Saturday, June 23, 2012

FASAL KEDUA FUTUHAT AN-NAJHAH: BISMI (ﺑِﺴْﻢِ)

أشهد أن لا اله الا الله و أشهد أن محمدا رسول الله

FASAL KEDUA FUTUHAT AN-NAJHAH: BISMI (ﺑِﺴْﻢِ)

BISMI (ﺑِﺴْﻢِ)

Kalimah "Bismi" (ﺑِﺴْﻢِ) asalnya adalah Bi Ismi (ﺑِﺈﺳْﻢِ). Huruf Alif (ﺇ) telah dilenyapkan kerana kekerapan penggunaannya. Bagi menggantikan huruf Alif, tulisan huruf Ba (ﺏ) hendaklah dipanjangkan bagi menzahirkan keagungan dan kemuliaannya sebagai Kitab Allah.

Hadhrat Imam Baghawi Rahmatullah 'Alaih telah menukilkan di dalam kitab Tafsirnya yang berjudul Mu'allim At-Tanzil yang masyhur sebagai Tafsir Baghawi telah meriwayatkan dari Hadhrat 'Umar Bin 'Abdul 'Aziz Radhiyallahu Ta'ala 'Anhu bahawa beliau pernah berkata:
"Huruf Ba (ﺏ) hendaklah dituliskan panjang, huruf Sin (ﺱ) hendaklah dizahirkan dan huruf Mim (ﻡ) hendaklah dibulatkan."

Ba (ﺏ) adalah Harf Jarr dan kalimah Isim katanama yang datang sesudahnya adalah sebagai Majrur. Apabila bertemu Jarr dan Majrur, ianya akan bertakluk sama ada dengan sesuatu kalimah Isim ataupun kalimah Fi'il. Di kalangan Para 'Ulama Nahwu terdapat dua pendapat dalam mentaqdirkan Muta'alliq (ﻣﺘﻌﻠﻖ) dengan huruf Ba (ﺏ) pada Bismillah (ﷲ ﺑﺴﻢ).

Pendapat pertama mengatakan bahawa Taqdir Muta'alliq huruf Ba (ﺏ) adalah dengan Isim katanama iaitu,

بسم الله ابتدائي

Dengan Nama Allah permulaanku.

Dan berdalilkan Firman Allah Ta'ala di dalam Surah Hud,

Dan Hadhrat Nabi Nuh 'Alaihissalam berkata: "Naiklah kamu sekalian ke dalamnya dengan menyebut: Dengan Nama Allah di waktu berlayar dan berlabuhnya. Sesungguhnya Tuhanku benar-benar Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." [Surah Hud 11:41]

Manakala pendapat yang kedua dari kalangan 'Ulama Nahwu mengatakan bahawa Taqdir Muta'alliq (ﻣﺘﻌﻠﻖ ﺘﻘﺪﻳﺮ) bagi huruf Ba (ﺏ) adalah dengan Fi'il Amar (ﺃﻣﺮ ﻓﻌﻞ) ataupun Jumlah Fi'iliyyah Khabariyyah (ﺧﺒﺮﻳﺔ ﻓﻌﻠﻴﺔ ﺟﻤﻠﺔ) seperti berikut,

أبدأ بسم الله

Daku memulakan dengan Nama Allah.

Berdalilkan Firman Allah Ta'ala,

Bacalah dengan menyebut Nama Tuhan Pemeliharamu yang telah menciptakan. [Al-'Alaq 96:1]

Kedua-dua pendapat ini adalah benar kerana di dalam Fi'il (ﻓﻌﻞ) katakerja sudah pasti mengandungi Masdar (ﻣﺼﺪﺭ) katadasar. Maka, dengan mentaqdirkan Fi'il katakerja, ianya akan merangkumi segala bentuk amal perbuatan samada ketika berdiri atau duduk atau makan atau minum atau membaca Al-Quran atau mengambil Wudhu atau mengerjakan Solat.

Jesteru, telah disyari'atkan berzikir menyebut Nama Allah pada permulaan sekelian amal perbuatan mahupun pekerjaan bagi menghasilkan keberkatan dan bantuanNya atas maksud kesempurnaan dan penerimaan dari sisiNya.

Hadhrat Imam Mawardi Rahmatullah 'Alaih di dalam Tafsirnya telah mengemukakan suatu Ikhtilaf perselisihan pendapat di kalangan Para 'Ulama Nahwu Bahasa 'Arab berkenaan kalimah Bismi (ﺑﺴﻢ).

Hadhrat Abu 'Ubaidah dan para pengikutnya berpendapat bahawa ianya merupakan Silah Zaidah (صلة زائدة) yakni sebagai suatu kata penghubung tambahan kerana yang dimaksudkan adalah Allahu Ar-Rahmanu Ar-Rahimu (اللهُ الرحمنُ الرحيمُ). Atas pendapat ini terdapat dua perselisihan pendapat.

Pendapat pertama dari Hadhrat Imam Qatrab Rahmatullah 'Alaih berkata bahawa Silah Zaidah (صلة زائدة) ini adalah bertujuan sebagai mengagungkan kebesaran ingatan terhadap ZatNya supaya terdapat perbezaan menerusinya antara mengingati ZatNya dan mengingati yang selainNya dari kalangan makhluk ciptaanNya.

Pendapat kedua pula dari Hadhrat Imam Al-Akhfash Rahmatullah 'Alaih yang mengatakan bahawa ianya adalah bagi mengeluarkan hukum Al-Qasam (القسم) yakni sumpah bagi maksud memperolehi keberkatan.

Jumhur Para 'Ulama Nahwu menyatakan bahawa Bismi (ﺑﺴﻢ) adalah merupakan antara maksud yang asal dan bukan sekadar kata penghubung.
Telah timbul Ikhtilaf perselisihan pendapat berkenaan makna kemasukan huruf Ba (ﺏ) pada Isim (ﺇﺳﻢ). Adakah ia masuk atas pengertia makna Amar (الأمر) atau Khabar (الخبر)? Atas perselisihan ini ada dua pendapat. Pendapat pertama dari Hadhrat Imam Al-Farra Rahmatullah 'Alaih mengatakan bahawa ianya masuk atas pengertian makna Amar (الأمر) dan Taqdirnya ialah:

ابدؤوا بسم الله الرحمن الرحيم

"Mulakanlah dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Yang Maha Pengasih".

Pendapat kedua dari Hadhrat Imam Zujjaj Rahmatullah 'Alaih mengatakan bahawa ianya berada atas makna Khabar (الخبر) dan sebagai Taqdirnya adalah:

بدأت بسم الله الرحمن الرحيم

"Daku telah memulakan dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Yang Maha Pengasih".

Dihazafkan Alif Wasal (ألف الوصل) dengan mencantumkan huruf Ba (ﺏ) dengan Isim (ﺇﺳﻢ) pada lafaz dan tulisan kerana banyak digunakan sepertimana telah dihazafkan Alif Madd (ﻣﺪ ﺍﻟﻒ) pada Ar-Rahman (الرحمن). Namun demikian, huruf Alif (ﺇ) pada Isim (ﺇﺳﻢ) sama sekali tidak dihazafkan tulisannya seperti yang termaktub dalam Surah Al-'Alaq kerana ianya kurang dipergunakan,

"Bacalah! Dengan menyebut Nama Tuhanmu yang telah menciptakan.
[Al-'Alaq:1]

Hadhrat Mansur Bin 'Abdullah Rahmatullah 'Alaih berkata bahawa beliau telah mendengar Hadhrat Abu Al-Qasim Al-Iskandari Rahmatullah 'Alaih berkata bahawa beliau telah mendengar Hadhrat Abu Ja'afar Rahmatullah 'Alaih meriwayatkan dari Hadhrat 'Ali Bin Al-Qasim Musa Ar-Ridhza Rahmatullah 'Alaih dan beliau telah meriwayatkan dari ayahandanya Hadhrat Al-Qasim Musa Ar-Ridhza 'Alaihissalam dan beliau telah meriwayatkan dari Hadhrat Imam Ja'afar Bin Muhammad As-Sadiq Radhiyallahu 'Anhu telah berkata mengenai "Bismi" (ﺑﺴﻢ) bahawa,
"Huruf Ba (ﺏ) adalah BaqaNya (ﺑﻘﺎﺀﻩ) yakni KekekalanNya dan huruf Sin (ﺱ) adalah AsmaNya (ﺃﺳﻤﺂﺀﻩ) yakni Nama-NamaNya dan huruf Mim (ﻡ) adalah MulkNya (ﻣﻠﻜﻪ) yakni KerajaanNya. Jesteru, Iman seorang Mukmin adalah zikirnya dengan KekekalanNya, dan khidmat seorang Murid adalah zikirnya dengan AsmaNya, dan seorang yang 'Arif tentang sebuah kerajaan adalah zikirnya dengan mengingati Raja yang memilikinya."
Beliau juga telah diriwayatkan sebagai berkata berkenaan Bismi (ﺑﺴﻢ), bahawa ianya tertera dengan tiga huruf iaitu Ba (ﺏ), Sin (ﺱ) dan Mim (ﻡ). Maka huruf Ba (ﺏ) adalah bermaksud Bab An-Nubuwwah (ﺍﻟﻨﺒﻮﺓ ﺑﺎﺏ) yakni Pintu Kenabian. Dan huruf Sin (ﺱ) adalah Sirr An-Nubuwwah (ﺍﻟﻨﺒﻮﺓ ﺳﺮ) yakni Rahsia Kenabian yang mana Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam telah menerangkan rahsianya kepada golongan Khawas dari kalangan Ummatnya. Dan huruf Mim (ﻡ) adalah bermaksud Mamlikah Ad-Din (ﺍﻟﺪﻳﻦ ﻣﻤﻠﻜﺔ) yakni Kerajaan Agama yang telah dikurniakannya sebagai nikmat kepada hamba-hambaNya yang berkulit putih mahupun yang berkulit hitam.

Menurut Hadhrat Imam Al-Baghawi Rahmatullah 'Alaih berkenaan kalimah Bismillah (بسم الله), bahawa huruf Ba (الباء) sudah menjadi adat baginya mengkebawahkan baris kalimah yang datang sesudahnya sebagaimana Harf Min (من) yang bererti "dari" dan 'An (عن) yang bererti "daripada". Manakala, Muta'alliq bagi huruf Ba (الباء) ini adalah tersembunyi bagi menunjukkan kesempurnaan jumlah Al-Kalam (الكلام) pada ayat tersebut. Taqdir baginya adalah:

أبدأ بسم الله

Daku memulakan dengan Nama Allah.

Ataupun:

قل: بسم الله

Katakanlah: Dengan Nama Allah.

Dan digugurkan huruf Alif (ﺍ) dari Ismi (ﺍﺳﻢ) sebagai menuntut keringanan terhadap penggunaannya dan kerana penggunaannya yang banyak, maka hendaklah dipanjangkan huruf Ba (ﺏ). Menurut Hadhrat Imam Al-Qutaibi Rahmatullah 'Alaih ianya adalah supaya pembukaan Kalam bagi Kitab Allah dimulakan dengan huruf yang agung.

Hadhrat Imam As-Sullami Rahmatullah 'Alaih seorang Mufassir yang telah mengarang kitab Tafsirnya yang berjudul Haqaiq At-Tafsir ada menukilkan dari Hadhrat Abu Al-Qasim Al-Hakim Rahmatullah 'Alaih telah menyatakan bahawa ayat "Bismillahir-Rahmanir-Rahim" (ﺑﺴﻢ ﷲ ﺍﻟﺮﺣﻤٰﻦ ﺍﻟﺮﺣﻴﻢ) adalah mengisyaratkan kepada kasih-sayang Allah pada segala permulaan. Beliau juga telah menghikayatkan daripada Hadhrat Al-'Abbas Bin 'Ata Rahmatullah 'Alaih telah berkata bahawa, huruf Ba (ﺏ) adalah Al-Birru (ﺍﻟﺒﺮ) yakni Kebaikan Allah terhadap Ruh-Ruh Para Nabi dengan ilham Kerasulan dan Kenabian. Huruf Sin (ﺱ) adalah As-Sirru (ﺍﻟﺴﺮ) yakni RahsiaNya berserta dengan Ahli Ma'rifat menerusi ilham untuk bertaqarrub mendekatkan diri kepada Allah Ta'ala dengan hati yang jinak. Huruf Mim (ﻡ) adalah bermaksud Al-Minnah (ﺍﻟﻤﻨﺔ) yakni penganugerahan kebaikan yang berupa Nikmat dan RahmatNya atas sekelian Para HambaNya yang berkehendak menuju kepadaNya dengan pandangan Rahmat dan Kasih SayangNya yang berterusan.

Hadhrat Abu Bakar Bin Tahir Rahmatullah 'Alaih telah berkata bahawa huruf Ba (ﺏ) adalah Rahsia Allah berserta dengan golongan Para 'Arifin dan huruf Sin (ﺱ) adalah As-Salam (ﺍﻟﺴﻼﻡ) yakni Kesejahteraan dan Keselamatan ke atas mereka dan huruf Mim (ﻡ) adalah Mahabbah (ﻣﺤﺒﺔ) yakni CintaNya terhadap mereka.

Dalam Tafsir 'Arais Al-Bayan Fi Haqaiq Al-Quran karangan Hadhrat Imam Al-Baqili Rahmatullah 'Alaih seorang Mufassir pada Marhalah awal ada menyatakan tafsiran berkenaan Bismi (ﺑﺴﻢ). Menurut beliau, bahawa huruf Ba (ﺏ) adalah penyingkapan Baqa (ﺑﻘﺎﺀ) bagi Ahli Fana. Dan huruf Sin (ﺱ) adalah penyingkapan ketinggian darjat yang suci bagi Ahli Uns iaitu ruh-ruh yang jinak. Dan huruf Mim (ﻡ) adalah penyingkapan Alam Malakut bagi Ahli Nu'ut yang sifat kelakuannya baik. Dan menurut beliau juga bahawa huruf Ba (ﺏ) adalah BirrNya (ﺑﺮﻩ) yakni KebaikanNya bagi golongan Umum. Dan huruf Sin (ﺱ) adalah SirrNya (ﺳﺮﻩ) yakni RahsiaNya bagi golongan Khawas. Dan huruf Mim (ﻡ) adalah MahabbatNya (ﻣﺤﺒﺘﻪ) yakni KecintaanNya terhadap golongan Khusus Al-Khusus.

Dan menurut beliau juga bahawa huruf Ba (ﺏ) bermaksud Badwu Al-'Ubudiyah (بدو العبودية) yakni Lapangan Pengabdian dan huruf Sin (ﺱ) bermaksud Sirr Ar-Rububiyah (سِرّ الربوبية) yakni Rahsia Ketuhanan dan huruf Mim (ﻡ) bermaksud Mannuhu (منه) yakni PengurniaanNya yang bersifat azali terhadap Para Ahli Sufi yang senantiasa mensucikan diri. Beliau juga telah menyatakan bahawa, huruf Ba (ﺏ) daripada Bismi (ﺑﺴﻢ) bermaksud: "Dengan KeelokkanKu, telah Baqa ruh-ruh Para 'Arifin dalam lautan keagungan." Huruf Sin (ﺱ) daripada Bismi (ﺑﺴﻢ) bermaksud: "Dengan Ketinggian DarjatKu, telah Ku racuni dengan rahsia-rahsia Para Sabiqin dalam udara kerinduan." Huruf Mim (ﻡ) daripada Bismi (ﺑﺴﻢ) bermaksud: "Dengan KemuliaanKu, telah Aku datangkan berbagai penghasilan pada hati orang-orang yang berpenghasilan dengan cahaya-cahaya Musyahadah.

Dan telah diriwayatkan dari Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam bersabda,

إنَّ الباء بهاؤه والسين سناؤه والميم مجده

"Sesungguhnya huruf Ba (ﺍﻟﺒﺎﺀ) adalah BahaNya (ﺑﻬﺎﺅﻩ) yakni Keelokan Allah dan huruf Sin (ﺍﻟﺴﻴﻦ) adalah SanaNya (ﺳﻨﺎﺅﻩ) yakni Ketinggian Darjat Allah dan huruf Mim (ﺍﻟﻤﻴﻢ) adalah MajduNya (ﻣﺠﺪﻩ) yakni Kemuliaan Allah."
Dinukilkan daripada tafsiran Hadhrat Khwajah 'Abdullah Ansari Rahmatullah 'Alaih, bahawa menurut kalangan Ahli 'Irfan iaitu gologan yang melihat dengan pandangan batin terhadap kesucian 'Ilmu Allah yang suci, bahawa huruf Ba (ﺏ) adalah bermaksud kebaikan, kecantikan, keindahan, keayuan, kejelitaan, keelokan dan kemerduan di sisi Allah. Huruf Sin () bermaksud keindahan, kehebatan dan kemegahan di sisi Allah. Huruf Mim () bermaksud penguasaan penuh, pemilikan, kemahiran, keahlian, kepandaian, kemenangan yang sempurna di sisi Allah.

Menurut Ahli Ma'rifah iaitu golongan yang berilmu pengetahuan tentang pendekatan terhadap Allah, bahawa huruf Ba (
) bermaksud keindahan Tauhid, huruf Sin () bermaksud kemegahan yang kekal dan huruf Mim () bermaksud penguasaan penuh ke atas kesucian.

Menurut Ahli Zauq iaitu golongan yang merasa dengan perasaan batin, bahawa huruf Ba (
) adalah bermaksud kebaikan yang umum terhadap mereka yang bersahabat dengan Allah. Huruf Sin () bermaksud rahsia orang-orang yang mensucikan diri. Huruf Mim () bermaksud kebaikan yang khusus terhadap mereka yang mendekatkan diri kepada Allah.

Huruf Ba (
) juga bermaksud KebaikanNya secara umum dengan Para HambaNya, huruf Sin () bermaksud RahsiaNya dengan Para KekasihNya dan huruf Mim () bermaksud KemurahanNya yang khusus dengan Para Pengharap yang sentiasa berharap padaNya.

Secara lazimnya huruf Ba (
) membawa makna dalam, dari, dengan dan sumpah. Ism (ﺍﺳﻢ) adalah nama. Sesuatu itu dapat difahami menerusi namanya. Bagaimanakah untuk kita membezakan zat, sifat dan nama seseorang atau sesuatu dengan yang selainnya?

Zat adalah diri kekal yang berdiri sendiri dan dapat menerima beberapa keadaan sifat seperti kertas yang putih.
Warna putih adalah sifat bagi zat kertas dan warna hitam adalah sifat bagi zat dakwat pena. Sifat adalah sesuatu yang sementara dan tidak didapati secara tetap pada sesuatu zat kekal. Contohnya, warna putih adalah sementara dan didapatinya pada kertas yang kita anggapkan sebagai zat kekal.

Ism (ﺍﺳﻢ) adalah nama yang merangkumi Zat dan Sifat Yang Maha Pemurah iaitu Ar-Rahman yang bererti Pemilik Rahmat, bahawa Dialah Zat Yang Memiliki Segala Rahmat. Maka, Allah adalah Zat Diri Kekal yang bersifat dengan Sifat Ar-Rahman iaitu Yang Maha Pemurah. Rahman dan Rahim adalah sifat-sifat Allah. Rahman adalah bersifat umum manakala Rahim adalah bersifat khusus.

No comments: