Saturday, September 1, 2012

MISYAKAATUL ANWAR IMAM AL GHAZALI (3)

أشهد أن لا اله الا الله و أشهد أن محمدا رسول الله

ALAM NYATA DAN ALAM GHAIB DAN CAHAYA KEDAUNYA

Sekarang saudara telah tahu bahawa ada jenis mata iaitu;
Mata zhohir dan mata batin.  Mata zhohir termasuk dalam Alam Deria atau Alam Pancaindera.  Mata batin termasuk dalam Alam Keruhanian atau Alam Ghaib.  Tiap-tiap mata tersebut ada mempunyai matahari dan cahaya masing-masing,  supaya dapat melihat dengan sempurna.
Matahari pun ada dua jenis.  Satu daripada matahari ini ialah matahari biasa yang nampak oleh deria lihat dan yang satu lagi ialah termasuk dalam bidang Alam Ghaib;  iaitu al-Quran dan lain-lain kitab Allah.  Jika ini telah diterangkan sepenuhnya dan seterang-terangnya kepada saudara,  maka satu daripada pintu Alam Ghaib ini telah dibuka kepada saudara.

Alam ini penuh dengan keajaiban.  Ia lebih hebat dari alam yang nampak oleh mata kasar itu.  Orang yang tidak mempedulikan Alam tinggi itu dan hanya melekatkan dirinya dengan alam nyata sahaja,  maka dia itu adalah ibarat binatang dan bukan manusia sebenarnya.  Dia lebih sesat lagi dari binatang kerana binatang itu tidak dikurniakan sayap untuk terbang ke Alam tinggi itu.  Al-Quran ada menerangkan orang seperti itu dengan firman Allah;

"
Orang-orang yang demikian itu adalah lembu kerbau,  bahkan lebih sesat lagi".
Perkaitan Alam Kasar dengan Alam Ghaib itu adalah ibarat kulit buah dan isinya atau ibarat bentuk(acuan) dengan nyawa, atau gelap dengan terang, atau neraka dengan syurga.  Kerena itulah Alam Ghaib itu digelar Alam Tinggi atau Alam Ruh atau Alam Nur (cahaya) dan Alam Nyata ini digelar Alam Bawah atau Alam Rendah,  atau Alam Benda atau Alam Gelap.

Tetapi janganlah saudara anggap apa yang saya maksudkan dengan Alam Tinggi ini sebagai langit atau tujuh petala langit,  meskipun ia berada di atas.  Langit itu dapat dilihat oleh mata kasar manusia dan binatang.  Tetapi pintu ke Alam Tinggi itu tertutup kepada manusia dan manusia bukan menjadi penghuni alam itu kecuali;

"Bumi ini baginya bertukar menjadi bukan bumi,  dan begitu jugalah langit".
(Al-Quran).
Pendeknya,  kecuali semua yang mendatang ke dalam bidang deria dan khayalan termasuk langit yang kelihatan itu menjadi buminya dan langit itu melebihi jangkauan derianya.  Inilah kenaikan (mikraj) pertama bagi setiap Salik (orang dalam perjalanan menuju Allah) dalam perjalanannya menuju  ke Hadirat Allah Subhanahuwa Taala.  Manusia telah dihantarkan ke tempat yang rendah dan kemudian mestilah manusia itu naik ke tempat paling tinggi.

Bukan seperti para malaikat,  kerana malaikat itu adalah termasuk dalam Alam Keruhanian itu,  sentiasa berada di hadirat Allah dan dari situ mereka melihat ke alam rendah ini.  Nabi Muhammad SAW.  pernah berkata;

"Allah mencipta makhluk  dalam kegelapan;  kemudian dipancarkan Nur (cahaya) kepada makhluk itu".

dan sabda beliau lagi yang bermaksud;
"Allah mempunyai malaikat-malaikat yang tahu kerja-kerja manusia lebih dari manusia itu mengetahui dirinya".

Adalah Nabi-Nabi apabila mereka mikraj ke Alam Tinggi itu,  mereka sampai ke tempat
yang paling tinggi.  Dari situ mereka melihat keseluruhan alam ghaib itu kerana orang yang berada d Alam Tinggi tersebut adalah bersama Allah dan mempunyai kunci kepada yang ghaib.  Saya maksudkan iaitu dari tempat di mana orang itu menjadi sebab kepada benda-benda yang ada ini turun ke dalam alam deria atau alam nyata.  Ini adalah kerana alam nyata ini adalah satu daripada kesan-kesan daripada alam tinggi itu.  Alam nyata ini adalah keluaran atau terbitan dari alam ghaib itu seperti ibarat bayang-bayang itu terbitan dari sesuatu badan atau ibarat air buah yang keluar dari buah, atau akibat dari sebab.

Kunci daripada ilmu berkenaan kesan atau akibat itu dicari dan didapati dalam sebab.  Kerana itulah alam nyata ini adalah sati jenis daripada alam ghaib, seperti yang kita nampak apabila kita mengkaji tentang Misykaat (ceruk), lampu dan pokok kerana sesuatu yang dibandingkan itu tentulah sejajar dan ada persamaan dengan sesuatu dengan yang diperbandingkan, samada persamaan itu jauh atau dekat.  Ini pun satu perkara lagi yang sangat mendalam pengajiannya.  Barang siapa yang mengetahui maksud batinnya akan dilihatlah dengan mudah tentang kebenaran dan kesungguhan jenis-jenis itu dalam Al Quran.

Saya (Imam Ghazali) katakan bahawa apa sahaja yang  yang  melihat diri dan bukan diri patut sekali mendapat gelaran "cahaya" dan apa yang memberi tambahan kepada itu dengan satu lagi tugas,  iaitu menjadikan  "bukan diri" itu boleh kelihatan,  adalah lebih wajar lagi digelar "cahaya".  Lebih wajar daripada sesuatu yang tidak ada kesan apa pun walaupun di luar dirinya.
Inilah cahaya yang berhak dinamakan "lampu yang  bersinar"(Al-Quran) kerana cahayanya terpancar kepada bukan diri.  Inilah sifatnya Ruh Kenabian yang tinggi itu,  kerana melalui caranya itulah terpancar sinaran ilmu ke alam ini.  Ini menerangkan juga kenapa Allah memberi Muhammad gelaran "yang bersinar"(Al-Quran).  Semua Nabi-nabi itu adalah lampu-lampu dan begitu juga orang-orang Alim(berilmu);  tetapi perbezaan antara mereka adalah tidak terkira.

Enhanced by Zemanta

No comments: