AKU tidak berasa takut, tidak berasa dengki, tidak berasa
kecil hati sesama makhluk.
Pada
pandangan AKU itu, makhluk itu hakikatnya tiada apa-apa. Wujud makhluk
bukan hakiki, hanya bayangan sahaja iaitu bayangan wujudnya Allah. Hanya
Allah jua yang wujud. Demikian pandangan AKU.
Penjelasan yang ke-11 (AKU BUKAN ALLAH)
Sungguhpun
AKU itu berpandangan seperti yang tersebut dalam Penjelasan-penjelasan
yang terdahulu itu, namun AKU tidak akan menjadi DIA (iaitu Allah). AKU
tetap AKU, DIA tetap DIA. Tetapi AKU dan DIa “bersatu” dan “berpadu”
seolah-olah menjadi SATU. Ibarat bersatunya ombak dengan lautan,
bersaatunya air dengan ais.
Pandangan
ini bukan pandangan dari segi fizikal, akal dan berangan-angan, tetapi
adalah pandangan ROH iaitu ROH yang dibersihkan dengan Zikrullah dan
latihan jiwa dalam jangka waktu yang lama, dengan bimbingan guru sufi
yang pakar dalam bidang Kerohanian dan Ketuhanan.
Penjelasan ke-12 (PENCAPIAN AKU)
Setelah
mencapai tahap pandangan ROH yang tinggi itu, maka kemana sahaja ROH
itu menghadap di sana terzahir wajah Allah seolah-olah Ia berada
dimana-mana jua.
Berkatalah mereka yang mengalami pandangan demikian:
Maha hampir tidak terkira
Bersatu bersama sehati sejiwa
Maha jauh namun hampir jua
Gerakku gerak Dia
Diamku diam Dia
Tindak-tandukku tindak-tanduk Dia
Berkata mereka lagi:
Hidupku pancaran hidupNya
Diriku bayangan diriNya
Sifatku gambaran sifatNya
Semua
kata-kata mereka itu hanya ibarat, perumpamaan untuk menjelaskan
perasaan dan pandangan ROH mereka. Antara lain kata mereka:
Kalau Dia matahari akulah cahayaNya
Kalau Dia lautan akulah ombakNya
Kalau Dia masin akulah garamNya
Kalau dia manis akulah gulaNya
Aku seorang berdua denganNya
Tapi aku berpadu denganNya
Maha dekat disamping maha jauhNya
Oh! Alangkah hebat wujudNya
Wujudku tenggelam dalam wujudNya
Fana dan Baqa dalam adaNya.
Demikian
pandangan orang-orang Kesufian yang telah mencapai peringkat serasa
seolah-olah berserta dengan Wujud Yang Maha Esa itu. Mereka mencapai
tahap demikian kerana mereka menumpukan seluruh pandangannya terhadap
Yang Maha Wujud itu dan penuh cinta denganNya.
Orang
yang tidak pernah menjalani latihan rohaniah dan tidak tahu hal-hal
kerohanian yang mendalam dan tidak pernah menempuh jalan kerohanian,
mereka jangan cuba-cuba mentafsirkan sendiri pendapat mereka itu takut
nanti tersesat pula.
Penjelasan ke-13 (PERJALANAN AKU)
AKU
datang dari Allah. AKU adalah ma’lum (yang diketahui) dalam ilmu
(pengetahuan) Allah. Kemudian AKU berada di alam ROH. Bila sampai
masanya hendak lahir ke dunia ia dihembuskan ke bakal bayi dalam rahim
ibu. Cukup masanya dalam rahim ibu itu, ia pun lahir ke dunia bersama
adan fizikal yang berbentuk bayi.
AKU
akan berada di dalam alam dunia sampai ajalnya sampai. Kemudian ia
masuk pula ke alam Barzakh. Setelah berada sekian lama, maka ia akan
dipertimbangkan di Hari Pengadilan. AKU akan masuk syurga atau neraka.
Mudah-mudahan janganlah masuk neraka hendaknya. Maka AKU kembali ke
hadrat Allah SWT. Dari Allah AKU datang kepada Allah AKU kembali. Di
sana kekallah hidup bersama dengan Yang Maha Hidup (iaitu Allah)
selama-lamanya. Itulah perjalanan AKU. Mengembara dari satu alam ke satu
alam.
Penjelasan ke-14 (AKU HANYA)
AKU
itu sebenarnya bebas merdeka. Ia hanya bergantung kepada Yang Maha AKU
(iaitu Allah). Ia tidak memiliki apa-apa. Ia hanya menerima limpahan
wujud dari Yang Maha Wujud.
AKU
tidak patut dipuji kerana ia “kosong”. Yang Maha Wujud Hakiki hanya
Allah. AKU tidak memuji Ghairullah (selain Allah) kerana Ghairullah itu pun kosong juga. Yang patut dipuja dan dipuji hanya yang Wujud Hakiki itu sahaja.
AKU
hanya satu sinaran dari Matahari Ketuhanan. AKU hanya satu ombak dari
lautan Ar-Rahman (iaitu Allah). AKU hanya satu ayat dalam karangan
Al-Haq (yang benar) iaitu Allah. AKU hanya sebutir pasir dalam padang
pasir Wujud Yang Maha Meliputi dan Maha Luas. AKU hanya satu bayangan
dari bayangan Dia Yang Maha Ada. Itulah AKU yang tidak terpisah dengan
Tuhanku.
Penjelasan ke-15 (AKU TETAP KEMBALI)
AKU
miskin papa, lemah, tidak berdaya dan tidak punya apa-apa. Yang Kaya
Raya, Yang Gagah Perkasa, Yang Kuat dan Berdaya dan memiliki
segala-galanya iailah Yang Maha Kaya dan Maha Kuat itu juga. Itulah
Allah SWT.
Hidup
AKU kembali ke hidupNya. Gerak AKU kembali kepada gerakNya. Diam AKU
kembali ke diamNya. Sifat AKU kembali ke sifatNya. Nama AKU kembali ke
namaNya. Amalan AKU kembali ke amalanNya. Wujud AKU kembali ke wujudNya.
Memang
benar, AKU itu akan kembali kepadaNya, laksana cahaya kembali ke
matahari, seperti ombak kembali ke laut. Tempat kembali itulah tempat
AKU sebenar.
Penjelasan ke-16 (AKU TIDAK TERTAKLUK
Sebagaimana
tersebut dahulu, AKU itu adalah ROH. Itulah diri. ROH ini tidak
tertakluk kepada ruang dan waktu. Ia bukan tua dan bukan muda. Tua dan
muda itu hanya bagi jasmani dan keadaan dunia ini sahaja. Semua ROH
adalah sebaya sahaja. Nabi Adam AS sebaya dengan Nabi Muhammad SAW. Kita
sebaya dengan moyang kita. Begitulah sebagainya. Tiada tua dan muda
bagi ROH. ROH tercita serentak sekaligus sahaja.
Kemudian
ROH itu dilahirkan ke dunia melalui rahim ibu dengan badan kita sebagai
sangkar atau sarungnya. Ia dilahirkan ke dunia menurut masa yang telah
ditentukan. Siapa yang ditakdirkan lahir dahulu dialah yang tua dan
siapa yang lahir kemudian dialah yang muda.
Dari segi rohaniah atau kebadanan ada tua dan ada yang muda, tetapi dari segi ROH sebaya sahaja.
AKU
juga tidak tertakluk kepada tempat. AKU bukan Barat dan bukan juga
Timur. Bukan juga dari Utara dan bukan juga dari Selatan. AKU tidak
tertakluk kepada arah dan tempat.
AKU
juga bukan tertakluk kepada bangsa. AKU atau ROH bukan berbangsa itu
dan bukan berbangsa ini. Bangsa-bangsa itu hanya wujud dalam dunia nyata
ini. Di alam AKU tidak ada bangsa-bangsa.
AKU
adalah ma’lum dalam ilmu Allah, wujud dalam wujud-NYA. AKU adalah
penzahiran sifatNya. Demikian AKU tenggelam dalam Yang Maha Aku (iaitu
Allah SWT).
Penjelasan ke-17 (AKU PERLU DIBERSIHKAN)
AKU
tidak terkotorkan oleh kencing dan tahi. Tidak ada najis fizikal yang
dapat mengotorkannya. Ibarat cahaya matahari, cahaya itu menyinari najis
dan benda-benda kotor, namun cahaya itu tidak akan kotor. Ia menyinari
tempat wangi dan tempat busuk, tetapi cahaya tidak akan wangi dan busuk,
kotor atau bersih.
Najis
pada AKU itu ialah syirik, menyekutukan Allah, mengatakan Allah lebih
dari satu. Itulah najis bagi AKU. AKU yang bertauhid adalah ROH yang
suci. ROH itu pada hakikatnya sentiasa percaya dengan adanya Allah dan
mengesakanNya. Hanya setelah sampai ke alam dunia barulah ROH itu
tercemar oleh pengaruh keduniaan, pengaruh iblis dan syaitan, pengaruh
kebendaan, pengaruh nafsu serakah, syahwat dan sebagainya.
Kita
perlu membersihkan jiwa atau AKU kita kembali sebagaimana aslinya
dengan zikrullah (mengingat Allah) dengan lisan, hati dan perbuatan.
Zikrullah itu ibarat air mutlak yang membasuh dan menyucikan najis
syirik dari AKU itu. Bersihkanlah AKU itu hingga fana’ (terasa diri
kosong, tiada apa-apa) dan kemudian mencapai setingkat lagi ke peringkat
‘baqa’ (terasa diri sentiasa bersama Allah). Terasa Allah ada dimana
sahaja kita berada.
AKU
yang bersih atau diri yang suci adalah diri yang mengesakan Allah
hingga tidak terasa adanya diri. Yang ada hanya DIRI YANG BERDIRI
SENDIRINYA iaitu Allah SWT.
Penjelasan ke-18 (AKU BERASAL DARI TEMPAT MULIA)
AKU
yang hakiki itu tidak tertakluk kepada warna kulit dan bangsa. AKU itu
bukan putih, hitam manis, kuning dan sebagainya. Sebagaimana adanya
warna pada badan. AKU tidak ada warna dan tidak berbangsa-bangsa seperti
bangsa Cina, India, Melayu, Arab dan sebagainya.
Badan
kita berasal dari unsur-unsur tanah, air, api, dan udara tetapi ROH
kita bukan dari unsur-unsur dunia nyata ini. AKU ghaib dari pandangan
mata kasar namun ia tetap wujud.
AKU
berasal dari tempat yang paling mulia. AKU berasal dari Yang Maha AKU
(iaitu Allah). AKU berasal dari ilmu Allah masuk ke alam jasad ini dan
kemudian kembali kepadaNya. Jadilah ROH itu sebagai Nur Allah sahaja. Ia
pun kembali ke tempat asalnya iaitu ke hadrat Allah SWT.
No comments:
Post a Comment