Saturday, July 14, 2012

Hadrat Ilahi

أشهد أن لا اله الا الله و أشهد أن محمدا رسول الله

Tuhan melampaui segala sesuatu. Tidak ada satu pun perbuatan manusia yang memberi kesan kepada Tuhan. Tidak ada kebaktian manusia yang sampai kepada Tuhan. Tidak ada doa dan rayuan manusia yang boleh masuk ke dalam majlis keesaan Tuhan. Jadi, dalam menyembah Allah s.w.t adakah manusia hanyalah sebuah robot yang berdiri, rukuk dan sujud? Adakah dalam melakukan kebaktian kepada Allah s.w.t manusia hanyalah sebuah jentera yang bergerak? Apakah kerana Allah s.w.t melampaui segala sesuatu maka tidak ada sebarang cara perhubungan hamba dengan-Nya?

Seorang lelaki bekerja mencari batu-batu permata di dalam gua. Satu hari, ketika dia sedang asyik mengumpulkan batu-batu permata, tiba-tiba muncul seekor ular besar di hadapannya. Dia ketakutan dan lari sekuat-kuat tenaganya. Sejak kejadian itu setiap kali dia melihat kepada gua dia akan ‘ternampak' ular besar. Kehadiran ular besar menguasai hatinya.

Dua orang lelaki bersahabat baik dan saling berkasih sayang. Suatu hari, salah seorang daripada mereka meninggal dunia. Sahabat yang masih hidup itu sering mengunjungi anak sahabatnya yang telah meninggal itu. Lelaki itu ‘melihat' kehadiran sahabatnya pada si anak itu.

Dalam sebuah negeri ada seorang perempuan pelacur yang sangat cantik, menawan, memberahikan dan mempesonakan sebarang lelaki yang memandang kepadanya. Tidak ada lelaki yang dapat menahan keinginannya apabila melihat perempuan tersebut. Setiap hari perempuan itu akan menunggu pelanggannya dengan mempamerkan wajahnya di jendela rumahnya. Lelaki yang melintasi rumahnya pasti akan berhenti apabila melihat kepadanya. Perempuan itu tidak pernah kecewa menarik lelaki kepadanya. Pada suatu hari lalu seorang lelaki salih dihadapan rumahnya. Lelaki salih itu adalah seorang ahli ibadat yang tidak pernah berbuat maksiat. Secara tidak sengaja lelaki salih itu terpandang kepada perempuan tadi. Seperti besi di tarik oleh besi berani kaki lelaki salih itu berjalan ke arah rumah perempuan tersebut dan masuk ke dalamnya. Perempuan itu bersedia melayaninya. Lelaki salih itu pun sudah ada keinginan terhadap perempuan cantik itu. Tetapi sebaik sahaja lelaki salih itu menyentuh perempuan itu, tangan lelaki salih itu tiba-tiba menggeletar. Tubuhnya menggigil dan mukanya pucat. Perempuan itu berasa hairan lalu menanyakan keadaan tersebut. Salih itu memberitahu perempuan itu bahawa Tuhan Melihat perbuatannya dan Mendengar perkataannya. Dia sangat takutkan Tuhan. Penyaksiannya terhadap Tuhan itulah yang menjadikan sekalian tubuhnya menggigil dan mukanya pucat. Kehadiran Tuhan menguasai hatinya.

Al-Quran menceritakan tentang peristiwa yang di alami oleh Nabi Yusuf a.s.

Dan sebenarnya perempuan itu telah berleinginan sangat kepadanya, dan Yusuf pula (mungkin timbul) keinginannya kepada perempuan itu; kalaulah tidak ia menyedari kenyataan Tuhannya (tentang kejinya perbuatan zina itu). Demikianlah (takdir Kami) untuk menjauhkan dari Yusuf perkara-perkara yang tidak baik dan perbuatan keji, kerana sesungguhnya ia dari hamba-hamba Kami yang ikhlas (dibersihkan dari segala dosa). ( Ayat 24 : Surah Yusuf )

Pada saat yang genting itu Nabi Yusuf a.s menyaksikan kehadiran Tuhannya. Kehadiran Tuhan yang dialami oleh hati itu diistilahkan sebagai Hadrat Ilahi. Hamba-hamba yang ikhlas dengan Allah s.w.t, yang telah dipersucikan, dikurniakan makam ihsan, iaitu menyaksikan Hadrat Tuhan atau merasai kehadiran-Nya. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: "Sembahlah Tuhanmu seolah-olah kamu melihat-Nya. Sekalipun kamu tidak melihat-Nya, ketahuilah Dia melihat kamu". Hamba-hamba yang ikhlas dan dipersucikan menyembah Allah s.w.t dalam keadaan hati mereka merasai kehadiran Allah s.w.t. Suasana hati yang demikian dikatakan hati menyaksikan Hadrat Ilahi. Itulah ihsan.

Banyak ayat-ayat al-Quran yang menceritakan tentang Hadrat Tuhan. Tuhan berfirman:

Allah jualah nur bagi semua langit dan bumi ( Ayat 35 : Surah an-Nur )

Ke mana sahaja kamu menghadap muka kamu di sana ada Wajah Allah. Sesungguhnya Allah itu Maha Luas, Maha Mengetahui. ( Ayat 115 : Surah al-Baqarah )

Kemudian Dia bersemayam di atas Arasy. ( Ayat 4 : Surah al-Hadiid )

Dan Dia beserta kamu walau di mana kamu berada. Dan Allah melihat apa yang kamu kerjakan. ( Ayat 4 : Surah al-Hadiid )

Bukan kamu yang membunuh mereka tetapi Allah yang membunuh mereka. Dan bukan kamu yang melempar tatkala kamu melempar, tetapi Allah yang melempar. (Ayat 17 : Surah al-Anfaal)

Kalimah yang sering diucapkan: "Laahau laa walaakuuwataillah billah"- tiada daya dan upaya melainkan beserta Allah" adalah peringatan kepada Hadrat Ilahi: Hadrat-Nya Mendengar; Hadrat-Nya Melihat; Hadrat-Nya beserta makhluk-Nya; Hadrat-Nya menerangi langit dan bumi; Hadrat-Nya menghadap kepada hamba yang menyembah-Nya; Hadrat-Nya bersemayam di atas Arasy dan lain-lain. Tidak ada satu keadaan, ruang atau zaman yang makhluk boleh terlepas daripada Hadrat-Nya yang menguasai sekalian makhluk: "Laahau laa walaakuuwataillah billah" walau siapa sekalipun makhluk itu. Carilah satu tempat yang paling tersembunyi yang tidak dapat dilihat oleh-Nya, jika kamu boleh melepasi Hadrat-Nya. Lakukan satu perbuatan yang tidak memerlukan daya dan upaya yang dari-Nya, jika kamu boleh bebas daripada Hadrat-Nya. Tidak mungkin, sekali-kali tidak mungkin, kerana Hadrat Allah s.w.t meliputi sekalian alam, meliputi segala sesuatu, membatasi segala kejadian.

Dia yang telah menciptakan semua langit dan bumi dalam enam masa; kemudian itu Dia bersemayam di Arasy. Dia mengetahui apa yang masuk ke dalam bumi dan apa yang keluar daripadanya; dan apa yang diturunkan dari langit serta apa yang naik padanya. Dan Dia tetap bersama-sama kamu di mana sahaja kamu berada, dan Allah Maha Melihat apa sahaja yang kamu kerjakan. Kepunyaan-Nya segala kekuasaan di semua langit dan bumi; dan kepada Allah akan kembali segala urusan. ( Ayat 4 & 5 : Surah al-Hadiid )

Tidak ada satu suasana pun yang terlepas daripada kehadiran atau Hadrat Tuhan, tetapi jarang sekali penghayatan terhadap yang demikian menguasai hati nurani manusia, walaupun mereka mempunyai pengetahuan mengenainya. Manusia mengetahui bahawa Tuhan Melihat dan Mendengar tetapi mereka tidak malu melakukan maksiat di hadapan Hadrat Tuhan Yang Melihat dan Mendengar. Manusia tahu Hadrat Tuhan sentiasa bersama-nya, tetapi masih lagi takut apabila mereka berada di tempat sunyi sendirian. Akal fikiran yang melahirkan pengetahuan tidak mampu berhubung dengan suasana Hadrat Ilahi. Hatilah yang berhubung dengan Hadrat Allah s.w.t kerana hati yang boleh diisi dengan iman. Semakin kuat iman semakin kuat suasana Hadrat Ilahi menguasai hati. Apabila sampai kepada satu peringkat, hati menjadi sebati dengan suasana Hadrat Ilahi. Lahirlah rasa malu dan gerun kepada Tuhan kerana dia merasai kehadiran Tuhan Melihat perbuatannya dan Mendengar perkataannya dan bisikan hatinya.

Suasana Hadrat Ilahi yang dirasakan atau dialami berbeza dari seorang manusia dengan manusia yang lain dan juga pada satu tempat dengan tempat yang lain. Tuhan sendiri menentukan tempat-tempat yang kehadiran-Nya boleh dirasakan lebih kuat daripada tempat-tempat yang lain. Di atas muka bumi ini tempat yang ditentukan oleh Tuhan sebagai tempat yang paling kuat menerima Hadrat-Nya adalah di Baitullah, Tanah Haram Makkah. Orang yang sudah menziarahi semua tempat di atas muka bumi akan mendapati tidak ada tempat untuk merasai kehadiran Allah s.w.t melebihi apa yang dirasakan pada sisi Kaabatullah. Selain Makkah tempat-tempat yang boleh dirasakan kehadiran Tuhan yang kuat adalah Madinah, Baitul Maqdis, Madyan, Bukit Thursina dan Baitulehem. Rasa kehadiran Tuhan pada tempat-tempat yang lain berlebih kurang menurut kadar yang ditentukan oleh Allah s.w.t dan bergantung kepada hati seseorang insan.

Oleh kerana pada sisi Kaabah insan dapat merasakan kehadiran Tuhan secara maksima, maka Kaabah menjadi Kiblat manusia menyembah Allah s.w.t. Walaupun kehadiran Tuhan di sana begitu kuat namun Tuhan bukan berada dalam Kaabah dan bukanlah Kaabah itu Tuhan. Apabila berdiri pada sembahyang menghadap kepada Kaabah bukan bermakna Kaabah yang disembah atau Kaabah dijadikan misal Tuhan. Dada menghadap Kaabah tetapi hati menghadap Allah s.w.t, Tuhan kepada manusia, hati manusia dan Kaabah. Walau di mana pun berdiri menghadap Kaabah hati menghayati suasana Hadrat Ilahi yang sekuat di Kaabah.

Mengapa Tuhan memilih Kaabah untuk menyatakan Hadrat-Nya yang paling kuat di atas muka bumi? Tuhan berbuat menurut kehendak-Nya, tidak tertakluk kepada hujah manusia. Muslim tunduk menyerah kepada kehendak Tuhan. Tuhan memerintahkan supaya menjadikan Kaabah sebagai Kiblat. Muslim menerima perintah Tuhan itu dengan patuh dan ikhlas melaksanakannya. Menolak sembahyang atau menolak Kaabah sebagai Kiblat membuatkan seseorang itu menjadi kufur.

Pada Alam Langit-langit pula tempat yang paling kuat menerima Hadrat Tuhan adalah Baitul Makmur. Kedudukan Baitullah kepada manusia sama dengan kedudukan Baitul Makmur kepada malaikat. Seramai tujuh puluh ribu malaikat memasuki Baitul Makmur setiap hari. Sekali memasuki mereka tidak keluar lagi sampai ke hari kiamat.

Pada sekalian alam atau semua kejadian Tuhan, tempat yang paling kuat menerima Hadrat Tuhan berada di Arasy, iaitu tempat Nabi Muhammad s.a.w menerima perintah sembahyang lima waktu sehari semalam. Hanya Nabi Muhammad s.a.w seorang sahaja yang pernah sampai di sana. Jibrail a.s tidak sampai ke tempat tersebut.

Terdapat perbezaan kekuatan suasana Hadrat pada tempat-tempat yang diberkati Allah s.w.t. Kaabah diistilahkan sebagai Rumah Allah, Baitul Makmur pula Rumah Yang Aman Sentosa dan Arasy adalah Takhta Kerajaan. Bolehlah diibaratkan Kaabatullah sebagai Negeri Hadrat, Baitul Makmur sebagai Istana Hadrat dan Arasy sebagai Takhta Hadrat (ibarat ini hanyalah perbandingan sekadar untuk kefahaman). Nabi Muhammad s.a.w memulakan perjalanan baginda s.a.w daripada Baitullah. Baginda s.a.w Mikraj ke Baitul Makmur dan kemudian diangkat ke Arasy, tempat perjalanan yang paling tinggi. Pada Baitullah Rasulullah s.a.w menerima kedatangan Jibrail a.s. Dalam suasana Baitullah manusia menerima suasana Hadrat dalam keadaan manusia dihijab oleh cahaya malaikat. Keadaan ini perlu kerana manusia umum tidak dapat bertahan menerima suasana Hadrat tanpa hijab malaikat. Pada Baitul Makmur pula makhluk dihijab dari suasana Hadrat oleh cahaya Arasy. Pada Arasy pula Hadrat tidak terhijab, sebaliknya Hadrat itu sendiri yang menjadi hijab, melindungi makhluk daripada kehebatan Keagungan Allah s.w.t. Di Arasy, dalam suasana tidak terhijab daripada Hadrat Tuhan, Nabi Muhammad s.a.w menerima firman Tuhan tanpa perantaraan. Walaupun tanpa perantaraan Nabi Muhammad s.a.w mendengar Kalam Tuhan di sebalik hijab, iaitu Hijab Hadrat atau hijab ketuhanan, bukan hijab cahaya malaikat atau yang lain.

Dan tidaklah terdapat seorang manusia pun yang Allah berkata-kata dengannya, kecuali dengan wahyu atau dari belakang hijab atau dikirim-Nya utusan, lalu dia mewahyukan dengan izin-Nya apa yang Dia kehendaki. Sesungguhnya Dia adalah Maha Tinggi, Maha Bijaksana. (Ayat 51 : Surah asy- Syura )

Nabi Musa a.s telah mendengar perkataan Tuhan dari sebalik hijab tanpa Allah s.w.t memperlihatkan Diri-Nya. Oleh kerana terlalu asyik mendengar Kalam Tuhan, Nabi Musa a.s teringin untuk melihat-Nya.

Dan tatkala Musa datang di waktu (yang) Kami (tentukan itu) dan Tuhannya Berkata-kata dengannya, berkatalah dia: "Hai Tuhanku! Tunjukkanlah Diri-Mu kepadaku supaya aku lihat Engkau. ( Ayat 143 : Surah al-A'raaf )

Permintaan Nabi Musa a.s itu dijawab oleh Tuhan:

Dia berfirman: "Sekali-kali engkau tidak akan dapat melihat Aku, tetapi lihatlah kepada gunung itu, jika ia tetap pada tempatnya maka engkau akan melihat Daku!" Tatkala Tuhannya mentajallikan kepada gunung maka hancurlah ia dan tersungkurlah Musa pengsan. Setelah dia sedar berkatalah dia: "Maha Suci Engkau, dan aku adalah yang pertama sekali beriman". (Ayat 143 : Surah al-A'raaf )

Jika Kalam Tuhan didengar disebalik hijab, melihat Tuhan juga di sebalik hijab, iaitu melihat Hadrat-Nya, merasakan kehadiran-Nya dengan iman, dengan penuh keyakinan. Nabi Musa a.s mendengar perkataan Tuhan di Gunung Thursina dan meminta untuk melihat-Nya. Nabi Muhammad s.a.w mendengar perkataan Tuhan di Arasy, tetapi Nabi Muhammad s.a.w tidak meminta untuk melihat-Nya. Setelah kembali ke Makkah baginda s.a.w ditanya oleh Abu Zarr adakah baginda s.a.w telah melihat Allah s.w.t? Baginda s.a.w menjawab: "Semuanya cahaya, bagaimana aku dapat melihat-Nya". Hijab ketuhanan yang meliputi makhluk menyebabkan tidak mungkin makhluk melihat-Nya secara terang-terangan sebelum berlaku kiamat.

Manusia dapat mengalami Hadrat Ilahi kerana Dia memperkenalkan Diri-Nya melalui sifat-sifat-Nya, melalui nilai-nilai yang ada dengan manusia sendiri.

Dan pada diri kamu apakah tidak kamu perhatikan? ( Ayat 21 : Surah adz-Dzaariyaat)

Nilai-nilai yang ada dengan manusia mengajar kepada manusia mengenai aspek tasybih Tuhan. Bakat yang ada dengan manusia membolehkan manusia berhubung dengan Tuhan. Manusia mempunyai bakat yang istimewa ini kerana manusia ada perkaitan dengan roh.

(Ingatlah) tatkala Tuhan engkau berfirman kepada malaikat: "Sesungguhnya Aku hendak menciptakan manusia daripada tanah. Maka apabila Aku sempurnakan kejadiannya dan Aku tiupkan kepadanya daripada Roh-Ku hendaklah kamu meniarap kepadanya dalam keadaan sujud". ( Ayat 71 & 72 : Surah Saad )

Maha Luhur darjat-Nya, Yang Empunya Arasy. Dia turunkan roh dari urusan-Nya kepada barangsiapa yang Dia kehendaki daripada hamba-hamba-Nya untuk memberi peringatan tentang hari pertemuan. ( Ayat 15 : Surah al-Mu'min )

Seterusnya Allah s.w.t berfirman:

Dan demikianlah Kami wahyukan kepada engkau satu roh dari urusan Kami. Padahal tidaklah engkau tahu apa itu Kitab dan apa itu iman. Tetapi Kami jadikan ia nur yang Kami beri petunjuk dengan ia barangsiapa yang kami kehendaki daripada hamba-hamba Kami. Dan sesungguhnya engkau akan memimpin kepada jalan yang lurus. (Iaitu) jalan Allah, yang kepunyaan-Nya apa yang ada di semua langit dan apa yang ada di bumi. Ketahuilah! Kepada Allah akan sampai segala urusan. ( Ayat 52 & 53 : Surah asy-Syura )

Dan mereka bertanya kepada engkau tentang Roh. Katakanlah: "Roh itu adalah urusan Tuhanku, dan kamu tidak diberi ilmu melainkan sedikit". ( Ayat 85 : Surah Bani Israil )

Hati nurani atau rohani manusia ada perkaitan dengan roh yang termasuk dalam kategori urusan Allah s.w.t. Roh urusan Allah s.w.t menjadi nur yang memberi petunjuk kepada manusia. Hati nurani yang diterangi oleh nur ini akan terpimpin kepada jalan Allah s.w.t. Roh urusan Allah s.w.t itulah memungkinkan segala urusan sampai ke Hadrat-Nya. Amalan, doa, rayuan dan apa sahaja yang manusia lakukan sampai kepada Allah s.w.t kerana roh urusan Allah s.w.t. Bagaimana semua itu terjadi tidak dapat diterangkan kerana manusia diberi sedikit sahaja ilmu mengenai roh urusan Allah s.w.t itu. Dengan ilmu yang sedikit itulah manusia mencuba menggerakkan kefahaman mengenainya.

Tuhan mengajar manusia melalui nilai-nilai yang ada pada diri manusia sendiri. Manusia wujud, hidup, mendengar, melihat, berkata-kata, berkehendak dan berpengetahuan. Melalui nilai-nilai tersebut Tuhan mengatakan Dia Wujud, Hidup, Mendengar, Melihat, Berkata-kata, Berkehendak dan Berilmu. Oleh kerana manusia memiliki unsur seni yang diistilahkan sebagai roh, maka Allah s.w.t menggunakan istilah roh juga agar mudah manusia memahami tentang roh urusan Tuhan. Tetapi manusia jangan lupa apa yang dinisbahkan kepada Tuhan melampaui segala sesuatu, melampaui bahasa dan pengetahuan, melampaui penyifatan dan ibarat dan tidak ada sesuatu yang serupa dengan apa yang dinisbahkan kepada-Nya. Tuhan bukakan ilmu mengenai ini sedikit sahaja, hanya sekadar mencukupi untuk membuat manusia beriman mengenainya.

Roh manusia yang ada perkaitan dengan tiupan Roh Allah s.w.t adalah sesuatu yang sangat unik dan istimewa. Adam a.s yang diciptakan daripada tanah berkeadaan seperti mayat sehinggalah beliau a.s menerima tiupan Roh Allah s.w.t. Kesan daripada tiupan Roh Allah s.w.t dinamakan Roh Insan yang padanya terkumpul segala bakat-bakat yang diperlukan oleh manusia, seperti bakat-bakat mendengar, melihat dan lain-lain. Tiupan Roh Allah s.w.t menjadikan manusia hidup dan mempunyai daya dan upaya. Tiupan Roh Allah s.w.t juga melahirkan nafsu dan akal yang berguna bagi mengarahkan perjalanan kehidupan dan penggunaan bakat-bakat yang ada dengan manusia. Apabila keupayaan untuk hidup, bakat-bakat, nafsu dan akal berkumpul dan bersatu dengan jasad jadilah ia seorang manusia yang cukup sifat dan sempurna kejadiannya. Ia menjadi makhluk yang berjasad dan berhati nurani atau dikatakan juga manusia yang memiliki aspek zahir dan aspek batin. Aspek zahir manusia umpama mayat dan aspek batinnya umpama malaikat. Ketika Adam a.s berada di dalam syurga aspek zahirnya tidak menyerlah, kurang pengaruhnya. Pada tahap itu kedudukan Adam a.s sama dengan malaikat. Setelah Adam a.s dihantar ke dunia aspek zahirnya berada di dalam suasana yang sesuai dengannya. Aspek zahir menjadi kuat dan cuba mempengaruhi aspek batin agar tunduk kepada keinginannya. Manusia pada aspek mayat tidak lagi menumpang aspek malaikat, malah ia cuba menggunakan aspek malaikat untuk memenuhi kepentingan dan keperluannya. Mungkin juga kerana ia menyedari yang ia akan kembali menjadi mayat, sedangkan aspek malaikat akan terus hidup, maka apa sahaja yang dia ingini mesti diperolehi sekarang, jangan bertangguh-tangguh lagi.

Bakat-bakat manusia seperti mendengar dan melihat dimiliki oleh kedua-dua aspek manusia iaitu zahir dan batin. Oleh kerana pengaruh zahir lebih kuat maka bakat aspek batin tidak mampu digunakan oleh manusia. Hijab zahiriah terlalu kuat sehingga manusia tidak mampu menyaksikan perkara-perkara ghaib, apa lagi hal-hal ketuhanan. Manusia seperti ini tidak dapat merasakan kehadiran Tuhan. Apabila terhijab daripada kehadiran Tuhan, amal ibadat yang dilakukan tidak memberi kesan dan tidak mampu melindungi manusia daripada terjerumus ke dalam kejahatan.

Manusia dapat mengalami suasana Hadrat Tuhan (kehadiran Tuhan) apabila bakat-bakat rohnya berfungsi. Roh manusia sangat istimewa. Roh yang Tuhan kurniakan kepada manusia menyebabkan manusia boleh mengenal Tuhan apabila Tuhan mengajar mereka mengenali-Nya melalui bakat-bakat dan nilai-nilai yang ada dengan mereka sendiri.

Keajaiban yang dimiliki oleh roh menyebabkan ada manusia yang salah mengerti tentang roh mereka. Mereka beranggapan roh itulah Tuhan, penjelmaan Tuhan atau Tuhan adalah batin (nyawa) kepada roh. Diri, roh dan Tuhan dikatakan yang sama. Fahaman ini adalah sesat dan kufur. Tuhan mengajar manusia mengenali-Nya melalui nilai-nilai yang ada dengan manusia bukan untuk menyesatkan manusia dengan akal dan khayalan mereka. Manusia mempunyai sifat melihat. Tuhan mengatakan Dia Melihat. Penglihatan manusia dan juga penglihatan roh bukanlah Penglihatan Tuhan. Ke dua-duanya tidak sama dan tidak serupa. Penglihatan manusia dan juga penglihatan roh adalah ciptaan Tuhan. Tuhan boleh menciptakan penglihatan untuk manusia dan roh kerana Dia memiliki Penglihatan. Oleh kerana Dia yang memiliki Penglihatan maka Dia tahu bagaimana mahu menciptakan penglihatan. Tuhan berpengetahuan dalam menciptakan penglihatan untuk makhluk-Nya. Jika Tuhan tidak memiliki Penglihatan maka Tuhan menciptakan penglihatan makhluk dalam kejahilan. Keadaan ini adalah mustahil bagi Tuhan. Tuhan Maha Tahu tentang apa yang diciptakan-Nya kerana setiap nilai dan bakat yang diciptakan-Nya dimiliki-Nya sendiri secara Mutlak. Nilai Mutlak yang dimiliki oleh Tuhan menyebabkan Dia boleh mengadakan nilai-nilai tersebut yang tidak Mutlak. Oleh kerana itu tiada hujah bagi manusia mengatakan Tuhan tidak melihat perbuatan mereka kerana Tuhan memiliki Penglihatan Mutlak. Penglihatan Mutlak menyaksikan apa sahaja yang dipandang oleh penglihatan yang tidak Mutlak. Tidak mungkin penglihatan yang tidak Mutlak memandang tanpa penyaksian Penglihatan Mutlak.

Tuhan juga memiliki Roh Mutlak, lantaran itu Dia boleh mengadakan roh yang tidak Mutlak untuk manusia. Pendengaran, Penglihatan dan lain-lain adalah bakat Roh Mutlak. Roh tidak Mutlak juga memiliki bakat-bakat mendengar, melihat dan lain-lain. Keadaan yang demikian menyebabkan orang sufi sering mengatakan insan diciptakan dengan bayangan ar-Rahman. Ungkapan yang demikian melahirkan kefahaman yang insan adalah bayangan Tuhan. Sebenarnya bakat manusia tidak boleh dihubungkan dengan bakat Tuhan seperti menghubungkan bayang dengan yang empunya bayang. Wujud manusia dan sifat manusia tidak bertembung dengan Wujud Tuhan dan sifat Tuhan. Roh manusia bukanlah Roh Tuhan. Roh menggambarkan bakat-bakat yang banyak berkumpul dalam kesatuan. Bakat-bakat mendengar, melihat, berkata-kata, berkehendak, berkuasa, berpengetahuan dan hidup adalah bakat yang satu iaitu roh. Apabila disebut roh ia meliputi semua bakat dan nilai. Apabila Bakat-bakat yang demikian dilihat pada suasana ketuhanan, maka suasana tersebut dinamakan Kudrat. Istilah Roh Tuhan adalah satu bentuk pengajaran Tuhan kepada manusia melalui nilai yang ada dengan manusia sendiri, supaya mudah manusia memperolehi kefahaman. Orang yang menyamakan rohnya dengan Roh Tuhan dan menyamakan dirinya dengan Tuhan wajiblah bertaubat sebelum nyawa sampai di halkum. Yakinlah hamba tetap hamba dan Tuhan tetap Tuhan, tidak ada kamil berkamil, satu bersatu, sama menyama. Bertaubatlah daripada iktikad yang salah!

Suasana Hadrat yang di alami oleh hati nurani dikenali sebagai hakikat atau hal ketuhanan. Hakikat dialami dalam dua keadaan. Dalam keadaan yang pertama orang yang mengalaminya tidak sedarkan kewujudan dirinya dan dalam keadaan yang ke dua pula pengalaman hakikat tidak mencabut kesedaran dan kehambaannya. Misalnya, dalam satu pengalaman hakikat, orang yang hilang kesedaran mengucapkan: "Ana al-haq! (Akulah Tuhan)", tetapi orang yang menetap dalam kesedaran dan kehambaan yang mengalami hakikat yang sama mengucapkan: "Hua al-Haq! (Dia jualah Tuhan)". Jenis pertama merasakan dia menjadi Tuhan. Jenis ke dua mengenali apa yang dimaksudkan sebagai Tuhan. Yang pertama hilang kesedaran diri lalu mengaku menjadi Tuhan. Yang ke dua pula mengenali Tuhan sebagai Tuhan dan hamba sebagai hamba. Jenis pertama dikurung oleh bayang dan mendapati sukar untuk melepasi peringkat itu. Jenis ke dua menetap di atas kenyataan yang benar dan lebih mudah untuk sampai kepada Kebenaran Hakiki.

Allah s.w.t mempunyai satu Hadrat bernama ar-Rahman. Orang yang hilang kesedaran masuk kepada bayangan ar-Rahman lalu merasakan dirinya adalah ar-Rahman. Dia merasakan dirinya sangat pemurah, mahu mengabulkan apa sahaja yang orang minta. Tetapi ‘ar-Rahman'-nya hanyalah bayangan. Oleh itu apa yang boleh diberinya juga adalah bayangan iaitu pengharapan dan angan-angan. Orang yang menemui Hadrat ar-Rahman dalam kesedaran mengalami hal yang berbeza. Dia tidak diganggu oleh bayangan. Dia mengalami suasana kesucian yang Maha Suci, kebesaran yang Maha Besar, keagungan yang Maha Agung. Pada ketika itu dia merasakan setiap zarah kewujudannya sama seperti debu tepung. Apabila berhadapan dengan Tuhan ar-Rahman dia merasakan setiap zarah kewujudannya relai seumpama debu tepung ditiup angin kencang. Bila dia keluar daripada pengalaman tersebut dia mendapat pengertian tentang keagungan Tuhan ar-Rahman. Dia mengerti keadaan hancurnya Gunung Thursina tatkala Tuhan hadapkan keagungan-Nya ke sana. Dia mengerti maksud perkataan Jibrail a.s: "Jika aku melangkah satu langkah lagi cahaya keagungan Allah s.w.t akan membakar daku". Dia mengerti maksud perkataan Rasulullah s.a.w: "Cahaya di mana-mana, bagaimana aku boleh melihat-Nya".

Orang yang menetap dalam kehambaan mengalami hakikat dan memperolehi makrifat melalui pengalaman, bukan sekadar melalui ilmu. Ketika merasakan zarah kewujudannya tertanggal satu-satu dia mengenal Tuhan yang boleh dikenal. Setelah zarah-zarah kewujudannya ‘diterbangkan angin kencang' dan ‘hilang', dia mengenali Tuhan yang melampaui segala pengenalan. Lalu dia mendapat pengertian bahawa yang benar-benar kenal Tuhan adalah Tuhan sendiri. Hanya Dia yang mengenali Diri-Nya. Kami mengenali-Nya melalui-Nya, sekadar yang Dia izinkan kami mengenali-Nya. Pengalaman hakikat cara demikian menggabungkan tahu dengan tidak tahu, faham dengan tidak faham dan kenal dengan tidak kenal.

Perkara yang sering menimbulkan kekeliruan orang ramai adalah persoalan Qadak dan Qadar. Qadak dan Qadar berhubung dengan Ilmu Tuhan atau suasana Pentadbiran Tuhan. Ada orang yang Tuhan izinkan ‘masuk' ke dalam suasana Ilmu-Nya. Apa yang ditemui pada Hadrat Ilmu Tuhan adalah hakikat-hakikat yang menguasai perjalanan alam. Hakikat atau urusan Tuhan yang berhubung dengan manusia dinamakan Hakikat Insan. Urusan Tuhan yang berhubung dengan alam dinamakan Hakikat Alam. Urusan yang mencakupi segala perkara dinamakan hakikat kepada hakikat-hakikat atau hakikat yang menyeluruh. Pengalaman hakikat-hakikat pada Hadrat Ilmu Tuhan membawa seseorang kepada jalan yang menggabungkan dua jalan iaitu jalan nabi dan jalan asma'. Jalan nabi adalah syariat iaitu mematuhi peraturan yang telah ditetapkan oleh Tuhan dan mengabdikan diri kepada-Nya.


Tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk mengabdikan diri kepadaKu. ( Ayat 56 : Surah adz-Dzaariyaat )

Jalan asma' adalah menyaksikan Rububiah (ketuhanan) pada setiap masa dan dalam semua suasana.

Sesungguhnya aku bertawakal kepada Allah, Tuhanku dan Tuhan kamu. Tidak ada satu pun yang melata melainkan Dia jualah yang memegang ubun-ubunnya. Sesungguhnya Tuhanku adalah di atas jalan yang lurus. ( Ayat 56 : Surah Hud )

Bukan kamu yang membunuh mereka tetapi Allah jualah yang membunuh mereka. Dan bukan kamu yang melempar ketika kamu melempar tetapi Allah jualah yang melempar. ( Ayat 17 : Surah al-Anfaal ) Jalan syariat memperbaiki amal dan jalan asma' atau jalan hakikat adalah menyaksikan Hadrat Ilahi dalam segala perkara dan pada semua suasana. Bila dua jalan berpadu lahirlah amal zahir dan amal batin yang sesuai dengan peraturan dan kehendak Allah s.w.t, mengambil Qadak dan Qadar melalui nilai-nilai yang ada dengan manusia, berusaha dan beramal, dan pada masa yang sama beriman dan bertawakal kepada Tuhan yang memegang perjalanan segala urusan. Tidak ada sesuatu yang bebas daripada hakikat ketuhanan yang menguasainya

No comments: