Saturday, June 23, 2012

FASAL AKHIR : FUTUHAT AN-NAJHAH

أشهد أن لا اله الا الله و أشهد أن محمدا رسول الله

FASAL AKHIR : FUTUHAT AN-NAJHAH

MAKSUD AL-BASMALAH

Maksud pembacaan Al-Basmalah ialah bahawa, "Daku memulakan pembacaan Surah Al-Fatihah ini dengan menyebut Nama Allah yang penuh keberkatan." Setiap pekerjaan yang baik hendaklah dimulakan dengan menyebut Nama Allah. Ketika hendak makan dan minum, memakai dan menanggalkan pakaian, keluar dan masuk rumah, menaiki kenderaan, menyembelih haiwan dan sebarang pekerjaan yang baik lebih-lebih lagi ketika memulakan pembacaan ayat-ayat suci Al-Quran hendaklah dimulakan dengan menyebut Nama Allah. Allah adalah Nama Zat Yang Maha Suci, yang berhak disembah dengan sebenar-benarnya, yang tidak bergantung pada makhlukNya, tetapi makhluk yang bergantung kepadaNya.

Di dalam kitab Tafsir Al-'Azhim karangan Hadhrat Imam Ibnu Katsir Rahmatullah 'Alaih ada menukilkan bahawa Hadhrat Imam Abu Muhammad 'Abdur Rahman Bin Abi Hatim Rahmatullah 'Alaih di dalam Tafsirnya telah menyatakan bahawa beliau telah meriwayatkan dari Hadhrat Ja'afar Bin Musafir Rahmatullah 'Alaih dan beliau telah meriwayatkan dari Hadhrat Zaid Bin Al-Mubarak As-San'ani Rahmatullah 'Alaih dan beliau telah meriwayatkan dari Hadhrat Salam Bin Wahab Al-Jundi Rahmatullah 'Alaih dan beliau telah meriwayatkan dari bapanya Hadhrat Wahab Al-Jundi Rahmatullah 'Alaih dan beliau telah meriwayatkan dari Hadhrat Tawus Rahmatullah 'Alaih dan beliau telah meriwayatkan dari Hadhrat Ibnu 'Abbas Radhiyallahu 'Anhu bahawa Hadhrat 'Utsman Bin 'Affan Radhiyallahu 'Anhu telah bertanya kepada Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu Ta'ala 'Alaihi Wasallam berkenaan "Bismillahir-Rahmanir-Rahim" (
ﺑﺴﻢ ﺍﻟﺮﺣﻤٰﻦ ﺍﻟﺮﺣﻴﻢ)? Maka Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam telah bersabda,

هو اسم من أسماء الله وما بينه وبين اسم الله الأكبر إلا كما بين سواد العينين وبياضهما من القرب

"Ia adalah nama dari Nama-Nama Allah dan tiadalah di antaranya dan antara Nama Allah Yang Maha Besar melainkan kedekatan jaraknya adalah seumpama antara mata hitam dan putih pada kedua belah mata."

Hadits ini telah diriwayatkan juga oleh Hadhrat Abu Bakar Bin Mardawaih Rahmatullah 'Alaih dari Hadhrat Sulaiman Bin Ahmad Rahmatullah 'Alaih dari Hadhrat 'Ali Bin Al-Mubarak Rahmatullah 'Alaih dari Hadhrat Zaid Bin Al-Mubarak Rahmatullah 'Alaih. Hadits ini juga telah dikeluarkan oleh Hadhrat Imam Al-Hakim, Hadhrat Imam Al-Baihaqi, Hadhrat Imam Abu Dzar Al-Harwi dan Hadhrat Imam Al-Khatib Al-Baghdadi Rahimahumullah dengan riwayat dari Hadhrat Ibnu 'Abbas Radhiyallahu 'Anhu.

Hadhrat Imam Ibnu Abi Ad-Dunya dan Hadhrat Imam Ibnu Syaibah Rahmatullah 'Alaihima telah mengeluarkan sebuah Hadits dari Hadhrat Ash-Shu'bi Radhiyallahu 'Anhu bahawa Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam telah bersabda,

ﺑﺴﻢ ﺍﷲ ﺍﻷﻋﻈﻢ ﻫﻮ ﺍﷲ

"Dengan Nama Allah Yang Maha Teragung adalah Allah".

Hadhrat Imam Al-Bukhari Rahmatullah 'Alaih telah mengeluarkan sebuah Hadits dari Hadhrat Jabir Radhiyallahu 'Anhu bahawa Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam telah bersabda,

ﺇﺳﻢ ﺍﻷﻋﻈﻢ ﻫﻮ ﺍﷲ ﺍﻻ ﺗﺮٰﻯ ﺃﻧﻪ ﺟﻤﻴﻊ ﺍﻟﻘﺮﺁﻥ ﻳﺒﺪﺃ ﺑﻪ ﻗﺒﻞ ﻛﻞ ﺇﺳﻢ

"Isim Allah Al-A'zham yakni Nama Allah Yang Paling Teragung adalah Allah. Apakah kamu tidak melihat bahawasanya pada setiap pembacaan Al-Quran dimulai dengan "Bismillah" sebelum menyebut sekelian nama."

Hadhrat Imam As-Sullami Rahmatullah 'Alaih seorang Mufassir yang telah mengarang kitab Tafsir berjudul Haqaiq At-Tafsir ada menukilkan dari Hadhrat Abu Al-Qasim Al-Hakim Rahmatullah 'Alaih telah menyatakan bahawa ayat Bismillahir-Rahmanir-Rahim (
ﺑﺴﻢ ﺍﻟﺮﺣﻤٰﻦ ﺍﻟﺮﺣﻴﻢ) adalah mengisyaratkan kepada kasih-sayang Allah pada segala permulaan.

Menurut pengarang Tafsir Ruh Al-Bayan, Hadhrat Isma'il Haqqi Rahmatullah 'Alaih tentang perkara yang sahih lagi diterima di sisi 'Ulama Mutaakhirin Mazhab Hanafiyah bahawa Bismillahir-Rahmanir-Rahim (
بسم الله الرحمن الرحيم) adalah suatu ayat yang berasingan dan bukan sebahagian juzuk daripada Surah Al-Fatihah. Ianya telah diturunkan sebagai pembahagi bagi setiap Surah. Ianya juga diturunkan sebagai suatu sumber keberkatan dalam memulakan sesuatu pekerjaan seperti dengan menyebutnya pada setiap urusan yang penting.

Bismillahir-Rahmanir-Rahim (
بسم الله الرحمن الرحيم) adalah Kunci Al-Quran dan merupakan kalimah pertama yang telah dituliskan oleh Qalam pada Lauh Mahfuz dan merupakan kalimah pertama yang telah diturunkan kapada Hadhrat Baginda Nabi Adam 'Alaihissalam. Ketika hendak memulakan pembacaan Al-Quran, Bismillahir-Rahmanir-Rahim (بسم الله الرحمن الرحيم) hendaklah dibaca sesudah mengucapkan Al-Isti'azah iaitu kalimah memohon perlindungan Allah dari kejahatan Syaitan yang direjam.

Hikmah dikemudiankan Bismillahir-Rahmanir-Rahim (
بسم الله الرحمن الرحيم) sesudah Al-Isti'azah adalah sebagai mendahulukan pengosongan Takhalliyyah terhadap segala perkara mengatasi pengisian Tahalliyyah dan terhadap permohonan kepada segala sesuatu yang selain Allah dalam menghadap dan memberikan Tawajjuh kepada HadhratNya.

Orang-orang kafir dalam masyarakat Jahiliyah pada kelazimannya memulakan pekerjaan mahupun ucapan mereka dengan nama tuhan-tuhan mereka dengan mengucapkan, "Dengan Nama Al-Lata dan Al-'Uzza". Maka bagi sekelian Ahli Tauhid wajiblah memaksudkan pengertian makna yang khusus berkaitan Nama Allah dalam pengucapan mereka ketika memulakan sesuatu pekerjaan, iaitu dengan mendahulukan pengucapannya kemudian diikuti dengan amal perbuatan.
FAEDAH AL-BASMALAH

Hadhrat Imam Jalaluddin As-Sayyuti Rahmatullah 'Alaih telah menukilkan sepuluh faedah daripada Al-Basmalah.

Pertama:
Menurut Hadhrat Imam Malik Rahmatullah 'Alaih, Al-Basmalah bukanlah suatu ayat daripada Surah Al-Fatihah dan buka dari sebarang Surah yang lain melainkan telah dikhususkan di dalam kandungan Surah An-Naml. Menurut pendapat Hadhrat Imam Syafi'I Rahmatullah 'Alaih bahawa ianya adalah suatu ayat daripada Surah Al-Fatihah. Menurut Hadhrat Ibnu 'Abbas Radhiyallahu 'Anhu bahawa ianya adalah suatu ayat permulaan bagi setiap Surah.

Hadhrat Imam Malik Rahmatullah 'Alaih telah memberikan hujjah dengan sebuah Hadits Sahih yang panjang yang telah diriwayatkan oleh Hadhrat 'Ubay Bin Ka'ab Radhiyallahu 'Anhu, bahawa Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam telah bersabda yang mafhumnya bahawa,
"Telah diturunkan kepadaku sebuah Surah yang tidak ada seumpama dengannya di dalam Kitab Taurat, Kitab Injil mahupun Al-Quran. Alhamdu Lillahi Rabbil-'Alamin (Segala puji bagi Allah Tuhan Pemelihara seluruh alam)."

Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam telah memulakan pembacaan Surah Al-Fatihah tanpa menyebutkan Basmalah. Hadits tersebut juga telah diriwayatkan oleh Hadhrat Imam At-Tirmizi Rahmatullah 'Alaih dan Hadhrat Imam Al-Bukhari Rahmatullah 'Alaih di dalam At-Tafsir daripada Sahihnya.
Terdapat juga kenyataan dari sebuah Hadits Qudsi yang Sahih daripada Hadhrat Imam Malik Rahmatullah 'Alaih seperti yang telah diriwayatkannya di dalam Al-Muwatta dan oleh Hadhrat Imam Muslim di dalam Kitab As-Solah daripada Sahihnya bahawa Allah Ta'ala telah berfirman,
"Aku telah membahagikan Solat antara Aku dan HambaKu dalam dua bahagian.
Apabila HambaKu mengucapkan: Alhamdulillahi Rabbil-'Alamin…"

Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam juga telah membacakan Surah Al-Fatihah tanpa menyebutkan Basmalah. Hadhrat Imam Syafi'I telah mengemukakan hujjahnya dengan menampilkan sebuah riwayat Hadits daripada Hadhrat Imam An-Nasa'I Rahmatullah 'Alaih dan Hadhrat Imam Ibnu Hibban Rahmatullah 'Alaih bahawa Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam selalu meyebut:

"Bismillahir-Rahmanir-Rahim. Alhamdulillahi Rabbil-'Alamin."
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Yang Maha Pengasih.
Segala puji bagi Allah Tuhan Pemelihara sekelian alam.

Hadhrat Ibnu 'Abbas Radhiyallahu 'Anhu telah memberikan hujjah bahawa Basmalah adalah tertulis bersama setiap Surah di dalam Mushaf.

Kedua:
Apabila kamu memulakan pembacaan sesebuah Surah hendaklah membaca Basmalah kecuali untuk Surah At-Taubah. Jika kamu memulakan membaca satu bahagian daripada sesebuah Surah, kamu mempunyai pilihan antara membacakan Basmalah atau meninggalkannya. Demikian menurut Hadhrat Abu 'Amr Ad-Dani Rahmatullah 'Alaih, seorang Imam dalam ilmu-ilmu penafsiran Al-Quran dan telah menulis banyak kitab dalam berbagai kaedah pembacaan dan hukum-hukum pembacaan serta Tafsir Al-Quran. antara kitabnya yang termasyhur adalah Kitab At-Taysir Fi Qira-ah Sab'ah yang menyatakan sanad mereka yang telah menerima kaedah pembacaan daripada tujuh orang pembaca Al-Quran.

Sebahagiannya berkata agar ditinggalkan pembacaan Basmalah. Jika kamu telah menyempurnakan suatu Surah dan hendak memulakan suatu Surah yang lain, maka para pembaca adalah berbeza-beza keadaannya sama ada hendak membacakan Basmalah ataupun meninggalkannya.

Ketiga:
Basmalah tidak dibacakan di dalam Solat menurut Hadhrat Imam Malik Rahmatullah 'Alaih, namun menurut Hadhrat Imam Ash-Shafi'I Rahmatullah 'Alaih ianya disebutkan secara jelas dan kuat di dalam Solat yang dibacakan secara Jihri dan hendaklah dibacakan secara perlahan dan rahsia di dalam Solat yang bacaan Al-Quran dibacakan secara Sirri. Menurut Hadhrat Imam Abu Haifah Rahmatullah 'Alaih, Basmalah hendaklah dibacakan secara rahsia dan perlahan di dalam kedua-dua jenis Solat sama ada Solat Sirri mahupun Solat Jihri.

Hadhrat Imam Malik telah memberikan hujjah dengan menampilkan dua sudut. Pertama, bahawa menurut beliau Basmalah bukanlah satu ayat daripada Surah Al-Fatihah seperti yang telah dikemukakan. Kedua, bahawa apa yang telah dinyatakan di dalam Hadits Sahih daripada Hadhrat Anas Radhiyallahu 'Anhu bahawa beliau telah berkata,
"Daku telah bersolat bersama dengan Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam dan Hadhrat Abu Bakar Radhiyallahu 'Anhu dan Hadhrat 'Umar Radhiyallahu 'Anhu dan Hadhrat 'Utsman Radhiyallahu 'Anhu, dan mereka telah memulakan pembacaan Surah Al-Fatihah dengan ucapan: "Alhamdulillahi Rabbil-'Alamin" (Segala puji bagi Allah Tuhan Pemelihara sekelian alam)."
Tanpa menyebutkan Bismillah (Dengan Nama Allah) di permulaannya mahupun di penghujungnya, yakni ketika memulakan pembacaan Surah yang lain sesudah Surah Al-Fatihah.
FADHILAT AL-BASMALAH

Sesungguhnya ucapan Al-Basmalah mengandungi kesan keberkatan yang sangat besar, maka adalah Mustahab mengucapkan "Bismillah" pada permulaan setiap pekerjaan mahupun perkataan. Adalah Mustahab mengucapkannya ketika permulaan menyampaikan Khutbah kerana telah datang riwayat sebuah Hadits yang masyhur bahawa Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam telah bersabda,

كل أمر لا يبدأ فيه ببسم الله الرحمن الرحيم فهو أجذم

"Setiap urusan yang tidak dimulakan padanya dengan ungkapan "Bismillahir-Rahmanir-Rahim" (ﺑﺴﻢ ﷲ ﺍﻟﺮﺣﻤٰﻦ ﺍﻟﺮﺣﻴﻢ), maka ianya adalah terkudung".

Dalam Hadits yang lain dengan sabdanya,

كل أمر ﺫﻱ ﺑﺎﻝ لا يبدأ ببسم الله الرحمن الرحيم فهو أﻗﻄﻊ ﻭ ﻫﻮ ﺃﺑﺘﺮ

"Setiap urusan penting yang tidak dimulakan dengan ungkapan "Bismillahir-Rahmanir-Rahim" (ﺑﺴﻢ ﷲ ﺍﻟﺮﺣﻤٰﻦ ﺍﻟﺮﺣﻴﻢ), maka ianya adalah terputus dan ianya tidak berkat".

Dalam sebuah Hadits yang telah diriwayatkan oleh Hadhrat Imam Daruqutni Rahmatullah 'Alaih dari Hadhrat Ibnu 'Umar Radhiyallahu 'Anhu bahawa Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam pernah mengatakan,
"Adalah Hadhrat Jibril 'Alaihissalam datang menemuiku dengan membawa Wahyu dan mula-mula yang diberikannya kepadaku ialah kalimah "Bismillahir-Rahmanir-Rahim" (ﺑﺴﻢ ﷲ ﺍﻟﺮﺣﻤٰﻦ ﺍﻟﺮﺣﻴﻢ).

Mengucapkan Al-Basmalah juga adalah Mustahab ketika hendak memasuki tandas kerana terdapat Hadits yang menyatakan sedemikian. Adalah Mustahab mengucapkannya ketika permulaan Wudhu' kerana ada dinukilkan sebuah Hadits Hasan oleh Hadhrat Imam Ahmad Rahmatullah 'Alaih dalam kitab Musnad karangan beliau dengan riwayat daripada Hadhrat Abu Hurairah, Hadhrat Sa'id Bin Zaid dan Hadhrat Abu Sa'id Radhiyallahu 'Anhum bahawa Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam telah bersabda,

لا وضوء لمن لم يذكر اسم الله عليه

"Tiadalah sempurna Wudhu bagi seseorang yang langsung tidak menyebut Nama Allah atas Wudhunya."

Terdapat sebahagian di kalangan Para 'Ulama yang telah mewajibkan menyebut bacaan Al-Basmalah ketika memulakan Wudhu berdasarkan Hadits ini. Begitu juga ketika menyembelih haiwan, adalah Mustahab menyebutkan Al-Basmalah di sisi Mazhab Syafi'iy dan jemaah para pengikutnya manakala sebahagian yang lain telah mewajibkan pembacaannya.

Hadhrat Imam Ar-Razi Rahmatullah 'Alaih telah menukilkan dalam kitab Tafsirnya berkenaan fadhilat kelebihan Al-Basmalah menerusi beberapa buah Hadits, antaranya sebuah Hadits yang telah diriwayatkan oleh Hadhrat Abu Hurairah Radhiyallahu 'Anhu bahawa Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam telah bersabda,

إذا أتيت أهلك فسم الله فإنه إن ولد لك ولد كتب لك بعدد أنفاسه وأنفاس ذريته حسنات

"Apabila kamu mendatangi isterimu, maka sebutlah Nama Allah kerana jika dikurniakan kamu dengan anak, nescaya akan dituliskan pahala Hasanah kebaikan bagimu sebanyak bilangan nafas-nafasnya dan nafas-nafas zuriatnya."

Begitulah juga ketika makan dan minum, adalah menjadi Mustahab menyebutkan Al-Basmalah ketika memulakannya kerana ada sebuah Hadits yang dinyatakan di dalam Sahih Muslim bahawa Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam telah bersabda kepada Hadhrat 'Umar Bin Abi Salamah Radhiyallahu 'Anhu,

قل بسم الله وكل بيمينك وكل مما يليك

"Ucapkanlah "Bismillah" dan makanlah dengan tangan kanan kamu dan makanlah dari apa yang dekat padamu."

Begitu juga, adalah Mustahab mengucapkan Al-Basmalah ketika Jima' kerana terdapat riwayat di dalam Sahih Al-Bukhari dan Sahih Muslim dari Hadhrat Ibnu 'Abbas Radhiyallahu 'Anhu telah meriwayatkan bahawa Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam telah bersabda,

لو أن أحدكم إذا أراد أن يأتي أهله قال بسم الله اللهم جنبنا الشيطان وجنب الشيطان ما رزقتنا فإنه إن يقدر بينهما ولد لم يضره الشيطان أبدا

"Jikalau salah seorang di kalangan kamu ketika hendak mendatangi isterinya hendaklah mengucapkan:

"Dengan Nama Allah, Wahai Allahumma, jauhkanlah kami dari Syaitan dan jauhkanlah Syaitan terhadap apa yang Engkau rezekikan kepada kami."
Kerana sesungguhnya jika ditaqdirkan antara kedua pasangan tersebut anak, maka Syaitan tidak akan dapat mendatangkan sebarang mudharat kepadanya selama-lamanya."

Terdapat banyak Hadits Nabawi yang menyatakan berkenaan Fadhilat dan kelebihan Al-Basmalah. Bahawa Hadhrat Imam Ahmad Rahmatullah 'Alaih telah melaporkan daripada Hadhrat Abu Tamimah Radhiyallahu 'Anhu berkata mafhumnya, bahawa beliau sedang menunggang dibelakang Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam lalu kaki tunggangannya terjatuh dan beliau telah berkata:
"Celaka Syaitan!"

Mendengarkan perkataan beliau Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam telah bersabda,

لا تقل هكذا فإنه يتعاظم حتى يكون كالبيت ولكن قل بسم الله فإنه يصغر حتى يكون كالذبابة

"Janganlah berkata sedemikian kerana sesungguhnya perkataan tersebut akan menjadikannya sombong membesarkan diri sehingga keadaannya menjadi sebesar sebuah rumah, akan tetapi ucapkanlah "Bismillah" kerana sesungguhnya ucapan tersebut akan menjadikannya kecil sehingga keadaannya seperti seekor lalat."

Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam telah diriwayatkan sebagai pernah bersabda mafhumnya,

ﻣﺎ ﻣﻦ ﻋﺒﺪ ﻳﻘﻮﻝ ﺑﺴﻢ ﷲ ﺍﻟﺮﺣﻤﻦ ﺍﻟﺮﺣﻴﻢ ﺇﻻ ﺫﺍﺏ ﺍﻟﺸﻴﻄﺎﻥ ﻛﻤﺎ ﻳﺬﻭﺏ ﺍﻟﺮﺻﺎﺹ ﻋﻠﻰ ﺍﻟﻨﺎﺭ

"Tiada seseorang hamba mengucapkan Bismillahir-Rahmanir-Rahim (ﺑﺴﻢ ﷲ ﺍﻟﺮﺣﻤٰﻦ ﺍﻟﺮﺣﻴﻢ) melainkan hancur Syaitan sebagaimana hancurnya timah yang ditaruh di atas api."

Ada dinukilkan di dalam Kitab Pati Rahsia karangan Hadhrat Tuan Guru Haji Nik Mahmud Bin Isma'il Rahmatullah 'Alaih iaitu Datuk Perdana Menteri Paduka Raja Negeri Kelantan Darun-Na'im berkenaan Nama Allah Yang Maha Besar lagi Maha Tinggi. Bahawasanya Allah Subhanahu Wa Ta'ala ada mempunyai tiga ribu nama iaitu sebanyak seribu Nama, Allah Ta'ala memberikan pengetahuannya kepada Para Malaikat sahaja. Sebanyak seribu Nama, Allah Ta'ala memberikan pegetahuannya kepada Para Nabi sahaja. Sebanyak tiga ratus Nama ada tersebut di dalam Kitab At-Taurat, sebanyak tiga ratus Nama ada tersebut di dalam Kitab Az-Zabur, sebanyak tiga ratus Nama ada tersebut di dalam Kitab Al-Injil, sebanyak sembilan puluh sembilan Nama ada tersebut di dalam Kitab Al-Quran dan satu Nama Khas tersimpan dalam Pengetahuan Allah Subhanahu Wa Ta'ala. Sekelian makna Nama-Nama Allah Ta'ala yang berjumlah tiga ribu itu ada terkandung di dalam ayat Bismillahir-Rahmanir-Rahim (ﺑﺴﻢ ﷲ ﺍﻟﺮﺣﻤٰﻦ ﺍﻟﺮﺣﻴﻢ) dan jika sesiapa membaca Bismillahir-Rahmanir-Rahim (ﺑﺴﻢ ﷲ ﺍﻟﺮﺣﻤٰﻦ ﺍﻟﺮﺣﻴﻢ), nescaya Allah Subhanahu Wa Ta'ala akan mengurniakan kepadanya balasan pahala sebanyak pahala yang dikurniakan kepada orang yang membaca sekelian Nama Allah Subhanahu Wa Ta'ala yang tiga ribu itu.

Sesiapa banyak membaca Bismillahir-Rahmanir-Rahim (ﺑﺴﻢ ﷲ ﺍﻟﺮﺣﻤٰﻦ ﺍﻟﺮﺣﻴﻢ) pada mana-mana perkara yang yang dihajati dan istimewa pula pada mendapatkan rezeki, nescaya Allah Ta'ala memudahkannya dan mengurniakannya dengan kehebatan pada hati mereka yang memandang kepadanya.

Sesiapa membaca Bismillahir-Rahmanir-Rahim (ﺑﺴﻢ ﷲ ﺍﻟﺮﺣﻤٰﻦ ﺍﻟﺮﺣﻴﻢ) dua puluh satu kali ketika hendak tidur, terpeliharalah pada malam itu daripada Syaitan dan daripada kejahatan manusia dan jin dan daripada kecurian dan kebakaran dan selamat daripada mati terkejut dan terjauh daripada bala dan penyakit.

Jika dibaca Bismillahir-Rahmanir-Rahim (ﺑﺴﻢ ﷲ ﺍﻟﺮﺣﻤٰﻦ ﺍﻟﺮﺣﻴﻢ) sebanyak seratus kali selama tujuh hari berturut-turut pada mana-mana penyakit ataupun pada orang yang kena sihir, nescaya sembuh orang itu daripada sihir dan penyakit.

Sesiapa yang membaca Bismillahir-Rahmanir-Rahim (ﺑﺴﻢ ﷲ ﺍﻟﺮﺣﻤٰﻦ ﺍﻟﺮﺣﻴﻢ) seratus tiga belas kali pada hari Jumaat ketika Khatib di atas Mimbar, kemudian berdoa bersama Khatib dan memohon daripada Allah Ta'ala aka apa-apa hajat, nescaya Allah Ta'ala akan mengurniakan apa-apa yang dipohonkannya itu.

Sesiapa membaca Bismillahir-Rahmanir-Rahim (ﺑﺴﻢ ﷲ ﺍﻟﺮﺣﻤٰﻦ ﺍﻟﺮﺣﻴﻢ) sebanyak tiga ratus tiga belas kali ketika terbit matahari pada hari Ahad dengan keadaan menghadap Qiblat, nescaya Allah Ta'ala mengurniakan kepadanya rezeki yang tiada terhingga banyaknya.

Sesiapa membaca Bismillahir-Rahmanir-Rahim (ﺑﺴﻢ ﷲ ﺍﻟﺮﺣﻤٰﻦ ﺍﻟﺮﺣﻴﻢ) sebanyak tujuh ratus lapan puluh tujuh kali dengan hati yang suci pada suatu perkara yang diredhai oleh Allah Ta'ala atau pada mencapai sesuatu hajat atau hendak menjauhkan apa-apa bala, nescaya dapat dan berhasil apa-apa yang dipohonkannya. Cara yang terlebih elok dalam mengamalkan pembacaan Bismillahir-Rahmanir-Rahim (ﺑﺴﻢ ﷲ ﺍﻟﺮﺣﻤٰﻦ ﺍﻟﺮﺣﻴﻢ) sebanyak tujuh ratus lapan puluh tujuh kali ialah ketika dalam keadaan berpuasa di tempat yang suci yakni berkhalwat selama tujuh hari berturut-turut, kerana kaifiyat seperti ini terlebih diharap akan dapat dengan segera apa-apa yang dihajati.

Sesiapa membaca Bismillahir-Rahmanir-Rahim (ﺑﺴﻢ ﷲ ﺍﻟﺮﺣﻤٰﻦ ﺍﻟﺮﺣﻴﻢ) sebanyak dua ribu lima ratus kali setiap selepas Solat Subuh selama empat puluh hari berturut-turut serta ingat kepada fadhilat-fadhilat kelebihannya, nescaya dibukakan oleh Allah Ta'ala akan hatinya mudah mengetahui ilmu-ilmu pengetahuan.

Sesiapa sentiasa membaca Bismillahir-Rahmanir-Rahim (ﺑﺴﻢ ﷲ ﺍﻟﺮﺣﻤٰﻦ ﺍﻟﺮﺣﻴﻢ) sebanyak seribu kali pada tiap-tiap hari, nescaya dijadikan semua manusia bersetuju kepadanya. Sesiapa sentiasa membaca Bismillahir-Rahmanir-Rahim (ﺑﺴﻢ ﷲ ﺍﻟﺮﺣﻤٰﻦ ﺍﻟﺮﺣﻴﻢ) seribu kali pada tiap-tiap hari, nescaya mudahlah memperolehi apa-apa yang dikehendakinya. Sesiapa membaca Bismillahir-Rahmanir-Rahim (ﺑﺴﻢ ﷲ ﺍﻟﺮﺣﻤٰﻦ ﺍﻟﺮﺣﻴﻢ) seribu kali pada tiap-tiap hari dan malam, nescaya terlepaslah daripada bala musibah dan kesusahan.

Jika dibaca Bismillahir-Rahmanir-Rahim (ﺑﺴﻢ ﷲ ﺍﻟﺮﺣﻤٰﻦ ﺍﻟﺮﺣﻴﻢ) seribu kali pada suatu mangkuk air hujan, kemudian diberi minum kepada orang yang bodoh, ketika terbit matahari selama tujuh pagi berturut-turut, teraglah hatinya dan mudah ingat apa-apa yang dipelajarinya.

Sesiapa mengekali membaca Bismillahir-Rahmanir-Rahim (ﺑﺴﻢ ﷲ ﺍﻟﺮﺣﻤٰﻦ ﺍﻟﺮﺣﻴﻢ) ketika memulai sesuatu pekerjaan atau ketika duduk, bangun, hendak berjalan, tidur, makan, mengambil Wudhu, menulis, membaca dan lain-lai lagi, nescaya Allah Ta'ala mempermudahkan baginya keluar nyawa ketika hendak mati dengan tidak merasai apa-apa kesakitan, dan fasih lidahnya menjawab apa-apa pertanyaan Malaikat Munkar dan Nakir dan Allah akan memperluaskan kuburnya denga keadaan cahaya yang gilang-gemilang dan pada Hari Qiyamat akan dikeluarkannya dari kuburnya dengan keadaan putih kulitnya dan bercahaya-cahaya dan mendapatlah kebahagiaan dan kesenangan dan akan dapat melalui Titian Sirat dengan cepat seolah-olah seperti kilat lajunya masuk ke dalam Syurga.

Sabda Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam yang bermafhum bahawa,
"Allah Ta'ala tiada menolak permintaan orang berdoa yang dimulai dengan Bismillahir-Rahmanir-Rahim (ﺑﺴﻢ ﷲ ﺍﻟﺮﺣﻤٰﻦ ﺍﻟﺮﺣﻴﻢ).

Sabda Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam yang mafhumnya bahawa,
"Sesiapa daripada kalangan kamu yang hendak menulis, jadikanlah Bismillahir-Rahmanir-Rahim (ﺑﺴﻢ ﷲ ﺍﻟﺮﺣﻤٰﻦ ﺍﻟﺮﺣﻴﻢ) pada awal tulisan kamu."

Dan lagi sabdanya,
"Sesiapa menulis Bismillahir-Rahmanir-Rahim (ﺑﺴﻢ ﷲ ﺍﻟﺮﺣﻤٰﻦ ﺍﻟﺮﺣﻴﻢ) denga tiada dihapus, nescaya Allah Ta'ala mengurniakan kepadanya seribu kebajikan dan menghapuskan seribu kejahatan."
Sesiapa menulis Bismillahir-Rahmanir-Rahim (ﺑﺴﻢ ﷲ ﺍﻟﺮﺣﻤٰﻦ ﺍﻟﺮﺣﻴﻢ) dengan tulisan yang elok kerana memuliakan Allah Ta'ala, nescaya Allah Ta'ala mengampunkan dosa-dosanya. Sesiapa yang mengutip sekeping kertas yang ada padanya tulisan Bismillahir-Rahmanir-Rahim (ﺑﺴﻢ ﷲ ﺍﻟﺮﺣﻤٰﻦ ﺍﻟﺮﺣﻴﻢ) kerana takut terkena pijak, nescaya Allah Ta'ala mengurniakan kepadanya masuk ke dalam kumpulan Para As-Siddiqin. Dan antara tanda-tanda kelebihan kalimah yang agung Bismillahir-Rahmanir-Rahim (ﺑﺴﻢ ﷲ ﺍﻟﺮﺣﻤٰﻦ ﺍﻟﺮﺣﻴﻢ) ini ialah Surah-Surah dalam Al-Quran dimulai dengannya.

Jika ditulis Bismillahir-Rahmanir-Rahim (ﺑﺴﻢ ﷲ ﺍﻟﺮﺣﻤٰﻦ ﺍﻟﺮﺣﻴﻢ) sebanyak dua puluh satu kali pada suatu kertas kemudian diberi pakai kepada budak-budak kecil yang selalu terkejut ketika tidur, nescaya hilang penyakitnya itu. Sesiapa menulis Bismillahir-Rahmanir-Rahim (ﺑﺴﻢ ﷲ ﺍﻟﺮﺣﻤٰﻦ ﺍﻟﺮﺣﻴﻢ) sebanyak tiga puluh lima kali pada suatu kertas kemudian digantungkan dalam rumah, terpeliharalah rumah itu daripada Syaitan, Jin dan diberi kepadanya Berkat yang banyak dan Allah Ta'ala akan memelihara hartanya dan usahanya serta terjauh daripada kesusahan. Sesiapa menulis kalimah Bismillahir-Rahmanir-Rahim (ﺑﺴﻢ ﷲ ﺍﻟﺮﺣﻤٰﻦ ﺍﻟﺮﺣﻴﻢ) sebanyak seratus satu kali pada suatu kertas yang putih kemudian tanamka dalam kebun, nescaya subur tumbuh-tumbuhannya dan terpelihara daripada musuh-musuhnya.


Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam telah bersabda,

أنزلت علي آية لم تنزل على نبي غير سليمان بن داود وغيري وهي " بسم الله الرحمن الرحيم "

"Telah diturunkan ke atasku suatu Ayat yang tidak pernah sama sekali diturunkan ke atas seorang Nabi pun selain Hadhrat Nabi Sulaiman Bin Hadhrat Nabi Daud 'Alaihimassalam dan selainku, dan ianya adalah "Bismillahir-Rahmanir-Rahim"."

Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam telah bersabda,

ﻛﺎﻥ ﺟﺒﺮﻳﻞ ﺇﺫﺍ ﺟﺎﺀ ﻧﻲ ﺑﺎﻟﻮﺣﻲ ﺃﻭﻝ ﻣﺎ ﻳﻠﻘﻰ ﻋﻠﻲ ﺑﺴﻢ ﷲ ﺍﻟﺮﺣﻤﻦ ﺍﻟﺮﺣﻴﻢ

"Adalah Hadhrat Jibril 'Alaihissalam apabila datang kepadaku dengan membawa Wahyu, pertama-tama apa yang beliau mentalqinkan ke atasku adalah "Bismillahir-Rahmanir-Rahim"."

Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam telah bersabda,

ﺎ ﻧﺰﻟﺖ ﺑﺴﻢ ﺍﷲ ﺍﻟﺮﺣﻤٰﻦ ﺍﻟﺮﺣﻴﻢ ﻓﺮﺡ ﺃﻫﻞ ﺍﻟﺴﻤٰﻮﺍﺕ ﻣﻦ ﺍﻶﺋﻜﺔ ﻭﺍﻫﺘﺰ ﺍﻟﻌﺮﺵ ﻟﻨﺰﻭﺎ ﻭﻧﺰﻝ ﻣﻌﻬﺎ ﺃﻟﻒ ﻣﻠﻚ ﻭﺯﺍﺩﺕ ﺍﻶﺋﻜﺔ ﺇﺎﻧﺎ ﻭﺧﺮﺟﺖ ﺍﺎﻥ ﻋﻠﻰٰ ﻭﺟﻮﻫﻬﻢ ﻭﺮﻛﺖ ﺍﻷﻓﻼﻙ ﻭﺫﻟﺖ ﻟﻌﻈﻤﺘﻬﺎ ﺍﻷﻣﻼﻙ

"Ketika turun "Bismillahir-Rahmanir-Rahim", telah bergembira Ahli Langit dari kalangan Para Malaikat dan telah bergoncanglah 'Arash kerana penurunannya, dan telah turun berserta denganya seribu Malaikat dan telah bertambahlah keadaan Iman sekelian Para Malaikat, dan telah keluarlah sekelian Jin menundukkan muka mereka dan telah bergetarlah sekelian Falak dan bergementarlah sekelian sendi-sendi kerana keagungan penurunannya."

Hadhrat 'Aishah Radhiyallahu 'Anha bahawa beliau telah berkata,
"Ketika turun "Bismillahir-Rahmanir-Rahim", telah bertasbihlah gunung-ganang sehingga ahli penduduk Makkah dan orang-orang di sekitarnya telah turut mendengarnya. Lalu mereka telah berkata,
"Rupanya Muhammad yang telah menyihir gunung-ganang itu."
Kemudian Allah telah menghantarkan awan sehingga bayang-bayangnya telah meneduhkan ahli penduduk Makkah. Kemudian, Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam telah bersabda,

ﻣﻦ ﻗﺮﺃ ﺑﺴﻢ ﺍﷲ ﺍﻟﺮﺣﻤٰﻦ ﺍﻟﺮﺣﻴﻢ ﻣﻮﻗﻨﺎ ﺳﺒﺤﺖ ﻣﻌﻪ ﺍﺒﺎﻝ ﺃﻻ ﺃﻧﻪ ﻻ ﻳﺴﻤﻊ ﻣﻨﻬﺎ

"Barangsiapa membaca "Bismillahir-Rahmanir-Rahim" dengan yaqin, akan bertasbihlah berserta dengannya segala gunung-ganang, cuma dia saja yang tidak dapat mendengar Tasbih darinya."

Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam telah bersabda,

لما نزل " بسم الله الرحمن الرحيم " هرب الغيم إلى المشرق وسكنت الرياح وهاج البحر وأصغت البهائم بآذانها ورجمت الشياطين من السماء وحلف الله تعالى بعزته وجلاله أن لا يسمى اسمه على شيء إلا بارك فيه .

"Ketika turun "Bismillahir-Rahmanir-Rahim", segala awan telah lari bergegasan ke arah Timur dan telah terhentilah segala angin dan lautan telah menjadi berkocak bergelora dan sekelian haiwan berkaki empat memperdengarkan antara sesama mereka dengan khabar seruan tersebut dan sekelian Syaitan telah direjam dengan rejaman dari langit dan Allah Ta'ala telah bersumpah dengan KemuliaanNya dan KeagunganNya bahawa tiada seorang pun yang menyebutkan NamaNya ke atas sesuatu melainkan dia mendapat keberkatan padanya."

Sebuah Hadits dari Hadhrat 'Asim bahawa beliau telah berkata,
"Daku telah mendengar Abu Tamimah Radhiyallahu 'Anhu sedang berbicara tentang ketika mana beliau menunggangi seekor keldai bersama Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam seraya berkata bahawa beliau telah jatuh tersadung bersama dengan Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam dari keldainya, lalu daku berkata, "Telah binasalah Syaitan". Maka Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam telah bersabda,

لا تقل تعس الشيطان فإنك إذا قلت تعس الشيطان تعاظم وقال بقوتي صرعته وإذا قلت بسم الله تصاغر حتى يصير مثل الذباب

"Janganlah kamu berkata, "Telah binasalah Syaitan", kerana sesungguhnya bagi dirimu apabila kamu berkata, "Telah binasalah Syaitan", dia menjadi sombong membesarkan diri dan dia berkata, "Demi kekuatanku, daku pasti mencari helah untuk menumbangkannya." Dan apabila kamu berkata "Bismillah", dia akan menjadi kecil sehinggakan berubah menjadi seperti lalat."
Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam telah bersabda,

لا تقل هكذا فإنه يتعاظم حتى يكون كالبيت ولكن قل بسم الله فإنه يصغر حتى يكون كالذبابة

"Janganlah berkata sedemikian kerana sesungguhnya perkataan tersebut akan menjadikannya sombong membesarkan diri sehingga keadaannya menjadi sebesar sebuah rumah, akan tetapi ucapkanlah "Bismillah", kerana sesungguhnya ucapan tersebut akan menjadikannya kecil sehingga keadaannya seperti seekor lalat."
HURUF AL-BASMALAH


Bilangan huruf yang dilafazkan bagi kalimah Al-Basmalah ini ada lapan belas manakala yang termaktub dalam bentuk penulisan adalah sembilan belas. Apabila dihuraikan kalimah-kalimah tersebut, ianya mengandungi dua puluh dua huruf. Lapan belas mengisyaratkan kepada Al-'Awalim (
العوالم) yakni sekelian alam yang diiktibarkan sebagai Lapan Belas Ribu 'Alam. Oleh kerana Al-Alfu (الألف) yang bermakna seribu adalah merupakan bilangan yang sempurna merangkumi atas baki martabat-martabat bilangan, maka bilangan seribu dianggap sebagai Ummu Al-Maratib (أمّ المراتب) yang mana tiada bilangan yang mengatasinya. Maka, Lapan Belas Ribu 'Alam tersebut diiktibarkan sebagai Ummahat Al-'Awalim (أمّهات العوالم) yang merangkumi 'Alam Jabarut, 'Alam Malakut, 'Arash, Kursi, Tujuh Petala Langit, Empat Anasir dan sekelian juzuk-juzuknya. Sembilan belas huruf adalah mengisyaratkan kepada 'Alam Insani. Meskipun ianya termasuk dalam 'Alam Haiwan, namun dengan mengambil iktibar pada kemuliaannya dan keterhimpunannya secara keseluruhan dan melingkungi segala kewujudan 'Alam yang lain, terdapat hal pekerjaan yang besar dan hujah baginya.

Hadhrat Imam Al-Waqi', Hadhrat Imam Ats-Tsa'labi, Hadhrat Imam Al-Qurtubi dan Hadhrat Ibnu 'Atiyyah Rahmatullah 'Alaihim telah meriwayatkan sebuah Hadits dari Hadhrat Al-A'mash Rahmatullah 'Alaih dan beliau telah meriwayatkannya dari Hadhrat Abi Wail Rahmatullah 'Alaih dan beliau telah meriwayatkannya dari Hadhrat Ibnu Mas'ud Radhiyallahu 'Anhu bahawa Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam telah bersabda,

من أراد أن ينجيه الله من الزبانية التسعة عشر فليقرأ " بسم الله الرحمن الرحيم " فيجعل الله له من كل حرف منها جنة من كل واحد

"Barangsiapa berkehendak agar Allah memeliharanya dari siksa Malaikat Zabaniyyah Penjaga Neraka yang sebanyak sembilan belas, maka hendaklah dia mengucapkan "Bismillahir-Rahmanir-Rahim", kerana Allah akan menjadikan baginya dari setiap huruf daripada pengucapannya sebagai perisai dari segala sesuatu."

Terdapat tiga huruf Alif (
) yang terhijab bagi menyempurnakan bilangan dua puluh dua huruf yang terhurai adalah mengisyaratkan kepada 'Alam Ilahi Al-Haqq (العالم الإلهيّ الحقّ) dengan diiktibarkan kepada Zat, Sifat dan Af'al. Maka, terdapat tiga 'alam secara Tafsil yang pada hakikatnya adalah merujuk kepada 'Alam Yang Maha Satu. Tiga huruf Alif () yang tertulis adalah mengisyaratkan bahawa penzahiran ketiga-tiga alam tersebut adalah pada Mazhar yakni tempat penzahiran yang agung iaitu Insan dan sebagai menghijabkan 'Alam Ilahi.
TUJUH AYAT AL-FATIHAH

Dalam Tafsir Jalalain ada dinyatakan bahawa Surah Al-Fatihah adalah Surah yang diturunkan di Makkah mengandungi tujuh ayat beserta Tasmiyah yang juga dikenali sebagai Al-Basmalah (
ﺍﻟﺒﺴﻤﻠﺔ). Seandainya Al-Basmalah (ﺍﻟﺒﺴﻤﻠﺔ) adalah dari kandungan Surah Al-Fatihah, maka ayat yang ketujuh adalah "Siratal-Ladzina" (ﺻﺮﺍﻁ ﺍﻟﺬﻳﻦ) hingga ke akhirnya, dan jika Basmalah bukan daripada Surah Al-Fatihah, maka ayat yang ketujuh adalah "Ghairil-Maghdhubi" (ﻏﻴﺮ ﺍﻟﻤﻐﻀﻮﺏ) sehingga ke akhirnya.

Telah timbul Ikhtilaf perselisihan pendapat berkenaan kedudukan ayat Al-Basmalah (
ﺍﻟﺒﺴﻤﻠﺔ) atau At-Tasmiyah (التسمية) ini. Terdapat tiga Mazhab pendapat berkenaan perkara ini seperti yang telah dinukilkan oleh Hadhrat Imam Al-Baghawi Rahmatullah 'Alaih di dalam Tafsir beliau yang berjudul Mu'allim At-Tanzil seperti berikut:

1. Pendapat Mazhab yang pertama adalah Para Qurra iaitu orang-orang yang mahir berkenaan Al-Quran dari kalangan penduduk Madinah, Basrah dan Para Fuqaha iaitu orang-orang yang mahir dalam bidang ilmu Fiqah di Kufah. Mereka berpendapat bahawa ayat tersebut bukan daripada ayat pembukaan Al-Kitab Al-Quran dan bukan pula ayat pembukaan Surah-Surah yang lain. Pembukaan pembacaan Al-Quran dengan ayat tersebut adalah bagi menghasilkan maksud At-Tayammun (
للتيمن) dan At-Tabarruk (التبرك) yakni bertujuan memperolehi keuntungan dan keberkatan dengan Nama-Nama Allah Ta'ala.

2. Pendapat Mazhab yang kedua adalah dari kalangan Para Qurra di Makkah, Kufah dan kebanyakan Para Fuqaha di Hijaz dengan menganggap bahawa ayat tersebut adalah daripada Surah Al-Fatihah dan bukannya ayat daripada sekelian Surah kerana ianya dituliskan sebagai Fasal pembahagi untuk setiap Surah.

3. Pendapat Mazhab yang ketiga adalah pendapat Hadhrat Ats-Tsauri, Hadhrat Ibnu Al-Mubarak dan Hadhrat Imam Ash-Shafi'iy Rahmatullah 'Alaihim. Mereka berpendapat bahawa ayat tersebut adalah daripada Surah Al-Fatihah dan juga daripada setiap Surah kecuali Surah At-Taubah kerana ianya telah ditulis di dalam Mushaf dengan tulisan pada hampir setiap Surah di dalam Al-Quran.

Hadhrat Imam Al-Mawardi Rahmatullah 'Alaih telah menukilkan di dalam Tafsir An-Nukat Wa Al-'Uyun karangannya bahawa, telah menjadi Ijma' kesepakatan Para 'Ulama dan Mufassirin bahawa Bismillahir-Rahmanir-Rahim (
بسم الله الرحمن الرحيم) adalah daripada isi kandungan Al-Quran di dalam Surah An-Naml.

Walaupun demikian, terdapat perselisihan pendapat pada mengitsbatkannya sebagai kandungan daripada Surah Al-Fatihah. Hadhrat Imam Ash-Shafi'iy Rahmatullah 'Alaih dan sebahagian Para 'Ulama telah mengitsbatkan Al-Basmalah (
ﺍﻟﺒﺴﻤﻠﺔ) sebagai ayat permulaan bagi setiap Surah kecuali Surah At-Taubah. Hadhrat Imam Abu Hanifah Rahmatullah 'Alaih telah menafikan pendapat tersebut dengan menganggap bahawa ianya bukan termasuk sebagai ayat permulaan bagi setiap Surah.

Telah bersepakat Para 'Ulama bahawa Surah Al-Fatihah adalah mengandungi tujuh ayat. Di sisi Hadhrat Imam Al-Baghawi Rahmatullah 'Alaih ayat Bismillahir-Rahmanir-Rahim (
بسم الله الرحمن الرحيم) adalah ayat yang pertama daripada Surah Al-Fatihah dan permulaan ayat yang terakhir adalah Siratal-Ladzina (صراط الذين). Bagi mereka yang tidak menggapkannya sebagai ayat daripada Surah Al-Fatihah telah menjadikan ayat yang pertama ialah Alhamdulillahi Rabbil-'Alamin (الحمد لله رب العالمين) dan permulaan ayat yang terakhir ialah Ghairil-Maghdhzubi 'Alaihim (غير المغضوب عليهم).

Antara hujjah mereka yang menjadikan Al-Basmalah sebagai suatu ayat daripada Surah Al-Fatihah dan juga sebagai suatu ayat bagi Surah-Surah yang lain adalah kerana telah dituliskan di dalam Mushaf Al-Quran dengan tulisan sepertimana yang tertulis di dalam Al-Quran. Di samping itu mereka mengemukakan sebuah riwayat dari Hadhrat 'Abdul Wahhab Bin Muhammad Al-Kisai Rahmatullah 'Alaih bahawasanya Hadhrat Abu Muhammad 'Abdul 'Aziz BinAhmad Al-Khilal telah menyatakan bahawa Hadhrat Abu Al-'abbas Muhammad Bin Ya'aqub Al-Asam Rahmatullah 'Alaih telah menyatakan bahawasanya Hadhrat Ar-Rabi' Bin Sulaiman telah menyatakan bahawa Hadhrat Imam Ash-Shafi'iy telah menyatakan bahawa Hadhrat 'Abdul Majid telah meriwayatkan daripada Hadhrat Ibnu Juraij Rahmatullah 'Alaih bahawa beliau telah berkata bahawa bapanya iaitu Hadhrat Juraij Rahmatullah 'Alaih telah mengkhabarkan daripada Hadhrat Sa'id Bin Jabir Radhiyallahu 'Anhu telah membacakan Firman Allah dari Surah Al-Hijr ayat 87,

Dan sesungguhnya Kami telah berikan kepadamu tujuh ayat yang dibaca berulang-ulang dan Al-Quran yang agung. [Al-Hijr: 87]

Seterusnya, Hadhrat Sa'id Bin Jabir Radhiyallahu 'Anhu berkata bahawa Surah Al-Fatihah adalah Ummu Al-Quran (
أم القرآن). Kemudian, Hadhrat Sa'id Bin Jabir Radhiyallahu 'Anhu telah membacakan Surah tersebut sehingga tamat kepada Hadhrat Juraij Rahmatullah 'Alaih lalu berkata bahawa,
"Bismillahir-Rahmanir-Rahim (
بسم الله الرحمن الرحيم) adalah ayat yang ketujuh".

Hadhrat Sa'id Bin Jabir Radhiyallahu 'Anhu seterusnya telah berkata,
"Hadhrat Ibnu 'Abbas telah membacakannya kepadaku sepertimana daku telah membacakannya kepada kamu, kemudian beliau telah berkata,

بسم الله الرحمن الرحيم الآية السابعة فذخرها لكم فما أخرجها لأحد قبلكم.

"Bismillahir-Rahmanir-Rahim adalah ayat yang ketujuh, maka ianya telah disimpan untuk kamu dan tiada pernah ianya dikeluarkan untuk sesiapa pun sebelum kamu."

Bagi mereka yang tidak menganggapkan Al-Basmalah sebagai satu ayat daripada Surah Al-Fatihah telah berhujjah dengan sebuah riwayat yang telah dikhabarkan oleh Hadhrat Abu Al-Hasan Muhammad Bin Muhammad Ash-Shirazi Rahmatullah 'Alaih telah mengkhabarkan bahawa Hadhrat Zahir Bin Ahmad Rahmatullah 'Alaih telah mengkhabarkan bahawa Hadhrat Abu 'Isa Ishaq Al-Hashimi Rahmatullah 'Alaih telah mengkhabarkan daripada Hadhrat Abu Mus'ab Rahmatullah 'Alaih daripada Hadhrat Malik Rahmatullah 'Alaih daripada Hadhrat Hamid At-Tawil Rahmatullah 'Alaih daripada Hadhrat Anas Bin Malik Radhiyallahu 'Anhu bahawa beliau telah berkata,
"Daku telah pernah berdiri Solat di belakang Hadhrat Abu Bakar As-Siddiq dan Hadhrat 'Umar Bin Al-Khattab dan Hadhrat 'Utsman Bin 'Affan Radhiyallahu 'Anhum dan sesungguhnya kesemua mereka tiadalah membaca Bismillahir-Rahmanir-Rahim (
بسم الله الرحمن الرحيم) ketika sudah memulakan Solat."

Hadhrat Sa'id Bin Jabir Radhiyallahu 'Anhu telah meriwayatkan daripada Hadhrat Ibnu 'Abbas Radhiyallahu 'Anhu bahawa Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam tidak dapat mengenali tanda-tanda yang membezakan sesebuah Surah sehinggalah telah diturunkan ayat Bismillahir-Rahmanir-Rahim (
بسم الله الرحمن الرحيم).

Hadhrat Ibnu Mas'ud Radhiyallahu 'Anhu telah berkata,

كنا لا نعلم فصل ما بين السورتين حتى ينزل بسم الله الرحمن الرحيم.

"Sesungguhnya kami tidak mengetahui Fasal yang menjadi pembahagi di antara dua buah Surah sehinggalah turun ayat Bismillahir-Rahmanir-Rahim (
بسم الله الرحمن الرحيم)."

Hadhrat Imam Ash-Shu'bi Rahmatullah 'Alaih telah berkata bahawa, adalah menjadi kebiasaan Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam menulis pada permulaan setiap urusan atas adat resam bangsa Quraish iaitu dengan menuliskan Bismika Allahumma (
باسمك اللهم) sehinggalah ayat 41 daripada Surah Hud diturunkan,

Dan Nabi Nuh 'Alaihissalam berkata: "Naiklah kamu sekalian ke dalamnya dengan menyebut Nama Allah di waktu berlayar dan ketika berlabuhnya." Sesungguhnya Tuhanku benar-benar Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

Maka, Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam telah mengubah permulaan penulisannya dengan kalimah Bismillah (باسم الله) sehinggalah ayat daripada Surah Al-Isra ayat 110 telah diturunkan,

Katakanlah: "Serulah Allah atau serulah Ar-Rahman, dengan Nama yang mana saja kamu seru, Dia mempunyai Al-Asma Al-Husna iaitu Nama-Nama yang terbaik dan janganlah kamu mengeraskan suaramu dalam Solatmu dan janganlah pula merendahkannya dan carilah jalan tengah di antara keduanya itu".

Maka, Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam telah mengubah permulaan penulisannya dengan kalimah Bismillahir-Rahman (بسم الله الرحمن) sehinggalah turun ayat 30 daripada Surah An-Naml,

Sesungguhnya surat itu dari Hadhrat Nabi SuIaiman 'Alaihissalam dan sesungguhnya isi kandungannya ialah: "Dengan Menyebut Nama Allah Yang Maha Pemurah Yang Maha Penyayang."

Maka Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam telah menurutinya dalam memulakan penulisan dengan kalimah Bismillahir-Rahmanir-Rahim (بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ).

No comments: