Friday, June 8, 2012

KAJIAN MA’RIFAT

AWAL AGAMA ADALAH MENGENAL ALLAH
Tiadalah sempurna agama kita melainkan kita melaksanakan Rukun Ihsan. Maka itu disebut “Awwaluddin Ma’rifaatullah” – Agama kita bermula hanya setelah menerima kurniaan Makrifat Allah, yakni sesudah tergabung Rukun Iman, Islam dan Ihsan seperti yang termaktub di dalam Hadith Jibrail. Maka bermula lah satu penghidupan yang didasari oleh HAKIKAT dan MAKRIFAT yang berkiblat kepada DZAT yang ESA (AHAD).
Untuk menjadi ‘Arifin Billah dan juga Ulil Albab’, perlulah kita mengenal dan memahami hakikat kejadian ALAM semesta kerana YANG ZOHIR itu juga ALLAH, sama seperti YANG BATIN. (sila rujuk Asma ul Husna dan Martabat 7). Maka untuk mencapai maksud ini, lebih mudah jika kita perhatikan diri kita sahaja kerana ia paling DEKAT LAGI ZOHIR dengan kita. Kerana itu disuruhnya kita mengenal DIRI jika ingin mengenal Allah. Perlu diingatkan bahawasanya keinginan kita itu sebenarnya datang dari ALLAH jua yang mengingini agar kita mengenal DIA. Keilmuan alam semesta akan datang jua kemudian dengan IZIN NYA. Para Arifin Billah menyatakan bahawasanya DIRI itu ialah ALAM KABIR (macro-cosmos), sementara alam semesta itu ialah ALAM SOGHIR (micro-cosmos).
Kaedah penerokaan diri dan alam semesta adalah menerusi zikir dan fikir. Skop zikir dan fikir ini seharusnya dilandasi oleh Al Quran dan Hadith Rasul, dan pengalaman peribadi. Apabila Allah mula mengangkat TABIR-TABIR NYA YANG MULIA, jangan pula kita lupa diri kerana ILMU ALLAH ini tiada tepinya. MAA SYAA ALLAH, DIA MAHA AGUNG, sekalian deria akan diangkat hijabnya mengikut JADUAL NYA dan kita mendapat kassyaf kerana ia adalah perlu untuk menerima semua pengetahuan yang telah diaturNYA di maqam HAKIKAT [sila rujuk Sifat 20].
Keikhlasan hati, maksud dan tujuan adalah teramat penting dan kritikal di dalam meneroka ALAM HAKIKAT. Ianya adalah satu-satunya Wasilah Diri untuk mendapat perlindungan dan RAHMAT Allah dari sekalian gangguan Iblis La’natullah. Untuk mendapat WASILAH RASULULLAH SAW, perbanyakkanlah berselawat kepada nya. Insya Allah, jika hati anda dicenderungkan kepada DIA YANG ESA, kamu akan dibimbing dan seterusnya diketemukan NYA akan AL-HAQ. Petanda besar yang menunjukkan kamu sedang dibimbing YANG MAHA ESA adalah apabila hati dan lidah kamu berada secara istiqomah di atas ZIKRULLAH, SELAWAT RASUL DAN ISTIGHFAR.
Ilmu Makrifat ini tidak dapat diluahkan sepenuhnya melalui kata-kata kerana dibimbangi akan menimbulkan fitnah dan sebenar-benar tiada huruf yang dapat menggambarkan keadaannya [Laisa kamithlihi syaiun]. AL-YAQIN hanya dapat dibenarkan oleh pengalaman DIRI SENDIRI. Kerana itu, Syaitan suka menimbulkan was-was dalam hati manusia. Dengan ZIKIR KHOFI, sekalian was-was, ketakutan dan sangka buruk akan lenyap insya ALLAH.
“HUWAL AWWALU WAL AAKHIR, WAZZHOHIRU WAL BAATHIN” Dia lah yang Awwal dan yang Akhir, dan yang Zohir dan yang Batin.
Sama ada kita ingat atau lalai, beriman atau kufur, bersolat atau bermaksiat, DIA tetap DIA – Maha Tinggi lagi Agung. Tidak menambah atau mengurang akan DIA oleh apa pun. Jika kafir sekalian makhluq, DIA tetap AGUNG. Itulah DZAT yang ESA lagi MUTLAQ. “Tidakkah kamu melihat burung yang terbang di udara, SIAPA YANG MENGANGKATNYA?
Bermula dari langkah pertama di dalam kesedaran mujahadah wa musyahadah akbar kita, sehingga ke akhir langkah di liang lahad, semuanya adalah atas KURNIA ILAHI semata-mata. Tiada AKU sepanjang perjalanan itu. Jika masih ada KE-AKU-AN, sudah pasti akan tersesat jalan dan tidak akan bertemu tempat yang di tuju. Dan kearifan kita tentang HAKIKAT ALLAH itu terserah kepada DZAT yang menamakan DIRINYA itu untuk menyingkap AL-HAQ seQADAR yang ditentukanNYA, tiadalah ikhtiar kita itu memberi bekas sebenarnya. Semuanya berdiri, duduk dan berbaringan di atas LA HAWLA WALAA QUWWATA ILLA BILLAH.
Dan apabila kita [RUH RABBANI] diizinNYA untuk menelusuri ALAM KEBENARAN itu, menjadilah kita seakan-akan pemerhati sahaja. Sesungguhnya kita telah DI SIFATI NYA. Inilah PAKAIAN kita. Dengan RAHMATNYA, sehingga ke alam BARZAKH jua kita akan menikmati KURNIA NYA, hidup di SISINYA dengan mendapat REZEQI insya ALLAH.
Rahsia ILAHI terkandung di dalam DIRI sehingga sekalian makhluq NYA diperintahkan supaya sujud kepada ADAM. “Ana a’lamu maa laa ta’lamuun” [AKU tahu apa yang kamu tidak ketahui]. Tetapi…..
Bal tu’thiruunal hayatad dunya. Wal aakhirotu khoirun wa abqaa” – Tetapi kamu (manusia) cintakan kehidupan di dunia [kehidupan nafsu ammarah] walhal akhirat [kehidupan nafsu mutmainnah] itu lebih baik dan kekal.
Walhamdulillah, Wasolawatu Wassalam ‘Ala Muhammad Wa Alihi Wa ‘Ibadillahis Solihin Ajmain.
Syahadad
Asyahadualla ilaaha illallah ini merupakan syahadat tauhid atau hakikat ketuhanan, iaitu  diri bathin manusia (Rohani)
Wa-asyhadu anna muhammadar rasulullah ini merupakan syahadat rasul atau hakikat kerasulan, iaitu  diri zahir manusia. (Jasmani).
Diri bathin (rohani) adalah sebenar-benarnya diri yang mengandungi,  Diri Rahasia Allah.
Untuk menyatakan Diri Rahasia Allah, adalah diri zahir manusia.
Sedangkan ….. perkataan Muhammad pada syahadad Rasul mengandungi erti, iaitu  diri zahir manusia,  yang di dalamya ada diri batin  yang menanggung Rahasia Allah.
Kejadian manusia adalah satu-satunya kejadian yang paling sempurna dan rapi, QS Al Mukminum 23:12,13,14: Dan sesungguhnya kami telah menciptakan manusia daripada tanah, kemudian kami jadikan sari tanah itu air mani yang terletak dalam tempat yang kokoh, Kemudian Kami jadikan air mani itu segumpal darah, lalu segumpal darah itu kami jadikan daging, dan segumpal daging Kami jadikan tulang belulang, kemudian tulang belulang itu Kami tutup dengan daging, sesudah itu Kami jadikan makhluk yang berbentuk lain, Maha Suci Allah pencipta yang paling baik.
Setelah jasad itu siap,  maka Allah meniupkan Ruhnya, QS Al As Sajdah 32:9: Setelah selesai bentuknya Aku ciptakan, maka Aku utus Ruhku ke dalamnya, maka dengan itulah ia melihat, bergerak dan berkuasa. Qs Hijr 15:29:Maka setelah Aku sempurnakan kejadiannya, maka Aku tiupkan Ruhku ke dalamnya, maka tunduklah kamu dengan bersujud.
Kemudian Allah meninggikan darajat manusia seperti firmannya   Q.S. At Tiin 95:4: Dan Kami tinggikan (muliakan) namamu.
Kemuliaan manusia karena manusialah yang sanggup menanggung Rahasia Allah Q.S. Al-Ahzab 33: 72: Sesungguhnya telah Kami kemukakan amanat kepada langit, bumi dan gunung-ganang lalu mereka enggan memikulnya dan takut untuk menerimanya, kemudian amanah itu dipikul oleh manusia.
Dan kerana  firman Allah dalam surah Al-Ahzab 33:72 inilah kita mengucapkan  syahadad:
Asyahadualla Ilaaha Illallah Wa Asyahadu Anna Muhammadar Rasulullah”
“Aku bersaksi tiada Tuhan yang disembah kecuali Allah dan Muhammad itu Rasullulah.”
Bahawa, kita bersaksi dengan diri kita sendiri bahwa tiada yang nyata pada diri kita sendiri hanya Allah semata, dengan tubuh zahir kita sebagai tempat menanggung Rahasia Allah, dan kita akan menjaganya (Rahsia ini) sehingga ia kembali ke asalnya.
(Perhatian: Jangan tersalah tafsir kerana ia boleh menyebabkan syirik dan kufur, dan jangan juga menunding jari, mintalah hidayah kepada Allah semoga diberikan pemahaman dalam perkara ini.)
MAKRIFAT TAUHID IMAN

Makrifat adalah nikmat yang teramat besar, bahkan kenikmatan syurga tiada sebanding dengan nikmat menatap wajah Allah secara langsung. Itulah puncak dari segala puncak kenikmatan dan kebahagiaan.
Rasulullah SAW  sendiri menjanjikan hal ini dan baginda pernah menyebut bahawa umatnya dapat melihat Allah SWT di saat fana  maupun jaga (sadar). KezahiraNya sangat nampak pada hamba. Hadis qudsi Al insanu syirri wa ana syirrohu (Adapun insan itu Rahasiaku Dan Aku pun Rahasianya).
Firman Allah: Kuciptakan Adam dan anak cucunya seperti rupaku (Khalakal insanu ala surati Rahman). Kesimpulannya insan itu terdiri daripada tiga unsur, iaitu Jasad, Ruh/Nyawa dan Allah. Maka dengan itu hiduplah hamba.
Adapun Jasad, Nyawa, dan Allah taala, bagaikan sesuatu  yang tidak dapat dipisahkan antara satu dengan yang lain. Umpama  langit, bumi, dan makhluk yang tidak dapat dipisahkan antara satu dengan yang lain. Bagaimanapun pandangan insan terhadap Tuhannya adalah berbeza-beza, mengikut tahap pencapaian ilmu masing-masing.
Pada pandangan amnya, Allah Taala itu satu, dan hamba menyembahNya bersama-sama dan beramai-ramai, tetapi sebenarnya  (hakikatnya) bukan begitu. Itu hanya sangkaan umum saja.  Dari segi makrifat  Allah SWT  itu Esa pada wujud hamba.  Dalilinya, QS  Al Qaf 50:16: Aku lebih dekat dari urat lehernya. QS Az Zariyat51 :21: Dalam diri kamu mengapa tidak kamu perhatikan.
Masing-masing  hamba sudah mutkak (esa dengan Tuhannya), satu persatu (esa) diberi sesembahan (Allah di dalam diri), kenapa berpaling mencari Tuhan yang jauh, ini sungguh melampaui batas (tidak makrifat).
Dalilnya, QS Al Hadid 57:4: Aku beserta hambaku di mana saja dia berada. Oleh itu,  janganlah risau dan takut Allah sentiasa bersama kita ke mana sahaja kita pergi.
Sekarang, mari kita lihat pula bagaimana Nabi Musa melihat Tuhannya, seperti mana yang diceritakan di dalam Al Quran.  Allah SWT berfirman mengisahkan permintaan Musa untuk melihatNya QS Al A’raaf 7:143:
Dan tatkala Nabi Musa datang pada waktu yang kami telah tentukan itu, dan Tuhannya berkata-kata dengannya,  maka Nabi Musa (merayu dengan) berkata:” Wahai Tuhanku, perlihatkanlah kepadaku (Dzat-Mu Yang Maha Suci) supaya aku dapat melihat-Mu.”  Allah berfirman: ”Kamu sekali-kali tidak dapat  melihat-Ku,
(rahasianya:  tidak ada siapa yang dapat melihat Allah,  hanya Allah dapat melihat Allah.  Hamba terdinding daripada Allah,  kerana selain wujud Allah, masih ada Rasa wujud Hamba).
tetapi pandanglah ke gunung itu,
(Pada ketika Nabi Musa memandang gunung itu,  begitu juga Allah Taala berpisah sementara daripada jiwa Nabi Musa, maka Nabi Musa pengsan,  bukannya mendengar akan letusan gunung tersebut)
jika ia tetap berada di tempatnya (sebagaimana sediakala) nescaya kamu dapat melihat-Ku.
(” Engkau adalah aku, aku adalah engkau “, apa yang disaksikan Nabi Musa adalah menyaksikan dirinya di luar dirinya untuk sementara waktu, setelah Allah bertajalli  (menzahirkan kebesaran-Nya) kepada gunung itu, (maka)  tajalinya itu  menjadikan gunung itu hancur lebur dan nabi Musa pun jatuh pengsan.)
Setelah Nabi Musa  sedar, dan berkata: ” Maha Suci Engkau (wahai Tuhanku), aku bertaubat kepada Engkau dan akulah orang yang pertama beriman (pada zamanku)”
Demikian sedikit paparan tentang Nabi Musa melihat Tuhannya. Dan jelaslah Allah dapat dilihat tetapi bukannya dengan mata kasar, yang dilihat dengan mata kasar itu adalah hijab, oleh itu jangan tersalah, hati-hati, kalau tersalah boleh  menjadi syirik dan kufur.
Maha Suci Allah Yang Maha Berkuasa, tiada daya sekalian makhluk melainkan Allah.

No comments: