Saturday, July 14, 2012

Makam Penetapan

أشهد أن لا اله الا الله و أشهد أن محمدا رسول الله
Orang kerohanian yang kembali kepada kesedaran kemanusiaan dan masuk kepada suasana penetapan, hidup sebagai seorang Muslim biasa. Orang arif dan orang awam dalam agama Islam tertakluk kepada hukum dan peraturan yang sama. Semuanya bertuhankan Tuhan Yang Satu. Semuanya berpenghulukan Nabi yang satu. Semuanya berkiblatkan Kiblat yang satu. Semuanya berimamkan Kitab yang satu. Sekalian kaum Muslimin bersaudara.

Aku reda Allah adalah Tuhan, Islam adalah agama, Muhammad s.a.w adalah Nabi dan Rasul, al-Quran adalah ikutan, Kaabah adalah Kiblat dan semua mukminin dan mukminat adalah saudara.

Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan aku naik saksi bahawa Nabi Muhammad s.a.w adalah Pesuruh Allah.

Pada makam penetapan orang arif bergerak dalam masyarakat seperti air yang mengalir pada bumi, menghidupkan bumi yang mati. Bila bumi sudah hidup akan tumbuhlah pokok Islam yang akar tunjangnya teguh di dalam bumi dan pucuknya menggamit langit. Daunnya rendang menjadi tempat berteduh bagi musafir yang lalu sebentar di atas muka bumi. Buahnya enak dan lazat memberi kekuatan kepada musafir berjalan menuju destinasi.

Muhammad Pesuruh Allah! Dan orang-orang yang besertanya keras terhadap orang kafir (dan) berkasih sayang sesama mereka. Engkau lihat mereka rukuk, sujud, mencari kurniaan dan keredaan Allah. Tanda-tanda mereka (ada) di muka mereka dari bekas sujud. Demikianlah sifat mereka di Taurat dan sifat mereka di Injil, sebagai tanaman yang keluarkan tunasnya, lalu Dia teguhkan ia. Maka jadilah ia gemuk dan tegap berdiri di atas pangkalnya. (Adalah) kerana Dia hendak jengkilkan kafir-kafir itu dengan (kesuburan) mereka (yang mukmin). Allah janjikan mereka yang beriman dan beramal salih dari mereka keampunan-Nya dan ganjaran yang besar. ( Ayat 29 : Surah al-Fat-h )

Setiap Muslim mestilah memilih benih yang baik untuk di tanam. Tuhan hanya menyediakan satu tempat sahaja sebagai kebun untuk bercucuk tanam. Tuhan memberikan kepada manusia satu peluang sahaja untuk mengusahakan ladangnya. Kebun tersebut adalah dunia dan peluang tersebut adalah hidup di dalam dunia ini. Tidak ada kebun lain dan tidak ada peluang lain. Pokok yang paling baik ditanam adalah pokok yang batangnya berdiri tegak, dahannya rukuk merendahkan diri dan julainya yang berat dengan buah sujud mencecah bumi dengan penuh kehambaan. Pokok yang baik mengeluarkan buah yang baik untuk kehidupan dunia dan ia terus berbuah di dalam kubur. Di akhirat kelak buahnya akan memberikan kegembiraan yang abadi.

Pengalaman zauk dan jazbah hanyalah kedudukan yang sementara, bukan penetapan dan bukan matlamat. Nabi Muhammad s.a.w memasuki pengalaman Israk dan Mikraj hanya satu bahagian daripada malam sahaja. Dalam perjalanan yang mengambil masa yang singkat itu baginda s.a.w menerima perintah sembahyang lima waktu. Perintah sembahyang yang diterima dalam masa yang singkat itu membawa Nabi Muhammad s.a.w mengerjakan sembahyang sepanjang hayat baginda s.a.w. Pengalaman yang singkat membuka jalan kepada penetapan. Baginda s.a.w yang dikeluarkan daripada dunia sebahagian daripada malam kembali semula ke dunia untuk meneruskan baki umur baginda s.a.w dan di dunia ini juga baginda s.a.w menghabiskan umur baginda s.a.w. Di sini juga jasad baginda s.a.w disemadikan. Begitulah jalan yang Tuhan tentukan untuk manusia yang paling mulia, paling sempurna.

Tuhan ciptakan Adam a.s tanpa ibu dan ayah. Tuhan ciptakan Isa a.s tanpa ayah. Tuhan ciptakan Kekasih-Nya, Muhammad s.a.w dengan beribu dan berbapa. Tuhan jadikan Kekasih-Nya itu merasai lapar, dahaga, sakit dan mati di dalam dunia. Sahabat-sahabat baginda s.a.w yang merupakan manusia pilihan kelas pertama melalui jalan yang demikian juga. Orang-orang yang benar yang datang kemudian melalui jalan itu juga. Itulah sebaik-baik jalan dan ia dinamakan Jalan Nabi atau Sunah Nabi Muhammad s.a.w.

Pada Jalan Nabi tentera Muslimin berperang dengan menggunakan pedang, kepintaran akal dan kekuatan jasmani. Mereka memukul dan dipukul. Mereka menerima luka-luka. Mereka membunuh dan dibunuh. Mereka selalu menang tetapi ada juga kekalahan. Namun mereka terus juga berjuang di dalam perbatasan manusia biasa. Mereka tidak bersandar kepada ilmu kebal atau ilmu menutup pandangan musuh. Mereka tidak bersandar kepada mukjizat. Jika Tuhan kirimkan mukjizat melalui Nabi-Nya mereka menerimanya dengan syukur. Jika Tuhan tetapkan mereka berperang dengan menggunakan bakat kemanusiaan biasa mereka terus juga berjuang dengan penuh semangat dan kesabaran.

Rasulullah s.a.w dan para sahabat telah menunjukkan cara menghadapi kehidupan sebagai manusia biasa. Baginda s.a.w bersama-sama sahabat yang paling mulia, Abu Bakar as-Siddik, telah menunjukkan contoh yang paling baik dalam menghadapi cabaran sewaktu melakukan hijrah. Konsep bertawakal yang sebenarnya diajarkan oleh Rasulullah s.a.w melalui peristiwa hijrah tersebut. Baginda s.a.w diutuskan untuk membimbing umat manusia yang tidak boleh terbang di udara atau berjalan di atas air dan juga tidak kebal. Jika orang yang membimbing menggunakan cara terbang di udara, berjalan di atas air, kenyang tanpa makan, tidak ditimpa penyakit, maka yang boleh mengikuti pembimbing yang demikian hanyalah para malaikat. Nabi Muhammad s.a.w dan pewaris perjuangan baginda s.a.w perlu bergerak dan bertindak di dalam sempadan kemanusiaan agar orang ramai boleh mengikuti mereka. Orang kerohanian yang kembali kepada kesedaran kemanusiaan akan bergerak sebagai manusia biasa juga. Mungkin ada perkara yang luar biasa keluar daripada mereka. Itu adalah sebagai anugerah Tuhan kepada mereka. Perkara tersebut tidak boleh dipandang sebagai identiti mereka.

Ahli hakikat yang kembali kepada kesedaran biasa akan hidup seperti manusia lain juga. Pekerjaan utama mereka adalah menyeru umat manusia ke jalan Tuhan. Di samping itu mereka juga melakukan apa yang layak dilakukan sebagai manusia. Mereka membuat pekerjaan menurut bakat dan keupayaan yang Tuhan kurniakan kepada mereka. Sebahagian daripada mereka menceburkan diri ke dalam bidang perdagangan untuk menjadi model kepada pedagang-pedagang yang lain. Ada yang menjadi pengusaha, nelayan, pemandu teksi, petani dan lain-lain. Golongan pilihan itu menyerap ke dalam masyarakat melalui semua bidang kehidupan agar umat manusia boleh menguruskan setiap bidang dengan mencontohi model yang Tuhan hantar kepada mereka. Manusia pilihan itu akan meneruskan kehidupan masing-masing menurut warna pencelupan pilihan Tuhan, sehinggalah mereka kembali kepada Tuhan dalam keadaan reda meredai.

Kami datang dari Allah dan kepada Allah kami kembali. Di awal perjalanan kerohanian seseorang itu merasakan kehadiran Pembimbing Ghaib yang mengiringinya. Hadrat (kehadiran) tersebut sentiasa bersama-samanya sehingga dia sampai ke gerbang penetapan. Selama ‘dikuasai' oleh Hadrat tersebut si hamba berada dalam suasana tidak bernama atau tidak ada identiti sendiri. Apa juga keberkatan yang diperolehinya diisbatkan kepada keberkatan Hadrat tersebut. Segala pengetahuannya diisbatkan kepada pengetahuan Hadrat berkenaan. Si hamba tidak mengakui sesuatu kebaikan itu sebagai kebaikan dirinya. Semuanya diisbatkan kepada Hadrat yang bersamanya.

Penguasaan Hadrat ghaib itu menjadi jazbah yang paling kuat menguasai seseorang yang berjalan pada jalan kerohanian. Hadrat inilah yang paling akhir berpisah dengan si hamba berbanding dengan semua pengalaman jazbah yang lain. Apabila si hamba masuk ke dalam kota penetapan, secara tiba-tiba sahaja si hamba menyedari Hadrat ghaib itu sudah kembali ke Hadrat Ilahi. Tugas Hadrat ghaib itu sebagai Pembimbing dan Protokol sudah selesai. Hadrat tersebut telah melaksanakan tugasnya membentuk si hamba itu menurut kehendak Allah s.w.t. Bila si hamba sudah boleh menguruskan dirinya sendiri Hadrat tersebut pun kembali kepada kedudukan urusan Allah s.w.t. Si hamba telah kembali kepada dirinya dengan lengkap dan sempurna. Dia sudah boleh memakai identitinya semula. Dia kembali kepada namanya yang sekian lama terpisah daripadanya. Peringkat perpisahan dengan Hadrat ghaib dan bersatu dengan nama dan identiti sendiri merupakan penetapan yang sebenarnya. Ia dinamakan makam penetapan yang teguh. Si hamba kembali kepada kedudukan sebagai satu individu yang memikul amanah dan ada tugas yang perlu dilaksanakannya. Pada tahap ini baharulah bakat khalifah yang dikenalinya pada peringkat Hakikat Khalifah dahulu menjadi bakat dirinya. Khalifah Allah berurusan secara langsung dengan Allah s.w.t, tidak melalui perantaraan yang nyata atau yang ghaib, tidak ada tawasul. Orang yang masih menggunakan cara tawasul menandakan kesan mabuk belum lagi habis daripadanya.

Khalifah pada makam penetapan bukan seperti khalifah pada makam hakikat. Khalifah Allah pada makam penetapan berpijak pada bumi nyata, tidak lagi ‘mencari-cari' atau ‘memandang ke atas' atau ‘menantikan sesuatu.' Khalifah yang sudah menetap adalah golongan salihin dan siddiqin. Benar kedudukan syariat, benar kedudukan tarekat, benar kedudukan hakikat dan benar kedudukan makrifat pada satu kedudukan iaitu syariat yang lengkap. Inilah makam khalifah Allah yang menjadi pewaris nabi.

Khalifah Allah menguruskan daerah kekhalifahannya iaitu dirinya sendiri dan bidang pengkhususannya. Bidangnya yang paling penting adalah berdakwah ke jalan Allah. Bagi melakukan semua itu dia kembali ke dunia, menghadapi dunia yang diporak-perandakan oleh syaitan dan hawa nafsu. Dalam melaksanakan tugasnya dia dijaga oleh Allah s.w.t. Apabila Allah s.w.t menentukannya menguruskan hal-ehwal makhluk maka diberinya petunjuk dan kekuatan dalam melaksanakan tugasnya.

Allah s.w.t kurniakan kepada para khalifah-Nya kurniaan yang tidak rosak binasa. Mereka diberi kebahagiaan yang tidak ada lagi kesusahan dan kesedihan. Nasib mereka menjadi baik dan tidak buruk lagi. Apa sahaja perkara keduniaan yang sampai kepada mereka sudah ditapis dan mereka menerima yang baik-baik sahaja. Kedudukan mereka akan ditinggikan dan tidak rendah lagi. Mereka menjadi pusat pertemuan orang ramai. Melalui sembahyang mereka kesulitan orang ramai dapat diselesaikan. Melalui doa mereka bala terangkat daripada orang ramai. Mereka menjadi pengawal kerohanian kepada orang-orang yang di dalam daerah kekhalifahan mereka. Apabila mereka sudah bersesuaian dengan Allah s.w.t dan perintah-Nya maka seluruh alam tunduk kepada mereka dalam keadaan merendah diri. Apabila mereka teguh menjaga diri daripada perkara yang haram, maka yang haram akan lari daripada mereka walau ke mana sahaja mereka pergi. Khalifah Allah adalah mereka yang kuat memerhatikan larangan Allah s.w.t, menjaga diri daripada terjerumus ke dalam perkara yang tidak disukai oleh Allah s.w.t dan mereka sangat bersegera di dalam melakukan ketaatan kepada-Nya.

Apa sahaja yang dari Allah s.w.t adalah nur. Malaikat yang bertugas menjalankan perintah Allah s.w.t adalah nur. Khalifah Allah diselimuti oleh nur suci. Nur pada matanya, nur pada telinganya, nur pada lidahnya, nur di kanannya, nur di kirinya, nur di hadapannya, nur di belakangnya dan seluruh maujudnya diselimuti oleh nur.

Takutlah kamu firasat orang mukmin kerana mereka melihat dengan nur Ilahi. ( Maksud Hadis ) Si hamba yang dibaluti oleh nur tidak dibahayakan oleh kegelapan. Ilmunya adalah nur yang dari Allah s.w.t. Nur membuka tutupan sehingga yang benar nyata kebenarannya dan yang salah tidak dapat berselindung. Tidak ada lagi syak dan wasangka. Nur Ilmu menghapuskan kesamaran dan teka teki. Segala perkara adalah jelas dan nyata. Yang jelas dan nyata itu adalah kebenaran al-Quran dan as-Sunah.

Si hamba yang telah kembali kepada kesedaran kemanusiaan dan berupaya menguruskan hal-ehwal dirinya dan orang lain, diizinkan menikmati sepenuhnya bahagian yang baik-baik yang diperuntukkan kepadanya. Bahagian tersebut telah dipegang oleh Pemegang Amanah iaitu al-Waliyyu (Yang Memelihara) selama si hamba itu di dalam perjalanan demi kebaikan si hamba itu sendiri. Bila keupayaan khalifah dikurniakan kepadanya bahagiannya juga dikembalikan. Apa yang menjadi bahagiannya tidak dapat diambil oleh orang lain.

Ketika berjalan kepada Allah s.w.t dahulu diserahkannya semua hak dirinya kepada Allah s.w.t. Diserahkannya dirinya, namanya, sifatnya, bahagiannya dan sekalian makhluk kepada Allah s.w.t. Kini Allah s.w.t mengembalikan semuanya itu kepadanya. Dirinya, namanya, sifatnya dan bahagiannya kembali kepadanya. Makhluk juga kembali kepadanya. Dia menjadi pengurus terhadap apa yang Allah s.w.t kembalikan kepadanya. Pada zahirnya dia yang menguruskan tetapi pada hakikatnya Allah s.w.t, al-Waliyyu, yang menguruskan hal-ehwal si hamba itu. Hamba yang diuruskan oleh Allah s.w.t itulah yang dimaksudkan sebagai wali Allah dan khalifah Allah.

Si hamba yang sampai kepada makam penetapan menjadikan seluruh kehidupan ini sebagai ibadat. Lidahnya basah dengan zikir. Dia mengucapkan zikir yang biasa diucapkan oleh orang Islam biasa dan hatinya terikat dengan masjid. Dia juga berbakti kepada orang tuanya selaku anak yang salih. Allah s.w.t kurniakan kedudukan yang tinggi lagi mulia kepada hamba-Nya yang sentiasa ingat kepada-Nya, yang hatinya terikat dengan masjid dan yang berbakti kepada orang tuanya. Kedudukannya satu tingkat di bawah kedudukan nabi-nabi. Hamba yang demikian diliputi oleh Nur Arasy, sebagaimana yang telah disaksikan oleh Rasulullah s.a.w sewaktu baginda s.a.w Mikraj melepasi Sidratul Muntaha. Maha Suci Allah s.w.t yang menciptakan satu golongan daripada umat manusia sebagai hamba-Nya yang pilihan untuk Dia taburkan rahmat-Nya kepada seluruh umat manusia, sekalian makhluk-Nya dan sekalian alam ciptaan-Nya.

Post a Comment