Saturday, September 1, 2012

MISYAKAATUL ANWAR IMAM AL GHAZALI (8)

أشهد أن لا اله الا الله و أشهد أن محمدا رسول الله

PERKAITAN CAHAYA-CAHAYA DENGAN ALLAH SECARA MENDALAM

Mungkin saudara susah hendak faham dengan penerangan yang tersebut dahulu itu.  Maka saudara rasa payah hendak faham.  Maka di sini saya akan memberikan penerangan yang lebih mudah,  agar saudara dapat memahaminya.
Maksud  "Allah itu cahaya langit dan bumi " boleh difahami jika dikiaskan kepada cahaya biasa yang nampak itu.  Apabila saudara melihat warna tumbuhan-tumbuhan disiang hari- katalah warna hijau - saudara tentu menyangka yang saudara melihat warna,  dan mungkin saudara mengatakan saudara hanya melihat warna,  tidak ada yang lain lagi.  Seolah-olah saudara mengatakan  "Saya tidak nampak yang lain kecuali warna hijau ".  Memang banyak orang berdegil mengatakan demikian.  Kata mereka perkataan " cahaya "  itu tidak ada ertinya,  hanya kosong,  kata mereka apa yang nampak hanyalah warna.  Dengan demikian,  mereka menafikan adanya cahaya meskipun cahaya itulah yang paling terang dan nyata sekali terzohir daripada benda-benda lain.  Kenapa tidak?  Kerana dengan adanya cahaya itulah benda-benda itu terzohir atau ternampak.  Kerana cahaya  itu sendiri boleh kelihatan dan membuat benda-benda lain kelihatan,  sebagaimana yang kita bincangkan dulu.
Tetapi apabila matahari terbenam dan lampu langit lenyap dari pandangan,  dan bayangan atau gelap malam datang,  maka  barulah orang-orang ini sedar adanya perbezaan antara bayangan atau gelap dengan cahaya.  Maka barulah mereka meyakini bahawa cahaya itu memang ada disebalik semua warna dan dilihat bersama warna.  Bolehlah dikatakan bahawa oleh kerana paduan  persatuan cahaya dengan warna itu,  hinggakan cahaya itu tidak disedari ada di situ,  mungkin kerana terlampau terang dan nyata inilah menyebabkan cahaya kelihatan.  Mungkin kerana terlampau tarang dan nyata inilah menyebabkan cahaya tidak kelihatan,  kerana  sesuatu  yang melampaui dari sempadan hadnya akan masuk ke wilayah yang berlawanan dengannya.
Jika penerangan ini telah jelas  kepada saudara,  maka  saudara hendaklah tahu selanjutnya iaitu mereka yang dikurnai dengan pandangan sedemikian ini akan melihat Allah di samping sesuatu  benda itu.  Mungkin ada yang berkata;
" Tidak saya lihat sesuatu pun melainkan saya lihat Allah dahulu ".

Kerana ada di antara mereka yang melihat benda-benda melalui Allah dan dalam Allah.  Ada pula yang melihat sesuatu benda itu dulu dan kemudian nampak Allah,  dalam dan melalui benda-benda itu.

Kepada kelas ( golongan ) yang pertama itu,  Al-Quran ada menerangkan;

" Tidakkah cukup bahawa Tuhanmu melihat semuanya?".

Kepada kelas yang kedua ini dengan ayat;

"Kami  akan tunjukkan kepada mereka tanda-tanda kami dalam seluruh alam dan diri mereka sendiri "
.
Bagi kelas ( golongan ) pertama,  mereka melihat Allah terus; dan yang kedua melihat  Allah melalui perbuatan-perbuatan  atau kerja-kerjaNya(Allah).  Yang pertama itu golongan Aulia Allah; dan yang kedua itu golongan orang-orang Arif  " yang telah yakin  dalam  ilmunya." Selain dari  dua golongan tersebut,  tidak  lain hanya orang-orang yang lalai;  di muka  mereka ada hijab  (tabir).

Oleh yang demikian saudara mengetahui sekarang bahawa dengan adanya cahaya itu membolehkan mata kasar melihat dan nampak dan  Allah itu membolehkan mata batin manusia melihat dan nampak kerana Allah itu ada bersama  segala sesuatu setiap  ketika dan  Dialah yang menampakkan segalanya  itu. Meskipun ada persamaan antara kedua itu, namun perbezaannya ada juga.  Cahaya biasa itu boleh hilang apabila matahari terbenam,  dan  datanglah gelap  yang menjadi hijab. Tetapi  Cahaya Ketuhanan  itu tidak boleh  hilang.  Cahaya itu mesti ada untuk membolehkan penglihatan.  Mataharinya tidak pernah terbenam.  Ia kekal selamanya dengan semua perkara.

Oleh itu cara membezakan  (sebagai cara untuk membezakan wujudnya Allah dengan perbuatanNya) tidaklah berupaya kita.  Jika  rupa Allah itu boleh  dilihat,  maka akan  hancurlah langit dan bumi ini; dan oleh  itu,  melalui pembezaan,  akan menerbitkan kesan  dalam  fikiran,   yang serentak memaksa pengenalan kepada sebab  yang dengannya semua perkara ternampak zohir.  Tetapi sebagaimana yang kita  lihat,  semua kejadian  tetap sama dan tidak berubah-ubah  pada pandangan kita kerana Ketunggalan yang menjadikan mereka itu.  Kerana  "segala sesuatu memuji Dia"  (Al-Quran).

Ini bererti  bukan setengah-setengah  perkara tetapi adalah  segala-galanya,  dan bukan kadang-kadang tetapi adalah sentiasa.  Dengan itu,  pembezaan ini tidak  timbul,  dan jalan menuju melihat rupa Allah itu terhalang.  Kerana jalan yang paling terang menuju mengenal benda-benda ialah melalui  pertentangan atau lawannya.  Benda-benda yang tidak ada lawan ( OPPOSITEE ) atau  sebaliknya,  dan keadaanya sentiasa serupa  apabila kita melihatnya,  akan  menyebabkan besar kemungkinan  pandangan kita disilapkannya.  Dalam hal ini,  gelap atau tidak terang  itu adalah akibat dari terlalu terang dan nyatanya,  dan dikelirukan atau disilapkan oleh sinarannya yang terang itu.  Maha Suci  dan Agunglah  Allah yang  melindungkan dirinya  dari makhlukNya  dengan kerana terangNya itu,  dan terhijab dari pandangan makhluk melalui SinarNya sendirinya yang terang benderang itu.

Mungkin juga keterangan  ini tidak difahami oleh setengah-setengah orang yang kurang pintar,  dan mereka yang membaca keterangan saya berkenaan  " Allah bersama dengan segala sesuatu",  kerana cahaya ini ada bersama segala sesuatu.  Mungkin mereka memahami bahawa Allah itu ada setiap " tempat ".  Maha Suci dan Maha Tinggi Allah itu dikaitkan dengan " tempat ".  Tidak usahlah kita menyangka yang tidak terjangkau oleh akal.  Saya tegaskan bahawa Allah itu terawal atau terdahulu dari segala-galanya,  dan diluar had sempadan jangkauan pemikiran makhluk.  Dia menzohirkan segala-segalanya.  Bahawa "Yang menzohirkan " itu tidak boleh dipisahkan diri "Yang menzohirkan",  menurut segi pandangan si pemikir.  Inilah apa yang kita maksudkan bahawa Allah bersama dengan segala sesuatu.

Saudara juga tentu tahu selanjutnya bahawa "Yang menzohirkan"  itu adalah terdahulu dan terlampau tinggi dari jangkauan "Yang menzohirkan",  meskipun dia "bersama" nya.  Dia "bersama" nya dari satu aspek (wajah)  dan  "terlampau jangkauan"  nya dari aspek yang lainnya.

Janganlah dianggap di sini ada pertentangan atau perlawanan (CONTRADICTION).  Atau,  fikiranlah bagaimana dalam Alam deria  (yang mana tempat yang paling tinggi ilmu kita boleh maju ke atas) gerak tangan "bersama " dengan gerak banyangnya;  namun begitu gerak tangan itu terdahulu dari banyangnya itu juga.
Barangsiapa yang tidak cukup pintar untuk menyikirkan ini,  maka hendaklah ia meninggalkan penyelidikan tentang perkara ini,  kerana:-

"Bagi setiap ilmu ada ahlinya; dan setiap orang dimudahkan untuk mendapat apa yang diuntukkan baginya. "

Enhanced by Zemanta

No comments: