أشهد أن لا اله الا الله و أشهد أن محمدا رسول الله
1- Jumlah Malaikat - Malaikat adalah makhluk sangat ramai mengikut nas-nas al-Quran dan as-Sunnah. Nabi SAW bersabda: ‘Kemudian
saya dibawa naik ke Baitul Ma'mur di situ terdapat 70,000 malaikat
masuk ke dalamnya setiap hari dan tidak pernah kembali dari situ
sehingga sampai yang terakhir’. (Muslim, no. 162)
2- Sayap Malaikat - Jumlah sayap malaikat berbeza-beza bagi setiap malaikat. FirmanNya: “Segala
puji bagi Allah pencipta langit dan bumi, Yang menjadikan malaikat
sebagai utusan-utusan yang mempunyai sayap, masing-masing dua, tiga dan
empat. Allah menambahkan pada ciptaanNya apa yang dikehendaki-Nya.
Sesungguhnya Allah maha kuasa atas segala sesuatu.” (Fathir: 1)
Dari Abdullah bin Mas’ud, dia
berkata: Rasulullah SAW melihat Jibril dalam bentuk asalnya yang
memiliki 600 sayap. Setiap sayapnya menutupi ufuk. Dari sayap itu jatuh
mutiara dan permata yang berwarna-warni yang hanya diketahui oleh
Allah.” (Ahmad, V/3748, Ahmad Syakir berkata sanadnya sahih)
3- Melihat Malaikat -
Nabi SAW pernah melihat Jibril dalam bentuk asalnya sebanyak dua kali.
Baginda juga pernah melihatnya beberapa kali bentuk seorang lelaki. Para
sahabat r.a. pula hanya melihatnya dalam sosok seorang lelaki yang
berpakaian sangat putih dan memiliki rambut yang sangat hitam.
4- Dalam beberapa keadaan, malaikat mendekati manusia. Terkadang manusia
dapat merasakan keberadaannya, namun tidak melihatnya meskipun ia dapat
melihat bekas-bekas yang menunjukkan kehadiran malaikat tersebut. Hal
ini pernah berlaku kepada seorang sahabat bernama Usaid bin Hudhair. Dia
berkata: "Suatu malam, ketika dia membaca
surah al-Baqarah, sementara kudanya terikat di sampingnya, tiba-tiba
kuda tersebut melompat-lompat. Maka dia berhenti membaca, kuda itupun
menjadi tenang, dan ketika ia mulai lagi, kuda itu melompat-lompat lagi.
Lalu dia menamatkan bacaannya kerana puteranya Yahya berada di samping
kuda. Dia khuatir jika mungkin kuda itu menginjak anaknya. Ketika dia
membawa anaknya itu pergi dia mengangkat kepalanya ke arah langit (di
sana dia melihat gugusan awan), hingga akhirnya dia tidak melihatnya
lagi.
Keesokan harinya, Usaid
menceritakan (hal tersebut) kepada Nabi SAW, maka baginda bersabda,
“Teruskanlah bacaanmu (ketika itu), wahai Ibnu Hudair! Teruskanlah
bacaanmu, wahai Ibnu Hudair!” Ibnu Hudair menjawab, “Saya khuatir jika
mungkin kuda itu akan menginjak Yahya kerana dia berada dekat dengan
kuda itu, lantas aku berhenti (membaca), aku mengangkat kepalaku ke arah
langit, tiba-tiba ada semacam awan yang tampak seperti cahaya, lantas
ia pergi sampai aku tidak melihatnya lagi." Bersabda baginda, “Apakah
kamu tahu apa itu?” Ibnu Hudair menjawab, “Tidak”. Baginda bersabda,
“Itu adalah Malaikat yang datang dekat dengan kamu kerana bacaanmu,
Seandainya kamu terus melanjutkan bacaanmu, nescaya manusia akan dapat
melihatnya seperti itu tanpa menyembunyikan diri dari mereka."
(Al-Bukhari, no. 5018)
5- Melihat malaikat dalam wujud
asalnya, tidak pernah terjadi pada seorang pun dari umat ini selain
Rasulullah SAW. Ini menunjukkan bahawa mereka tidak dapat dilihat oleh
manusia. Adapun melihatnya dalam bentuk manusia, hal itu pernah terjadi,
seperti yang disebutkan dalam beberapa hadith. Akan tetapi, setiap
Muslim wajib untuk berhati-hati agar tidak diperdaya oleh syaitan
sehingga dia mengira bahawa apa yang dililhatnya itu adalah malaikat,
padahal itu sesungguhnya syaitan yang mengejeknya.
6- Malaikat mengelilingi Makkah dan Madinah -
Anas meriwayatkan sebuah hadith dari Nabi SAW, baginda bersabda: "Tidak
ada satu pun negeri melainkan akan disinggahi dajal kecuali Makkah dan
Madinah. Tidak ada satu pun dari dataran keduanya melainkan terdapat dua
baris malaikat yang menjaganya. Kemudian Madinah menggetarkan
penghuninya sebanyak tiga kali, lalu Allah mengeluarkan setiap orang
kafir dan munafik darinya." (Al-Bukhari, no. 1782, Kitab Fadhailul
Madinah)
7- Mengenai Malaikat Harut dan Marut -
Ada banyak kisah dan dongeng yang ditulis berkaitan dengan kedua
malaikat ini yang kebanyakan diambil dari Ahlul Kitab. Nama kedua
malaikat ini disebutkan dalam al-Quran, surah al-Baqarah ayat 102.
Ibnu Jarir berpendapat bahawa
keduanya adalah malaikat yang diturunkan sebagai fitnah (ujian) bagi
manusia. Dia berkata: "Diturunkannya sihir itu oleh Allah kepada kedua
malaikat tersebut, lalu keduanya mengajarkannya kepada manusia.
Perbuatan ini bukanlah dosa kerana keduanya mengajarkan sihir tersebut
atas izin Allah, yakni setelah keduanya memberitahukan (manusia) tentang
mereka sebagai fitnah (ujian) bagi anak Adam. Keduanya melarang manusia
untuk mempelajari dan mengamalkan sihir. Dalam hal ini yang berdosa
adalah mereka yang mempelajarinya dari kedua malaikat tersebut lalu
mengamalkannya. Sebab Allah telah melarang untuk mempelajari dan
mengamalkan sihir. Demikian pula, kedua malaikat tersebut tidak berdosa
lantaran mengajarkannnya, sebab keduanya mengetahui sihir kerana Allah
yang menurunkannya kepada mereka." (Tafsir Ibnu Jarir, II/422, tahqiq
Mahmud Syakir)
8- Nama Izrail - Nama
ini tidak disebutkan dalam al-Quran dan hadith sahih, namun disebutkan
dalam beberapa atsar para tabiin yang hal ini tidak dapat dijadikan
sebagai hujah. Jadi, tidak boleh menamakan Malaikat Maut dengan nama ini
kerana penamaan tersebut tidak disandarkan oleh dalil yang sahih,
wallahua'lam.
9- Kematian Malaikat - Para
ulama’ ahli tafsir menyebutkan bahwa malaikat yang terakhir mati adalah
Malaikat Maut. Sedangkan malaikat yang pertama kali dibangkitkan dari
kematian adalah Malaikat Israfil, peniup sangkakala.
No comments:
Post a Comment