Suatu hari Raja Muzaffar yang masih kanak-kanak bertanya kepada bondanya tentang Allah.
“Bonda.. Dimana Allah dan bolehkah anakanda melihatNya?”
“Oh.. Allah itu di Arasy wahai anakanda dan anakanda tidak dapat
melihatNya kerana Allah berada nun jauh diatas 7 petala langit.
Sedangkan langit kedua pun manusia tidak nampak bagaimana hal keadaan
zatnya lantas bagaimana mungkin anakanda akan dapat melihat Allah yang
berada di Arasy yang terletak lebih atas dan jauh daripada 7 petala
langit?”
“Oh begitu… Bagaimana dengan dalilnya bonda?”
“Dalilnya begini.. “Sesungguhnya Tuhan kamu ialah Allah Yang
menciptakan langit dan bumi dalam enam masa, kemudian Dia bersemayam di
atas Arasy untuk mengatur segala urusan”.. dari surah Yunus ayat ke 3.”
Maka giranglah hati Raja Muzaffar kerana telah mendapat jawapan
daripada persoalan yang selama ini sentiasa semak difikirannya. Masa pun
berlalu.. hari berganti minggu, minggu
berganti bulan dan bulan berganti tahun, maka telah remajalah Raja
Muzaffar. Suatu hari Raja Muzaffar diperintahkan ayahandanya supaya
belajar ilmu-ilmu agama dari Syeikh Abdullah selaku Mufti di negeri
ayahandanya itu. Maka tidak sabar-sabarnya lagi Raja Muzaffar mahu
berguru dengan Syeikh Abdullah sementelah pelajaran agama adalah yang
paling diminatinya.
Suatu hari sambil duduk-duduk santai dengan Syeikh Abdullah tiba-tiba
Raja Muzaffar ditanyai Syeikh Abdullah dengan 2 persoalan yang tidak
asing baginya.
“Wahai anakanda Putera Raja.. Dimana Allah dan bolehkah anakanda Putera Raja melihatNya?”
Sambil tersenyum Raja Muzaffar menjawab sebagaimana yang telah diajarkan bondanya dahulu.
“Allah itu di Arasy wahai Syeikh Guru dan beta tidak boleh melihatNya kerana Allah berada nun jauh diatas 7 petala langit.”
Tersenyum kecil Syeikh Abdullah mendengar jawapan muridnya itu dan
sejenak selepas menghela nafasnya Syeikh Abdullah lalu bersuara..
“Begini anakanda Putera Raja… Allah itu bukannya makhluk seperti kita
lantaran itu Allah tidak seperti kita. Apa sahaja hukum yang terjadi
pada makhluk tidak berlaku seperti itu atas Allah. Oleh itu Allah tidak
bertempat kerana bertempat itu hukum bagi makhluk.”
“Lantas dimana Allah itu wahai Syeikh Guru?”
“Allah itu tidak bertempat kerana Dia bersifat qiammuhu binafsihi yang
bermaksud Allah tidak berhajat pada sesuatu zat lain untuk ditempati.
Jika kita mengatakan Allah berhajat pada sesuatu zat lain untuk
ditempati maka ketika itu kita telah menyerupakan Allah dengan keadaan
makhluk. Ketahuilah, Allah tidak serupa dengan makhluk berdasarkan
kepada dalil dari surah asy-Syuura ayat 11 yang bermaksud “Dia tidak menyerupai segala sesuatu.”
Allah tidak berdiam di Arasy kerana Arasy itu adalah makhluk. Bagaimana
mungkin makhluk dapat menanggung zat Allah sedang bukit dihadapan Nabi
Musa pun hancur kerana tidak dapat menanggung pentajalian Allah.”
Raja Muzaffar mengangguk-anggukkan kepalanya tanda faham. Kemudian Syeikh Abdullah menambah..
“Berkenaan tentang anakanda Putera Raja tidak boleh melihat Allah itu
adalah betul namun bukanlah kerana Allah itu jauh maka anakanda Putera
Raja tidak boleh melihatNya.”
“Jika bukan begitu lantas bagaimana Syeikh Guru?” Tanya Raja Muzaffar beria-ia ingin tahu.
“Sebenarnya kita tidak dapat melihat Allah bukanlah kerana faktor
jarak tetapi kerana keterbatasan kemampuan penglihatan mata manusia yang
tidak mampu melihat zatNya. Ini bersesuai dengan firman Allah yang
bermaksud “Dia tidak dapat dicapai oleh penglihatan mata, sedang Dia
dapat melihat segala penglihatan itu dan Dialah Yang Maha Halus lagi
Maha Mengetahui.”.. dari surah al-An’am ayat 103.”
Terdiam Raja Muzaffar mendengar hujah gurunya itu. Barulah beliau
sedar bahawa apa yang menjadi pegangannya selama hari ini adalah salah.
Pegangan yang mengatakan bahawa Allah itu di Arasy dan Allah tidak boleh
dilihat kerana faktor jarak adalah satu kesilapan. Huraian daripada
gurunya melalui ilmu Kalam membuatkan Raja Muzaffar begitu kagum dengan
kekuasaan akal yang dapat menghuraikan segala-galanya tentang Tuhan.
Bermula dari hari itu Raja Muzaffar berpegang dengan hujah gurunya
bahawa Allah itu tidak bertempat dan manusia tidak boleh melihat Allah
kerana keterbatasan kemampuan penglihatan mata manusia. Akhirnya dengan
berkat ketekunan dan kesungguhan, Raja Muzaffar telah berjaya menguasai
ilmu-ilmu ketuhanan menurut peraturan ilmu Kalam sebagaimana yang
diajarkan oleh Syeikh Abdullah hingga mahir.
Masa terus berjalan dan kini Raja Muzaffar telah dewasa. Oleh kerana
begitu minatnya yang mendalam tentang ilmu-ilmu ketuhanan maka beliau
meminta izin daripada ayahandanya untuk menperdalamkan lagi ilmu
pengetahuannya dengan belajar dari guru-guru yang berada diluar istana
sementelah Syeikh Abdullah telah meninggal dunia. Ayahandanya memberi
izin lalu tanpa berlengah Raja Muzaffar menemui sahabat-sahabat sealiran
almarhum Syeikh Gurunya untuk melanjutkan pelajaran.
Raja Muzaffar mempunyai sikap yang pelik. Saban hari apabila beliau
melalui pekan-pekan kecil untuk sampai ke rumah guru-gurunya, beliau
akan bertanya kepada setiap orang yang ditemuinya dengan soalan yang
pernah ditanya kepada bondanya iaitu dimana Allah dan bolehkah manusia
melihatNya?. Bagi sesiapa yang menjawab soalannya itu sebagaimana yang
pernah dijawab oleh bondanya maka beliau akan membetulkan kefahaman
orang itu dengan hujah almarhum gurunya Syeikh Abdullah. Jika orang itu
tidak mahu tunduk dengan hujahnya maka orang itu akan dipukulnya sebelum
diusir dari negerinya itu. Begitulah sikap Raja Muzaffar setiap hari
sehingga pada suatu hari beliau bertemu dengan seorang tua yang sedang
bertungkus-lumus menyediakan air minuman untuk diberi minum kepada orang
yang lalu-lalang disebuah pekan tanpa mengambil sebarang upah. Melihat
kelakuan pelik orang tua itu lantas Raja Muzaffar mendekatinya.
“Hei orang tua.. mengapa kamu tidak mengambil upah atas usahamu itu?”
Tanya Raja Muzaffar tegas. Orang tua yang sedari tadi begitu khusyuk
mengagih-agihkan minumannya itu terkejut dengan pertanyaan Raja Muzaffar
lalu meminta Raja Muzaffar memperkenalkan dirinya.
“Siapakah tuan ini?” Tanya si Tua.
“Beta adalah Putera Raja negeri ini!” Jawab Raja Muzaffar tegas.
“Oh kalau begitu tuan ini tentu Raja Muzaffar yang terkenal dengan
ketinggian ilmu ketuhanan itu. Tapi sayang, tuan hanya tahu ilmu tentang
Allah tetapi tuan sendiri belum mengenal Allah. Jika tuan telah
mengenal Allah sudah pasti tuan tidak akan bertanya kepada saya soalan
tuan tadi.”
Terkebil-kebil mata Raja Muzaffar mendengar kata-kata si Tua itu.
Hatinya terpesona dengan ungkapan ‘mengenal Allah’ yang diucapkan orang
tua itu. Lantas beliau bertanya kepada orang tua itu.
“Kemudian apa bezanya antara ‘tahu’ dengan ‘kenal’?”
Dengan tenang si Tua itu menjawab..
“Ibarat seseorang yang datang kepada tuan lantas menceritakan kepada
tuan tentang ciri-ciri buah nangka tanpa menunjukkan zat buah nangka,
maka ini mertabat ‘tahu’ kerana ianya hanya sekadar maklumat dan orang
yang berada pada mertabat ini mungkin akan menyangka bahawa buah
cempedak itu adalah nangka kerana ciri-cirinya seakan sama. Berbanding
seseorang yang datang kepada tuan lantas menghulurkan sebiji buah
nangka, maka ini mertabat ‘kenal’ kerana zatnya terus dapat ditangkap
dengan penglihatan mata dan orang yang berada pada mertabat ini pasti
dapat mengenal mana cempedak dan mana nangka dengan tepat.”
Raja Muzaffar mendengar dengan teliti huraian si Tua itu. Diam-diam,
hatinya membenarkan apa yang diperkatakan si Tua itu. Kemudian terlintas
dihatinya untuk bertanyakan soalan yang lazim ditanyanya kepada orang
ramai.
“Kalau begitu wahai orang tua silalah jawab persoalan beta ini.. Dimana Allah dan bolehkah manusia melihatNya?”
“Allah berada dimana-mana sahaja dan manusia boleh melihatNya.” Jawab si Tua dengan tenang.
Tercengang Raja Muzaffar mendengar jawapan orang tua itu. Seketika
kemudian terus saja orang tua itu dipukulnya sehingga jatuh tersungkur.
Melihat orang tua itu tidak cuba mengelak pukulannya bahkan langsung
tidak menunjukkan reaksi takut maka Raja Muzaffar pun lantas bertanya..
“Kenapa kamu tidak mengelak pukulan beta wahai orang tua?”
“Bukankah tadi sudah saya bilang.. tuan ini hanya orang yang tahu
tentang Allah tetapi bukannya orang yang benar-benar mengenal Allah.”
Terdiam Raja Muzaffar mendengar kata-kata si Tua itu. Kemudian beliau
menenangkan dirinya lantas bersegera duduk diatas tanah dihadapan orang
tua itu.
“Baiklah orang tua. Silalah huraikan jawapan kamu tadi sebab beta
berpegang bahawa Allah itu tidak bertempat dan manusia tidak boleh
melihat Allah.”
“Allah itu tidak bertempat adalah menurut pandangan hukum akal sahaja
sedang pada hakikatnya tidak begitu.” Ujar orang tua itu sambil
mengesat bucu bibirnya yang berdarah. Kemudian beliau menyambung..
“Bukankah Allah itu wujudNya esa?”
“Benar.” Jawab Raja Muzaffar.
“Jika Allah itu wujudNya esa maka sudah barang tentu tidak ada wujud sesuatu bersertaNya.”
“Benar.” Jawab Raja Muzaffar.
“Lantas bagaimanakah kedudukan wujud alam ini jika Allah itu diyakini
wujud tanpa ada selain zat yang wujud bersertaNya dengan pandangan mata
hati?”
Raja Muzaffar memejamkan matanya rapat-rapat lantas dikerahkan
pandangan mata hatinya untuk memahami persoalan yang ditanyai orang tua
itu. Tiba-tiba akalnya dapat menangkap dan memahami hakikat alam ini
jika ianya merujuk kepada ruang lingkup keesaan wujud Allah. Lantas
beliau membuat satu kesimpulan..
“Jika dipandang dari sudut esanya wujud Allah maka alam ini tidak
lain melainkan diriNya sendiri… Tiba-tiba sahaja perkataan itu terpacul
keluar dari bibirnya. Terkebil-kebil matanya apabila mendengar ucapannya
sendiri. Maka lidahnya kelu dan akalnya lumpuh. Terkejut. Tergamam.
Terbungkam.
“Jadi kalau begitu ketika tuan memandang alam ini, siapa yang tuan
pandang pada hakikatnya?” Pantas soalan itu diajukan kepada Raja
Muzaffar.
“Pada hakikatnya beta memandang Allah!”
“Nah kalau begitu bukankah Allah ada berfirman yang bermaksud “Dimana sahaja kamu menghadap, disitulah wajah Allah” dari surah al Baqarah ayat 115 dan dalam surah al Hadiid ayat 3 yang bermaksud “Dialah yang awal, yang akhir, yang zahir dan yang batin.”
Kemudian orang tua itu bertanya lagi..
“Dan sekarang dapat atau tidak tuan melihat Allah ketika ini”
“Ya.. beta menyaksikan dengan ainul basyiroh.”
Perlahan-lahan berjujuran air mata dari bucu mata Raja Muzaffar.
Beliau menahan sebak kerana sekarang beliau sudah faham kenapa orang tua
itu tidak mengambil upah atas usahanya dan tidak mengelak ketika
dipukul. Semuanya kerana yang dipandangnya adalah pentajallian Allah.
Dalam hati perlahan-lahan beliau berkata.. “Memang benar sesungguhnya
pada sudut ini, Allah berada dimana-mana sahaja dan manusia boleh
melihat Allah.”
“Makanya wahai Putera Raja.. inilah yang dinamai sebagai ilmu hakikat.”
Semenjak hari itu, Raja Muzaffar terus mendampingi orang tua itu
untuk mempelajari lebih dalam selok-belok ilmu hakikat hingga diangkat
beliau oleh gurunya menduduki kedudukan Syeikh ilmu hakikat. Demi
mempraktikkan ilmu-ilmu hakikat yang halus, Raja Muzaffar telah menjadi
seorang ahli ibadah yang alim. Beliau tidak lagi berpegang dengan
fahaman almarhum gurunya iaitu Syeikh Abdullah kerana baginya jalan yang
boleh membuatkan seseorang itu dapat mengenal Allah dengan haqqul yaqin
ialah dengan ilmu hakikat. Beliau telah mengenepikan duduk didalam
peraturan hukum akal sama sekali dan mulai duduk didalam peraturan
musyahadah. Bagi beliau, ilmu Kalam yang dituntutnya selama ini adalah
semata-mata salah.
Setelah kemangkatan ayahandanya maka Raja Muzaffar ditabalkan menjadi
sultan dinegerinya dan sekarang beliau menyandang gelaran Sultan
Muzaffar Syah pada usia 50 tahun. Beliau memerintah negerinya dengan
adil dan saksama namun sikap peliknya yang dahulu masih diteruskannya.
Dimana sahaja beliau pergi beliau tetap akan bertanyakan soalannya yang
lazim itu. Jika orang yang ditanya tidak dapat menjawab maka akan
diajarkan jawabannya menurut ilmu hakikat dan jika orang itu membangkang
akan dihukum bunuh. Akhirnya kelaziman Sultan Muzaffar Syah ini
membuatkan seluruh rakyat jelatanya menganut fahaman hakikat. Justeru
itu rakyat jelata dinegerinya hidup aman dan makmur.
Suatu petang Sultan Muzaffar Syah yang terkenal sebagai Mursyid ilmu
hakikat itu berjalan-jalan disebuah padang rumput yang luas dengan
ditemani para pembesar istana. Pandangannya tertarik pada gelagat
seorang pemuda pengembala kambing dalam lingkungan usia 30an yang sedang
berusaha menghalau seekor serigala yang cuba memakan kambing
gembalaannya. Baginda mendatangi pemuda gembala itu. Kelihatan pemuda
itu hanya memakai pakaian yang diperbuat daripada guni dan tidak
mempunyai kasut sebagai alas kaki. Rambutnya kering berdebu, bibirnya
kering dan badannya kurus.
“Wahai pemuda.. kenapa kamu menghalau serigala itu dari memakan
kambing itu, tidakkah kamu menyaksikan hakikat serigala itu? Maka
biarkan sahaja Allah bertindak menurut kemahuanNya.”
Mendengar kata-kata Sultan Muzaffar Syah itu sekonyong-konyong pemuda
gembala itu menggenggam pasir lantas dilemparkannya pasir itu ke muka
Sultan Muzaffar Syah. Kemudian pemuda gembala itu membongkok untuk
mengambil segenggam pasir lagi lalu dilemparkan lagi ke muka Sultan
Muzaffar Syah. Sultan Muzaffar Syah hanya tercegat sahaja mungkin
terkejut dengan tindakkan pemuda gembala itu. Pemuda gembala itu terus
mahu mengambil segenggam pasir lagi dan melihat itu seorang pembesar
istana yang berada disitu terus memukul pemuda gembala itu hingga beliau
pengsan.
Apabila sedar dari pengsan, pemuda gembala itu mendapati tangan dan
lehernya telah dipasung dengan pasungan kayu didalam sebuah penjara.
Tidak lama kemudian datang dua orang pengawal istana dengan kasar
merenggut badannya dan membawanya ke suatu tempat yang amat asing
baginya. Tidak lama berjalan akhirnya mereka sampai dihadapan
singgahsana Sultan Muzaffar Syah.
“Mengapa kamu melempari muka beta dengan pasir?” Tenang sahaja pertanyaan Sultan Muzaffar Syah.
“Kerana tuanku mengatakan bahawa serigala itu adalah Allah yakni Tuhan saya.”
“Bukankah hakikat serigala itu sememangnya begitu?” Tanya Sultan Muzaffar Syah hairan.
“Nampaknya dakwaan yang mengatakan bahawa tuanku ini adalah seorang yang mengenal Allah adalah bohong semata-mata.”
“Kenapa kamu berkata begitu?”
“Sebab orang yang sudah sempurna mengenal Allah pasti merindui untuk ‘menemui’ Allah.”
Setelah 30 tahun baru hari ini hati Sultan Muzaffar Syah terpesona
lagi apabila mendengar ungkapan ‘menemui Allah’ yang diucapkan oleh
pemuda gembala itu. Dahulu hatinya pernah terpesona dengan ungkapan
‘mengenal Allah’. Sejurus itu juga Sultan Muzaffar Syah memerintahkan
agar pasung kayu yang dikenakan pada pemuda gembala itu ditanggalkan.
“Lantas apa utamanya ‘bertemu’ berbanding ‘kenal’?”
Tanya Sutan Muzaffar Syah.
“Adakah tuanku mengenali sifat-sifat Rasulullah?”
Tanya pemuda gembala itu tiba-tiba..
“Ya, beta kenal akan sifat-sifat Rasulullah.”
“Lantas apa keinginan tuanku terhadap Rasulullah?”
“Semestinyalah beta mahu dan rindu untuk menemuinya kerana baginda adalah kekasih Allah!”
“Nah begitulah… Orang yang sempurna pengenalannya terhadap sesuatu
pasti terbit rasa ingin bertemu dengan sesuatu yang telah dikenalinya
itu dan bukannya hanya sekadar berputar-putar didaerah ‘mengenal’
semata-mata.”
Tiba-tiba sahaja Sultan Muzaffar Syah berteriak kuat dengan menyebut
perkataan ‘Allahu Akbar’ sekuat-kuat hatinya lalu baginda jatuh pengsan.
Tidak lama kemudian setelah wajahnya disapukan dengan air sejuk maka
baginda kembali sedar. Sultan Muzaffar Syah terus menangis teresak-esak
hingga jubahnya dibasahi dengan air matanya. Baginda memuhassabah
dirinya.. “Memang.. memang selama ini beta mengenali Allah melalui ilmu
hakikat tetapi tidak pernah hadir walau sekelumit rasa untuk bertemu
denganNya. Rupa-rupanya ilmu hakikat yang beta pegangi selama ini juga
salah sepertimana ilmu bonda dan ilmu Syeikh Abdullah”.. bisik hatinya.
Kemudian terlintas difikiran Sultan Muzaffar Syah untuk menanyakan
soalan lazimnya kepada pemuda gembala itu.
“Kalau begitu wahai orang muda, silalah jawab persoalan beta ini.. Dimana Allah?”
Dengan tenang pemuda gembala itu menjawab..
“Allah berada dimana Dia berada sekarang.”
“Kalau begitu, dimana Allah sekarang?
“Sekarang Allah berada dimana Dia berada dahulu.”
“Dimana Allah berada dahulu dan sekarang?”
“Dahulu dan sekarang Dia berada ditempat yang hanya Dia sahaja yang ketahui.”
“Dimana tempat itu?”
“Didalam pengetahuan ilmu Allah.”
Sultan Muzaffar Syah terdiam sebentar sambil keningnya berkerut
memikirkan jawapan yang diberi pemuda gembala itu. Kemudian baginda
meneruskan pertanyaannya lagi.
“Bolehkah manusia melihat Allah?”
“Kunhi zatNya tidak boleh dicapai dengan pandangan mata kepala dan pandangan hati.”
“Sila perjelaskan lagi wahai anak muda.” Pinta Sultan Muzaffar Syah.
“Begini tuanku.. adapun jawapan yang diberikan oleh bonda tuanku itu
diatas soalan lazim yang tuanku berikan itu adalah sebenarnya betul
menurut tahapan akal tuanku yang ketika itu dinilai masih kanak-kanak.
Adapun jawapan yang diberikan oleh Syeikh Abdullah itu juga betul jika
dinilai dari sudut hukum akal. Adapun jawapan yang diberikan oleh Syeikh
Tua itu juga betul jika dinilai dari sudut pengamalan musyahadah
terhadap ilmu Hakikat. Begitu jugalah dengan jawapan yang saya berikan
juga betul jika dinilai dari sudut ilmu Ma’rifat. Tiada yang salah cuma
ilmu itu bertahap-tahap dan tuanku telah pun melalui tahapan-tahapan
itu. Dari tahapan jahil (ilmu bonda) ke tahapan awam (ilmu Kalam)
kemudian ke tahapan khusus (ilmu Hakikat) dan akhir sekali ke tahap
khawasul khawas (ilmu Ma’rifat).”
Kemudian pemuda gembala itu terus menyambung kata-katanya..
“Jika ilmu Hakikat itu jalan fana kerana menilik kepada zat Allah
maka ilmu Ma’rifat pula jalan baqo’ kerana menilik terus kepada Kunhi
zat Allah. Maka jawapan bagi persoalan tuanku itu secara yang dapat saya
simpulkan ialah Tiada yang tahu dimana Allah melainkan Allah dan tiada
sesiapa yang dapat melihat Allah melainkan diriNya sendiri.”
Sultan Muzaffar Syah mengangguk-anggukkan kepalanya tanda faham.
“Jadi bagaimana hendak sampai ke tahap mengenal Allah dengan sempurna sehingga terbit rasa ingin untuk menemuiNya?”
“Jangan mengenal Allah dengan akal sebaliknya mengenal Allah dengan Allah.”
“Kemudian, apakah cara-caranya untuk dapat bertemu dengan Allah?”
“Sebagaimana firman Allah yang bermaksud “.. Barangsiapa
mengharap pertemuan dengan Tuhannya maka hendaklah dia mengerjakan
amalan soleh dan janganlah dia mempersekutukan Tuhannya dalam beribadat
kepadanya”.. dari surah al Kahfi ayat 110.”
Mendengar penjelasan daripada pemuda gembala itu hati Sultan Muzaffar
Syah menjadi tenang dan akhirnya baginda diterima menjadi murid si
pemuda gembala itu. Kerana kesungguhan yang luarbiasa dalam menuntut
ilmu Ma’rifat maka baginda mahsyur terkenal sebagai seorang sultan yang
arifbillah lagi zuhud dan warak. Kemudian rakyatnya dibiarkan bebas
untuk berpegang pada mana-mana fahaman pun asalkan ajarannya masih
didalam ruang lingkup yang mengikuti pegangan Ahlussunnah wal Jamaah.
Dan sekarang pada usia 70 tahun barulah Sultan Muzaffar Syah sedar dan
faham bahawa untuk memahami tentang Allah maka seseorang itu harus
melalui tahapan-tahapan yang tertentu sebelum seseorang itu layak
dinobatkan sebagai arifbillah. Baginya samada ilmu Kalam, ilmu Hakikat
atau ilmu Ma’rifat maka kesemuanya adalah sama penting untuk dipelajari
bagi mewujudkan kesempurnaan untuk mencapai kedudukan Insan Kamil yang
Ma’rifatullah.
Kini Sultan Muzaffar Syah sudah memahami bagaimana rasanya rindu
kepada Allah dan bagaimana rasanya benar-benar tidak sabar untuk bertemu
Allah. Sejak semalam mulutnya tidak henti-henti asyik mengucapkan
kalimah Allah..Allah..Allah dan kadang-kadang terlihat deruan air mata
jernih mengalir perlahan dipipinya sewaktu dipembaringan. Perlahan-lahan
pemuda gembala menghampiri Sultan Muzaffar Syah yang sejak 20 tahun
lalu tinggal bersama dengannya dirumah usangnya lantas meletakkan kepala
muridnya itu diribaan silanya dengan linangan air mata. Kini nafasnya
mulai tersekat-sekat dan melihat itu, pemuda gembala merapatkan bibirnya
ke telinga Sultan Muzaffar Syah lantas mentalqinkan baginda dengan dua
kalimah syahadah seraya diikuti baginda dengan senyuman. Sejurus
kemudian Sultan muzaffar Syah menghembuskan nafasnya yang terakhir.
Suasana hening… pemuda gembala menunduk sahaja dan sebentar kemudian dia
berkata..
“Wahai alangkah beruntungnya.. sekarang tuanku benar-benar telah
menemui Allah dan dapat mengenalNya dengan sebenar-benar kenal. Wahai
Allah, masih belum layakkah untuk aku bertemu denganMu.. aku mencemburui
Sultan Muzaffar Syah ini maka jemputlah aku menghadapMu Ya Allah…”.
Sebentar kemudian pemuda gembala itu pun turut rebah dan menghembuskan
nafasnya yang terakhir. Suasana kembali hening……
MENGENAL DIRI DI HADAPAN TUHAN NYA : Lir-ilir, Lir-ilir, Tandure wus sumilir, Tak ijo royo-royo tak senggo temanten anyar, Cah angon-cah angon penekno blimbing kuwi, Lunyu-lunyu yo penekno kanggo mbasuh dodotiro, Dodotiro-dodotiro, kumitir bedhah ing pinggir, Dondomono jlumatono kanggo sebo mengko sore, Mumpung padhang rembulane, mumpung jembar kalangane, Yo surako… surak hiyo. . .
Labels
KITAB
(58)
KITAB ISTIQAL
(30)
RAHASIA MAKRIFATULLAH
(26)
SYEH SITI JENAR
(22)
HAKEKAT
(17)
Al muntahi
(15)
Kitab Ta'limul Muta'alim
(15)
MISYAKAATUL ANWAR IMAM AL GHAZALI
(14)
GURU MURSYID
(12)
ULAMA BESAR INDONESIA
(12)
WALI SONGO
(11)
KITAB FUTUHAT AN-NAJHAH
(10)
MENGENAL BID'AH
(10)
PRO DAN KONTRA Yesus Bukan Tuhan
(10)
Di Manakah Allah??
(9)
Futuhat Al Makiyyah
(9)
Ibnu Araby Dalam Kitab Khatamul Auliya'
(9)
MAQAM MUSYAHADAH
(9)
Membongkar Kedok Sufi
(9)
kitab akhir zaman
(9)
Asas Tareqat
(7)
PERANG SALIB
(7)
Kitab Durun Nafis
(6)
DOWNLOAD
(5)
KITAB NASHOIHUL IBAD
(5)
KITAB RAHASIA APPONA KALI BARRU
(5)
Mukjizat Al-Qur'an
(5)
TAUHID MUFADDHAL
(5)
ADAB AS SULUK
(4)
RAHASIA
(4)
Mafahim Yajibu An Tushohhah
(3)
Asia
(1)
Government
(1)
Indonesia
(1)
Islam
(1)
Kali
(1)
Kata
(1)
Tasikmalaya
(1)
Wali
(1)
No comments:
Post a Comment