Thursday, August 9, 2012

Tauhid penyaksian

أشهد أن لا اله الا الله و أشهد أن محمدا رسول الله

Tauhid penyaksian
Tauhid (atau pun keesaan) bagi yang telah menyaksikan (basyariah) Allah terbahagi kepada dua:
1                   Tauhid Dzati (atau Tauhid Rububiyah)
2                   Tauhid Syuhudi (atau Tauhid Uluhiyah)
Cuba kita perhatikan dahulu apa dan bagaimana yang dikatakan Tauhid Dzati itu:
1                   Tauhid Dzati
Salik itu merasakanA keesaan dalam Dzat Yang Esa, ini selalu dirasakan, tidak kira di mana saja ia berada, kepada salik itu tidak mungkin Dzat Yang Esa itu, tidak ada, walaupun sesaat.
Peringkat ini merupakan makam Haqqul Yakin, atau juga disebut wahdah al wujud (esa dalam wujud), bagaimnapun ini baru peringkat rasa,  iaitu salik merasakan Dzat Allah sentiasa bersamanya, atau juga boleh dikatakan salik larut dalam Dzat yang suci itu, yang tinggal hanya Allah.
Bagaimanapun, di atas peringkat ini ada lagi satu peringkat, iaitu peringkat penyaksian tajali Allah.
2                   Tauhid Syuhudi
Setelah salik menempuh fana dan sirna fana itu (baqa), maka muncullah penyaksian… tajalli Illahi.
Pada saat itu  benar-benar penglihatan dan penyaksian salik tertumpu kepada  Allah. (makam Isbatul Yakin). Salik menyaksikan kehadiran Dzat Yang Mutlak… tajalli Dzat Illahi.
Kajian (pelajaran) ini tidak banyak dibincangkan, dan tidak banyak diteorikan, tetapi hanya dipraktiskan oleh mereka, yang dibukakan rahsia ini oleh Allah. Kerana ia termasuk dalam rahsia-rahsia Allah.
Bagaikan kata saudara Tahjud nan mulia, “Allah sangat boleh dikenali, tetapi tidak dapat diperkenalkan”.  
Kerana  apa?
Kerana  Allah  hanya dapat dikenali apabila Dia memperkenalkan DiriNya kepada DiriNya.
Dalam penyaksian Tajalli Dzat Allah ini, jasad tidak bergerak (dilihat: bahasa kiasan) sama-sekali. Jikalau jasad masih bergerak dan fikiran masih bergerak, maka batallah apa yang disaksikan.
Atau dengan lain perkataan, kehadiran Dzat Allah, sebagai kurnia yang dimukasyafahkan (dibukakan) kepada Si Penyaksi menjadi gelap (terhijab).
Sejajar dengan makam ini, sufi terkenal Ibn Arabi, menjelaskanya dalam bentuk syair:
Jika telah fana salik menuju Tuhannya,
Kemudian menjadi sirna kefanaan,
Maka muncullah yang NYATA,
Mata hari dalam kesucian terbit di dalam guanya,
Dzat Yang Maha Wujud dimakam teratas HadiratNya,
Terlihat NYATA,
Terlihat Yang Esa tanpa bilangan tidak terbilang,
Dalam kesaksan keindahan pada peringkat darjat ketajalian
(satu per satu).


Penyaksian mata hati
Penyaksian hakiki mata hati berlaku apabila salik mengalami suasana (hal) yang menyebabkan dia menafikan kewujudan dirinya dan menetapkan kewujudan Allah. Suasana ini timbul akibat hakikat ketuhanan yang dialami oleh qalbu salik  tersebut.
Mata hati salik hanya melihat kepada wujud Allah, tidak lagi melihat kepada wujud dirinya. Salik yang berada dalam keadaan sebegini telah fana  daripada sifat-sifat kemanusiaan.
Penyaksian mata hati adalah jauh lebih tinggi daripada ilmu makrifat, kerana penyaksian itu adalah hasil daripada perjalanan panjang, keteguhan hati, dan pengalaman pahit getir yang dialami salik dalam menempuh perjalanan pulang ke kampung akhirat (kembali kepada Allah).
Penyaksian mata hati ini adalah setinggi-tinggi keyakinan terhadap kewujudan Allah, inilah yang dikatakan Isbatul Yakin. Salik yang telah mengalami isbatul yakin, maka syahadahnya bukan lagi  syahadah yang palsu, tetapi beliau  melihat wujud Penciptanya dengan nyata ketika bersyahadah. Hanya syahadah yang sebeginilah yang dapat menjamin keselamatan salik di dunia dan di akhirat.
Pada penyaksian ini salik tidak lagi melihat kepada ketiadaan diri atau kewujudan dirinya, tetapi salik melihat wujud Allah dalam segala sesuatu.
Penyaksian mata hati adalah melihat wujud Allah tanpa dinding, tiada lagi antara, antara salik dan Penciptanya. Tiada lagi antara, antara  kedua-duanya.
QS Al Hadid 4: Dia bersama kamu di mana saja kamu berada.
Sejajar dengan Firman yang mulia itu,  sememangnya, salik tidak lagi terpisah daripada Allah.  Penyaksian mata hati ialah salik melihat Allah dalam segala sesuatu dan pada setiap waktu. Pandangan salik terhadap makhluk tidak lagi menutup pandangannya kepada Penciptanya. Di sinilah makam keteguhan yang terdapat di dalamnya ketenangan dan kedamaian yang kekal.
Pada penyaksian mata hati ini, salik tiada lagi ucapan, tiada lagi bahasa, tiada lagi ibarat, tiada lagi ilmu, tiada lagi makrifat, tiada lagi pendengaran, tiada lagi kesadaran, tiada lagi hijab, bahkan segala sesuatu sudah tiada lagi, yang ada hanyalah yang Esa.
Tabir telah tersingkap, Salik memandang Dia tanpa ibarat, tanpa huruf dan tanpa kata-kata. Allah dipandang dengan mata hati (keyakinan) bukan dengan mata yang ada di kepala. Salik yakin bahawa  Allah lah  yang dipandang, walaupun tiada suatu petunjuk  pun untuk diberitahu dan tiada satu pengenalan pun untuk mengenalinya.
Salik yang mengalami suasana ini, beliau kekal bersama Allah pada setiap saat, setiap ruang dan setiap keadaan. Salik yang beginilah yang berzikir (melihat yang diingat) ketika berdiri, duduk dan berbaring, bahkan dalam segala keadaan pun.
MasyaAllah.

No comments: